Khamis, 6 Oktobert 2016
Polis perlu bertindak terhadap Geng Baju Merah, desak Amanah Kedah
Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, mendesak pihak polis supaya segera bertindak terhadap kumpulan baju merah yang telah menimbulkan kekecohan dan provokasi semasa konvoi Bersih 5 bergerak pada 1 Oktober yang lalu.
Ketua Pemudanya, Asmirul Anuar Aris berkata, pihak polis perlu bertindak dengan adil dan profesional terhadap kumpulan tersebut supaya mereka tidak dianggap bersikap 'double standard' atau berpihak kepada mana-mana kumpulan yang sengaja menimbulkan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam.
"Pihak polis harus bertindak secara profesional dan tidak berpihak samada kepada pembangkang maupun parti pemerintah.
"Kegagalan mereka mengambil tindakan segera dengan adil akan memberi persepsi negatif masyarakat terhadap pihak berkuasa tersebut.
"Insiden provokasi yang berlaku di Kedah dan Perlis sebelum ini membuktikan kelemahan pihak berkuasa dalam menangani kumpulan baju merah, " tegasnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Koordinator Program Bersih 5 Negeri Kedah turut berkata, insiden provokasi yang berlaku dengan kekecohan melampau kumpulan tersebut di Teluk Intan dan Pulau Pinang juga amat memalukan.
"Oleh kerana itu kita mendesak Ketua Polis Negara segera bertindak menangkap mereka yang telah melakukan provokasi semasa konvoi Bersih 5 pada 1 Oktober yang lalu.
"Terdapat banyak bukti yang memaparkan bagaimana kumpulan baju merah tersebut melakukan provokasi termasuk yang dimuatkan dalam media sosial secara jelas.
Malah katanya, bagi peringkat negeri Kedah ia akan bermula dari perkarangan Pejabat PKR Negeri Kedah di Alor Setar dan bergerak sehingga ke Sungei Petani.
"Konvoi ini akan melalui beberapa lokasi seperti Simpang Empat, Tokai, Tanah Merah dan Pekan Pendang.
"Ia akan terus ke Kota Sarang Semut, Bukit Besar, Guar Chempedak dan juga Yan.
"Seterusnya akan bergerak ke SIngkir, Merbok, Semeling dan juga Tikam Batu, " jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, kerjasama pihak berkuasa secara profesional untuk menegakkan hak rakyat untuk berdemonstrasi secara aman amat diharapkan menjadi realiti.
Beliau juga amat berharap insiden provokasi yang berlaku minggu lalu oleh kumpulan baju merah tidak akan berulang sekali lagi semasa konvoi Bersih bergerak pada minggu ini.
"Pihak berkuasa harus memastikan tidak akan ada lagi provokasi yang mampu dilakukan oleh kumpulan baju merah dalam misi konvoi Bersih 5 pada 7 Oktober di Kedah.
"Mereka mesti melaksanakan tanggunggjawab dengan serius dan tidak memberi ruang sedikit pun kepada kumpulan tersebut untuk mengganggu orang lain.
"Politik ganas yang dilakukan oleh kumpulan baju merah boleh mengundang kemarahan orang ramai dan amat merbahaya serta mampu mengganggu ketenteraman awam," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment