Monday 21 January 2019

[Video MB Pahang 'buta' isu parkir & Sihir imam: Polis akan panggil mufti, kariah masjid] Pemuda DAP minta PAS 'bertaubat' dari melakukan "politik fitnah".

Isnin, 21 Januari 2019

MB 'buta' isu parkir - Manogaran
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail disifatkan ‘buta’ terhadap isu caj parkir oleh Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) yang dibangkitkan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran berkata, kenyataan Balas berhubung caj parkir oleh Wan Rosdy yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang itu jelas tidak mendengar keluhan rakyat.
Menurutnya, kenyataan beliau bahawa caj parkir hanya membabitan kawasan tumpuan pelancong iaitu di Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm adalah tidak masuk akal dan tidak boleh diterima penduduk Cameron Highlands.
“Daerah Cameron Highlands terdiri daripada lapan kawasan pendudukan yang utama iaitu Kampung Raja seramai 2,103 orang, Kuala Terla (1,622 orang), Tringkap (1,334 orang), Brinchang (2,644 orang), Tanah Rata (3,127 orang), Habu (856 orang), Ringlet (2,323 orang) dan Lembah Bertam (2,037 orang).
“Tanah rata adalah pusat pentadbiran Cameron Highlands manakala Brinchang adalah pusat perniagaan utama menjadikan ia adalah antara dua kawasan penduduk terbesar di sini.
“Jadi bagaimanakah Wan Rosdy mengatakan pengutipan bayaran parkir tujuh hari seminggu itu tidak akan menjejaskan penduduk Cameron Highlands, sedangkan mereka banyak berurusan di tempat ini untuk menjalankan aktiviti harian,” katanya pada sidang media di Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Fuziah Salleh.
Rabu lalu, media melaporkan Wan Rosdy menjelaskan, MDCH ada menawarkan diskaun 25 peratus kepada mereka yang membeli kupon caj parkir untuk tempoh lebih dari sebulan susulan dakwaan mengatakan caj tempat letak kereta bulanan RM80 yang mahal.
Mengulas lanjut, Manogaran berkata, diskaun 25 peratus itu hanya untuk pas yang ditawarkan adalah untuk pembayaran caj parkir dengan tempoh 12 bulan sahaja, iaitu berjumlah RM720 dan bukan untuk tempoh yang lebih pendek.
“Bayaran bulanan di MDCH sebanyak RM80 sememangnya adalah lebih mahal daripada Daerah Temerloh (RM50) dan Daerah Kuantan (RM52) dan adakah beliau rasa ianya adil untuk penduduk Cameron Highlands?” soalnya lagi.
myMetro.

Pemuda DAP minta PAS 'bertaubat'

Dalam menegaskan pendirian partinya hari ini, Pemuda DAP meminta PAS "bertaubat" dari melakukan "politik fitnah".
"Pendirian Pakatan Harapan (PH) selari dengan segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan berubah sama sekali.
"DAP akur dengan pendirian ini 100 peratus.
"Jika ada mana-mana pihak termasuk sesetengah pemimpin PAS cuba menafikan atau memfitnah kami, tiada lain yang boleh dibuat selain mengharapkan Tuhan sahaja yang akan membalas perbuatan mereka," kata Ketua Pemuda DAP Howard Lee dalam kenyataan media hari ini.
Howard membuat kenyataan itu selepas dicabar Timbalan Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin agar DAP membuat pengisytiharan  berhubung kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera serta Raja-raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.
Khairil membuat cabaran itu sebagai mengulas laporan polis yang dibuat Pemuda DAP terhadap Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Laporan polis itu dibuat berhubung tuduhan Muhammad Khalil bahawa DAP sebagai parti politik yang anti-Islam.
Sementara itu, Howard dalam kenyataannya hari ini juga menyahut cabaran Khairil dan mengulangi pendirian partinya berhubung isu yang dibangkitkan.
"Saya ulangi pendirian kami seperti berikut: Agama Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dimartabatkan, diangkat dan dipertahankan oleh Pakatan Harapan dan DAP.
"Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan, itu akan terus dipertahankan.
"(Dan) Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum kaum yang lain tidak akan dipersoalkan," katanya.
'Menderhaka pada Raja-raja Melayu'
Howard yang merupakan Adun Pasir Pinji juga memetik titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di istiadat mengadap sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-62 baginda pada 4 November lalu.
Titah Sultan Nazrin yang dimaksudkan Howard ialah: "Rakyat mengimpikan pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender – kesaksamaan kaum – kesaksamaan agama – kesaksamaan wilayah;... dan rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan, agar warganya hidup dalam harmoni - saling menghormati – saling bekerjasama, tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum. Kerajaan yang menjadi pilihan rakyat dan kerajaan yang akan terus mendapat sokongan rakyat ialah kerajaan yang dapat memenuhi impian dan hasrat majoriti rakyat."
Jelas Howard, titah Sultan Nazrin itu sekian lama merupakan apa yang diperjuangkan PH dan DAP.
Maka, kata Howard, tindakan PAS menuduh PH dan DAP hendak membuang institusi istana boleh dianggap sebagai menderhaka kepada Raja-Raja Melayu.
"Bagi saya, ini merupakan tohmahan yang bersifat menderhaka dan menghina kebijaksanaan Duli-duli Tuanku Raja-raja Melayu, serta memperlekehkan dan memperkecilkan keagungan Institusi Istana secara khusus- serta Perlembagaan Persekutuan secara amnya.
"Hujah perkauman, cauvinistik dan fitnah daripada Umno dan PAS adalah perkara yang biasa. 
"Akan tetapi, seruan saya kepada Pemuda PAS, adalah jangan sekali-kali menakut-nakutkan pengundi dengan menyalah gunakan nama Duli-duli Tuanku dan mencemar kesucian institusi diraja," katanya.
mk.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena