Monday 28 April 2014

New World Order: “By hook or by crook”...Apa sebenar Obama mahu bila lawat Malaysia?

Isnin, 28 April 2014

Apa sebenar Obama mahu bila lawat Malaysia?

DR ROSLI YAAKOP


Lawatan beliau ke Asia kali ini juga membawa beliau ke negara Jepun, Korea Selatan dan Filipina, khabarnya bertujuan untuk mempertingkatan “hubungan diplomatik, ekonomi dan keselamatan” dengan negara-negara di rantau Asia-Pasifik. Kesemua negara ini adalah peserta di dalam TPPA.

Umum mengetahui, apa pun perkara yang dimuat dalam agenda lawatan, fokus lawatan adalah TTPA. Obama mahu mempastikan bahawa kesemua dua belas negara pesisiran Lautan Pasifik yang kini menyertai perundingan TPPA akhirnya mesti menandatangani perjanjian itu. Kata kunci di sini "mesti".

Amerika melihat hanya TPPA boleh menyelamatkan masa depan negara itu dari merudum dan hanya TPPA dapat mengimbangi kemaraan kuasa ekonomi China di persada dunia yang mencabar kuasa ekonomi Amerika.

lawatan pertama presiden Amerika dalam tempoh 50 tahun

Jika lawatan ini tidak dibatalkan di saat-saat akhir seperti yang berlaku dalam bulan Oktober 2013 dahulu, inilah lawatan pertama oleh seorang presiden Amerika setelah tiada mana-mana presiden Amerika melawat Malaysia dalam tempoh 50 tahun.

Presiden Amerika yang terakhir melawat Malaysia ialah Lyndon B. Johnson dalam tahun 1963.

Di sisi ini, lawatan Obama dikira satu lawatan bersejarah. Antaranya, penganalisis masih ingat Presiden LB Johnson dibawa melawat Felda Labu di Seremban, Negeri Sembilan dan mengambil sempena nama beliau maka terbitlah nama Felda LB Johnson (sekarang sudah menjadi Bandar Instek).

Penganalisis melihat kehadiran Obama di Malaysia ada sedikit bermasalah. Sebabnya, di sana ada tuduhan oleh akhbar milik Umno (Utusan Malaysia) kononnya Agensi Pusat Perisikan Amerika “telah merampas pesawat (MH370) untuk memporakperandakan hubungan (Malaysia) dengan China.” (lihat “Obama Sets Date for Visit to Tarnished Malaysia” di dalam asiacentinel.com, 15 April 2014).

Bekas Duta Besar Amerika ke Malaysia dan juga pegawai tinggi kerajaan Amerika yang lain telah meluahkan rasa ketidakselesaan di atas tuduhan ini.

Jika Obama membangkitkan hal ini secara terbuka ketika berada di Malaysia, pastinya PM Najib mendapati diri di dalam keadaan yang tidak selesa.

Setakat ini tiada apa-apa tindakan di ambil ke atas akhbar berkenaan mahu pun penulis rencana menggambarkan seolah-olah tuduhan yang dilemparkan itu direstui tuan pemiliknya.

Tuduhan akhbar milik Umno itu serius. Tidak boleh ditolak sama sekali bahawa Obama bakal membangkitkan isu itu di dalam pertemuan beliau dengan PM Najib. Paling tidaknya, Obama akan meminta kerajaan Malaysia mengemukakan bukti-bukti atas tuduhan itu.

Kalau ini gagal dibuat, Obama mungkin meminta kerajaan Malaysia mengambil pertanggujawaban atas “tuduhan liar” itu dan memohon maaf serta mengambil tindak setimpal ke atas akhbar berkenaan dan penulisnya.

malu besar

Malu besar Malaysia jika terpaksa meminta maaf apatah lagi kita memang sudah malu besar di mata dunia kerana bersimpangsiur dan berterabur menguruskan kerenah berkaitan kehilangan pesawat MH370 yang sampai saat ini belum ditemui sebarang bukti bahawa ia telah “berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Penganalisis menghidu bahawa Amerika boleh sahaja mengeksploitasi tuduhan ini guna meraih manfaat sebesar mungkin bagi merobohkan unsur-unsur “resistance” yang masih ada sedikit lagi di pihak Malaysia terhadap TPPA yang mana banyak pihak mengakui amat berat sebelah (memihak kepada negara kaya dan lebih maju khususnya Amerika).

Apa yang Obama mahu ialah “by hook or by crook” Malaysia mesti menandatangi TPPA dan keceluparan dan ketelanjuran akhbar milik Umno ini memberi ruang tambahan yang selesa bagi Obama “to strike the point home”.

Isu ini hanya peluru tambahan. Tanpa peluru ini pun sudah boleh disimpulkan awal bahawa Malaysia dijamin, apabila tiba masa dan ketikanya, akan meletakkan tanda tangannya ke atas lembaran-lembaran TPPA.

Maka, di sana tergadailah kedaulatan dan maruah bangsa ini seperti mana yang telah berlaku ke atas negara Mexico (di bawah NAFTA), Peru (di bawah US-PFTA) dan Honduras (CAFTA) untuk menyebut beberapa contoh.

Pada awalnya ada maklumat yang menyatakan bahawa perjumpaan dengan Ketua Pakatan Rakyat termasuk di dalam agenda lawatan Obama di Malaysia. Agenda ini diturunkan gred kepada “perjumpaan Obama dengan lapisan kedua pimpinan PR” dan yang mutakhir ini ada maklumat yang menyatakan bahawa “tiada langsung agenda pertemuan dengan mana-mana pemimpin pembangkang dengan Obama”.

batal pertemuan dengan pembangkang

Dikhabarkan pentadbiran Obama amat bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkan tuduhan Sodomi 2 ke atas beliau sebagai tuduhan dan dakwaan palsu (trumped-up charges) yang sengaja direka oleh regim pimpinan Najib untuk menamatkan karier politik pemimpin pembangkang itu.

Perbuatan yang sedemikian, menurut Obama (berasaskan maklumat yang dikutip) amat bertentangan dengan amalan demokrasi dan dasar umum Amerika Syarikat yang mahu melihat demokrasi diperkasakan di mana-mana negara di seluruh dunia.

Pembatalan pertemuan dengan ketua pembangkang Malaysia ini satu lagi bukti yang menunjukkan hipokrasi Amerika mengenai demokrasi.

Bagi Amerika, amalan demokrasi hanya boleh diterima jika ia tidak memudaratkan kepentingan kuasa utama dunia itu. Bila mana amalan demokrasi dinilai sebagai membawa mudarat dan membahayakan kepentingan Amerika, maka amalan demokrasi mesti ditolak.

Obama sudah maklum bahawa Pakatan Rakyat menentang dan menolak TPPA. Ini bertentangan dengan apa yang Amerika mahu daripada Malaysia.

Oleh itu, pembatalan pertemuan Obama-Anwar tidak lain bertujuan untuk memastikan hubungan Amerika dengan regim yang ada tidak terjejas dan kepastian yang sudah diperolehi bahawa Malaysia akan menandatangani TPPA tidak tergugat. Peduli apa dengan demokrasi.

Penganalisis berani membuat kesimpalan bahawa apapun, banyak mana pun dan bagaimana meriah sekali pun program yang diatur dalam menyambut kehadiran Obama di Kuala Lumpur, tujuan utama kehadiran Obama di Malaysia hanya satu, iaitu mahu menyampaikan mesej dengan lantang dan jelas bahawa Amerika Syarikat mahukan Perdana Menteri menandatangani Perjanjian Perkongsian Negara-Negara Persisiran Lautan Pasifik (TPPA). Itu sahaja.

Apa-apa jua yang berpotensi menggugat matlamat ini dari tercapai akan diketepikan. Dan PM Najib kelihatannya sudah pun awal-awal menjawab: "Yes Sir".

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena