Showing posts with label Jakel. Show all posts
Showing posts with label Jakel. Show all posts

Tuesday, 5 April 2016

Apa yang sebenarnya dibeli Najib daripada Jakel sebanyak RM55 juta?

Selasa, 5 April 2016

Lebih banyak rahsia JAKEL mungkin terdedah selepas ini..!!!

Shahbudin Husin,

Gambar Hiasan
Tidak ramai yang ambil peduli mengenai Jakel, sebuah gedung menjual kain dan pakaian ternama yang berpusat di Jalan Masjid India sehinggalah The Wall Street Journal mendedahkan bahawa Najib Razak telah melakukan pembayaran kepada syarikat itu sebanyak AS$14 juta atau kira-kira RM55 juta antara tahun 2011 hingga 2014.

Persepi umum lantas memuncak dengan persoalan paling mudah, apa yang sebenarnya dibeli Najib daripada Jakel dengan bayaran sedemikian banyak itu?

Kalau ia semata-mata untuk pakaian Najib, Rosmah dan ahli keluarganya, tidakkah jumlah itu terlalu besar hanya untuk tempoh empat?

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng kemudian membuat laporan polis terhadap Najib berhubung bayaran yang dibuatnya kepada Jakel Trading itu sebagaimana didedahkan oleh WSJ, juga mengepilkan dengan pertanyaan yang antaranya, apakah pakaian yang dibeli itu untuk Rosmah dan jika sehelai berharga RM10 ribu, apakah ia bermakna sebanyak 5,500 helai telah dibeli sepanjang tempoh  empat tahun atau empat helai dalam sehari?
Selain itu, Lim Lip Eng juga meminta polis menyiasat daripada mana Najib memperolehi wang sebanyak itu yang diangggap jauh berpadanan dengan gajinya sebagai Perdana Menteri yang dianggarkan kira-kira RM273,912 setahun serta kemungkinan  ia berkaitan dengan unsur-unsur rasuah, pengelakan cukai dan penggubahan wang haram.

Baik Najib mahu pun Jakel, kedua-duanya masih berdiam diri sehingga ke hari ini. Yang ada bersuara hanyalah sebuah portal pro Najib yang mengatakan bayaran puluhan juta itu adalah untuk sumbangan pakaian dan barangan yang disampaikan kepada pertubuhan bukan kerajaan, mangsa bencana alam, pakaian anak-anak yatim dan sayap-sayap politik.

"Belum ada orang gila beli baju di Jakel berpuluh juta ringgit untuk kegunaan sendiri.

"Jika benar ia kegunaan peribadi, berdasarkan harga pakaian di Jakel yang dalam kemampuan majoriti rakyat Malaysia, Najib mungkin terpaksa menyewa gedung untuk menyimpan kesemua pakaian tersebut," kata portal itu lagi.

Ternampak bahawa portal itu sama ada sengaja melindungkan fakta atau pun tidak pernah sama sekali berkunjung ke gedung Jakel. 

Perlu diberitahu bahawa harga pakaian di Jakel bermacam-macam peringkat, ada yang dalam kemampuan rakyat biasa membelinya, tetapi ada juga yang mencecah puluhan ribu ringgit sehelai di mana rakyat biasa hanya mampu menengoknya saja.

Selain itu, jika portal yang diketahui ada "tuan besarnya"  itu mengatakan "belum ada orang gila membeli baju di Jakel berpuluh juta ringgit untuk kegunaan sendiri",  mereka seharusnya tidak lupa bahawa Ahmad Maslan juga pernah berkata, "tiada Perdana Menteri yang begitu bodoh mahu  memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadinya" ketika isu wang RM2,600 juta mula-mula didedahkan dahulu.

Jika akhirnya terbukti bahawa Najib tidaklah begitu cerdik dengan membenarkan wang beribu-ribu juta dimasukkan ke akaun peribadinya, maka janganlah hairan jika kegilaan membeli pakaian berpuluh-puluh juta ringgit juga boleh menjadi amalan beliau dan keluarganya.

Lagi  pula, bukankah kos bercuti, membeli barang kemas dan bermewah Najib dan Rosmah, sebagaimana yang didedahkan oleh media-media antarabangsa juga turut mencecah puluhan juta ringgit jumlahnya?

Bagi mereka yang tahu, hubungan Jakel dengan keluarga Najib bukanlah asing sebenarnya,  walaupun ia boleh dikatakan hubungan yang agak baru saja terjalin.

Jakel bukan saja dilaporkan biasa menghantar kain-kain baru dan terpilih ke rumah Najib untuk kegunaan keluarga Perdana Menteri itu, malah dalam tahun-tahun terakhir ini dikatakan syarikat itu turut mendapat manfaat lain daripada hubungan tersebut.

Mereka yang rapat dengan Jakel ada memberitahu, syarikat itu yang hanya dikenali sebagai peruncit dan pemborong kain serta pakaian turut memiliki  berpuluh-puluh keping tanah di sekitar Kuala Lumpur sekarang ini.

Antara tanah yang dipercayai milik Jakel itu ialah terletak di kawasan Setapak, Cheras dan Bandar Tun Razak dengan sebahagiannya sudah mula dibangunkan dengan pembinaan kondominium mewah dan separuh mewah.

Dengan mulanya terdedah sejumlah wang yang besar dibayar oleh Najib kepada Jakel dan hubungan itu terus menjadi bualan ramai, adalah dijangkakan lebih banyak perkara lagi mengenai syarikat itu akan terbongkar selepas ini.

Sama ada Najib dan Jakel berdiam diri atau cuba memberi apa-apa respon mengenainya, sorotan umum kini lebih menarik perhatian lagi, bukan saja mengenai  apa yang diperolehinya daripada kerajaan tetapi juga siapakah personaliti di belakang syarikat itu yang mempunyai hubungan rapat dengan Seri Perdana.

Yang perlu dipersiapkan juga ialah kemungkinan Jakel akan terus berdepan dengan banyak persoalan dan keraguan,  meskipun setelah Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri nanti. (SH 05/04/2016).
KDL.
Read More

Ahli Parlimen mahu Jakel bekal resit 'amal' Najib..."Memindahkan lebih AS$14 juta kepada Jakel".

Selasa, 5 April 2016

Ahli Parlimen mahu Jakel bekal resit 'amal' Najib

Seorang ahli parlimen pembangkang menggesa gedung fesyen Jakel Trading supaya mengemukakan resit untuk membuktikan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membeli pakaian dan barangan lain sebagai sumbangan kepada kebajikan dan bukan untuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Lim Lip Eng berkata demikian bagi menjawab dakwaan portal pro-Umno, Mykmu.net berhubung tindakan Najib antara 2011 dan 2014 yang memindahkan lebih AS$14 juta kepada Jakel.
Memetik sumber, portal itu mendakwa bayaran berkenaan adalah untuk mendapatkan barangan untuk disumbangkan seperti pakaian untuk anak yatim dan mangsa bencana alam serta permaidani untuk masjid.
"Adakah Mykmu mengakui bahawa Najib membelanjakan AS$14 juta di Jakel?" soal ahli parlimen Segambut itu.
Katanya, dengan gaji perdana menteri sekitar RM50,000, Najib tidak mampu membelanjakan jumlah yang sebegitu besar.
"Saya mahu perdana menteri secara ikhlas memberitahu rakyat bagaimana beliau mendapat wang ini," katanya.
Secara sinis, Lim berkata kerajaan perlu menulis surat kepadaGuinness Book of Records untuk mencadangkan nama Najib sebagai pemimpin yang telah membuat sumbangan terbesar.
Semalam, Lim membuat laporan polis berhubung jumlah yang didakwa dibelanjakan di Jakel seperti yang dilaporkan oleh akhbarThe Wall Street Journal.
Selepas melawat gedung fesyen itu, beliau mendakwa ada pakaian yang dijual itu mencecah harga sehingga RM10,000 sepasang.
"Jadi, adakah Najib membeli 5,500 pakaian dari Jakel untuk Rosmah dalam tempoh empat tahun? Satu tahun bersamaan 365 hari, yang seterusnya bermakna 1,375 pakaian. Ini adalah kira-kira empat pakaian sehari,” katanya.
Walau bagaimanapun, Mykmu mengkritik media kerana cuba menggambarkan isteri perdana menteri sebagai seorang yang boros.
"Belum ada orang gila beli baju di Jakel berpuluh juta ringgit untuk kegunaan sendiri.
"Jika benar ia pembelian peribadi, berdasarkan harga pakaian Jakel yang merupakan harga dalam kemampuan majoriti rakyat Malaysia, Najib Razak mungkin terpaksa menyewa gudang untuk menyimpan kesemua pakaian tersebut," kata portal itu.
Portal itu berkata setiap tahun perdana menteri, Umno dan NGO mengadakan acara membeli pakaian hari raya untuk anak-anak yatim di Jakel menggunakan sumbangan perdana menteri.
Malaysiakini telah menghantar e-mel kepada Jakel Trading dan sedang menunggu jawapannya.
Malaysiakini
Read More
Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena