Mesyuarat Pakatan ditetapkan 8 Februari dengan kehadiran Hadi, kata Mustafa Ali
Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat (PR) akan diadakan pada 8 Februari ini selepas kata sepakat dicapai dalam pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari ini.
Mustafa berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan turut hadir dalam mesyuarat PR kali ini.
"Kita sudah mencapai kata sepakat untuk mengadakan mesyuarat ini selepas mesyuarat PAS Pusat yang diadakan pada paginya di pejabat agung PAS," kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.
Mesyuarat PR akan diadakan di Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang itu diadakan selepas gabungan PKR, DAP dan PAS itu sudah lama tidak bermesyuarat berikutan kemelut jawatan menteri besar Selangor.
Kali terakhir mesyuarat PR diadakan pada Oktober lepas, tetapi Hadi tidak menghadirinya.
Presiden PAS itu juga sudah lama tidak menghadiri mesyuarat PR sejak setahun lalu.
Mustafa menemui Anwar di Ibu Pejabat PKR tengahari tadi bersama-sama Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail dan juga Setiausaha Sekretariat PR Mohamad Shabrimi Sidek bagi merintis mesyuarat gabungan parti pembangkang itu selepas tidak berjalan sekian lama.
Mustafa sebelum ini sendiri terlibat dengan perang media bersama pimpinan DAP, termasuk mencabar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk berdebat dengan beliau dalam isu pilihan raya hudud dan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Sehingga hari ini, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang masih belum menjawab cabaran Mustafa.
Selepas itu Mustafa mencetuskan kontroversi dengan PKR pula apabila mengatakan PR akan menjadi lebih kuat sekiranya Anwar dipenjarakan pada 10 Februari nanti apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai kes liwat terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Ini menyebabkan Saifuddin yang sebelum ini merupakan setiausaha agung PKR menggesa Mustafa agar tidak melupakan jasa-jasa Anwar sehingga PR berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013.
Mustafa bagaimanapun memohon maaf dan berkata kenyataannya mengenai Anwar disalah tafsir wartawan yang membuat liputan.
Ketika ditanya mengenai hari ini, Mustafa berkata Anwar memberi jaminan isu-isu berbangkit di antara parti komponen PR akan dibincangkan pada 8 Februari nanti.
DAP hari ini memberikan komitmen akan menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan PR membincangkan isu-isu yang masih tidak selesai antara mereka sekiranya PAS juga memberikan komitmen yang presidennya akan menghadiri mesyuarat itu, kata Anthony Loke.
Bagaimanapun, setiausaha organisasi DAP itu berkata Lim tidak akan memohon maaf kepada Mustafa berhubung pertikaian di antara kedua-dua pemimpin itu sebelum ini.
"Soal mohon maaf tidak timbul, DAP akan hadir mesyuarat Majlis Pimpinan PR dengan kehadiran presiden PAS.
"Saya ingin menegaskan yang soal perlunya Lim Guan Eng memohon maaf kepada Mustafa tidak timbul sama sekali. DAP tidak akan dan tidak pernah tunduk kepada apa-apa tekanan daripada mana-mana pihak," kata ahli Parlimen Seremban itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sekretariat PR dalam satu kenyataan malam ini mengesahkan tentang mesyuarat Ahad ini.
"Sekretariat percaya ini akan seterusnya mengukuhkan persepakatan semua parti dalam Pakatan Rakyat," kata Shabrimi.- TMI
0 comments:
Post a Comment