Saturday 5 September 2015

FATHUL BARI: Baiah jatuh talak bercanggah al-Quran, sunnah...Jatuh talak atau tidak ahli PAS yang telah berbaiah, Wallahul musta'an

Sabtu, 5 September 2015

Baiah jatuh talak bercanggah al-Quran, sunnah


Jika benar, baiah dan sumpah PAS adalah seperti di dalam gambar di bawah:
"Bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, wallahi wabillahi watallahi, sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah terpilih menjadi ahli dewan negeri atau dewan rakyat, maka akan tertalaklah isteri atau isteri-isteri saya dengan tiga talak. Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ahli dewan tersebut adalah haram."
Di zaman Rasulullah, Nabi dibaiah dengan cara bersalaman dengan lelaki. Bagi wanita, baiah diberikan dengan ucapan. Dan Nabi tidak pernah menyentuh mana-mana wanita yang bukan mahram untuk menerima baiah.
Nabi dibaiah dengan ucapan, antaranya seperti yang diriwayatkan dari Ubadah bin al-Shomit:
"Kami telah berbaiah kepada Rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami. (Kami juga berbaiah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat ‘Kufr Bawwah’ (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan di sisi Allah (kami juga berbai’ah) untuk menyatakan al-Hak di mana saja kami berada dan kerana Allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela." (Lihat hadis riwayat al-Bukhari, nombor 7199, riwayat Muslim, nombor 1836)
baiah umat Islam kepada Nabi tertegak atas asas iman dan taqwa, bukan asobiyyah dan kepentingan. Contohnya Allah berfirman, maksudnya: "Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk berbaiah, bahawa mereka tiada akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang" (Surah Al-Mumtahanah, ayat 12)
baiah kepada Rasulullah ini mendapat pengiktirafan dari Allah. Firman Allah, maksudnya: "Allah telah reda ke atas orang-orang beriman ketika mereka berbaiah kpdmu (Muhammad) di bawah pohon, maka Allah mengetahui segala sesutu di dalam hati mereka..." (Surah al-Fatah: 18)
Kerana itu, maksud baiah dari sudut istilah syarak adalah: "perjanjian yang dimeteraikan bertujuan untuk memberikan ketaatan (dalam hal yang makruf), sepertimana seorang pemimpin dibaiah oleh rakyatnya dengan tujuan pemimpin tersebut akan bertanggungjawab ke atas urusan rakyatnya dan kaum muslimin..." (Lihat: Muqaddimah, oleh Ibn Khaldun, ms 229)
Para ulama bersepakat bahawa baiah yang menepati syarak adalah baiah kepada Ulil Amri yang dilantik mengikut sistem yg diiktiraf Islam.
baiah yang dipraktiskan oleh PAS ini, jika benar, bukanlah bukanlah baiah dari sudut istilah syarak, sebaliknya ia merupakan baiah dari sudut bahasa yang bermaksud perjanjian atau aqad semata-mata (lihat: Lisanul 'Arab, oleh Ibnu Mandzur, 1/299).
Sumpah baiah yang menetapkan janji tertentu seperti jatuh talak dan lain-lain diasaskan oleh Gabenor Iraq, Hajjaj Yusof, sekitar tahun 95H yang terkenal dengan kezalimannya.
baiah tersebut digelar oleh para ulama sebagai baiah Hajjajiyyah. Sememangnya baiah seperti ini menyelisihi Al-Quran dan Al-Sunnah. (Lihat 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 63)
Cuma persoalan yang perlu dirungkaikan adalah jatuh talak atau tidak bagi sesiapa yang keluar PAS atau lompat ke parti lain?
Ibnu al-Qayyim merungkaikan isu ini di dalam kitab beliau 'Ilam al-Muwaqqi'in, kata beliau: "Hajjaj telah mencipta bentuk baiah yang baru bukan seperti baiah Nabi SAW; baiah Hajjaj merangkumi sumpah dengan nama Allah, Talak, bebaskan hamba, sedekah harta benda dan laksanakan haji. Maka para ulama berselisih pendapat tentang hal ini..." (Lihat: 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 63)
Pandangan Mazhab Maliki; Abu Bakr Ibnu al-'Arabi berkata: "Telah ijmak ulama-ulama mutakhir (mazhab Maliki) bahawa jatuhnya talak isteri-isteri mereka yg melanggarkan sumpah baiah.." (Lihat: 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 63)
Pandangan Mazhab Al-Syafie; Sekiranya lafaz sumpah itu jelas, bukan samar-samar maksudnya, beserta niat, maka jatuh talak. (Lihat: Al-majmu, oleh Al-Nawawi, 8/462)
Pandangan Mazhab Hanbali; Sesiapa yang memahami isi kandungan Sumpah baiah, dan memang berniat untuk mematuhi segala perjanjian ketika bersumpah, maka JATUH TALAK. (Lihat: al-Mughni, oleh Ibnu Qudamah, 11/408)
Kesimpulannya, sesiapa yang berbaiah berkonsepkan baiah Hajjajiyyah-walaupun ia menyelisihi sunnah- contohnya JATUH TALAK ISTERI; secara sedar memahami apa yang dilafazkan, tanpa paksaan, dengan kerelaan dan niat, maka apabila dia melanggar sumpah baiah tersebut dengan sengaja, JATUHLAH TALAK KE ATAS ISTERINYA.
Cuma, ulama berbeza pendapat samada jatuh 3 talak -jika diniatkan jatuh 3 talak- atau hanya satu talak sahaja; dinukilkan dari sebahagian ulama mazhab Maliki, jatuh hanya satu talak. Manakala sebahagian yang lain menetapkan jatuh ketiga-tiga talak. (Lihat: 'Ilam al-Muwaqqi'in, oleh Ibnu al-Qayyim, ms 64)
Terdapat satu hadis yang diperselisihi statusnya, Nabi bersabda:"Orang Islam itu (berpegang) dengan syarat-syarat (yang telah dipersetujui)" (riwayat Al-Tirmidzi,nombor 1352).
Mungkin saudara-saudara di kalangan PAS berpegang dengan hadis di atas untuk mengharuskan bentuk baiah seperti ini. Syarat ini ditetapkan ke atas sesiapa yang ingin bertanding atas tiket PAS.
Jadi, jika tidak mahu terikat dengan syarat-syarat tersebut,maka janganlah bertanding atas tiket PAS, kemudian keluar atau lompat ke parti lain.
Namun saya berpendapat, konsep sumpah baiah yang PAS gunakan – jika benar – sangat mirip dengan konsep baiah Hajjajiyyah yang menetapkan kelaziman tertentu bagi sesiapa yang melanggarnya.
Sesungguhnya keburukannya lebih besar dari kebaikan. Bagaimana dengan status perkahwinan sebahagian ahli-ahli PAS yang telah berbaiah namun kini meninggalkan PAS? Wallahul musta'an.
Cuma soal jatuh talak atau tidak, itu terpulang kepada mahkamah

FATHUL BARI MAT JAHYA anggota exco Pemuda Umno.
Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena