Najib tabur dedak di Langkawi, kata Mukhriz
Pengumuman peruntukan RM1.3 bilion itu hanya janji pilihan raya BN yang tidak harus dipercayai pengundi, kata Mukhriz Mahathir hari ini di Alor Setar. Beliau menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di sana bersama-sama Presiden Amanah Mohamad Sabu (tiga dari kanan). – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Februari, 2018.
TIMBALAN Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir berkata, pengumuman Perdana Menteri Najib Razak untuk menyalur peruntukan sehingga RM1.3 bilion kepada warga Langkawi semalam merupakan tindakan terdesak dalam menghadapi pilihan raya.
Beliau menyifatkan pengumuman peruntukan itu sebagai “dedak”-kiasan bagi rasuah-yang ditawarkan oleh perdana menteri dengan harapan agar warga Langkawi menolak Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya.
Katanya, tindakan tersebut kerana BN dilihat dalam situasi panik dan takut dengan pengaruh Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan akan bertanding di kawasan Parlimen itu.
“Kita lihat ada usaha di mana saja tempat Dr Mahathir umum bertanding ada usaha untuk tawan hati rakyat (dengan cara itu kerana menganggap) wang tunai adalah segala-galanya.
“Ini memang pendekatan yang dilakukan Najib,” katanya kepada media selepas program sambutan Tahun Baru Cina di Alor Setar, Kedah hari ini.
Najib dalam lawatan rasmi ke Langkawi semalam mengumumkan peruntukan tersebut digariskan di bawah lima projek menerusi Rancangan Malaysia Ke-11.
Ia antara lainnya melibatkan pembangunan tambahan bangunan hospital dan projek bekalan air di Langkawi.
Mengulas perkara itu, Mukhriz berkata beliau tidak takut untuk menyifatkannya sebagai “dedak” kerana pengumuman peruntukan itu menunjukkan niat sebenar BN iaitu menabur janji demi kemenangan pilihan raya.
“Ia jelas begitu. Kalau diumumkan tiga tahun lepas mungkin boleh dianggap betul.Tapi ini peruntukan bersyarat.
“Sebab ada ura- ura Dr Mahathir nak bertanding di Langkawi, jadi mereka umumkan (peruntukan). Ia menunjukkan ketidakikhlasan Najib,” kata pengerusi PH Kedah itu lagi.
Sebelum ini Dr Mahathir menyatakan, beliau mengintai peluang untuk bertanding di tiga kawasan iaitu Kubang Pasu, Langkawi dan Putrajaya.
Mukhriz yakin bahawa peruntukan itu hanyalah janji pilihan raya BN kerana ia tidak pernah dilaksanakan sejak 2003 ketika Abdullah Badawi menjadi perdana menteri.
“Saya tahu sebab saya dulu ketua negeri, kerajaan pusat cukup susah nak bagi peruntukan.”
Oleh itu, beliau menyeru kepada rakyat Langkawi tidak terpedaya dengan pengumuman tersebut dan melihat peluang lebih besar untuk mengubah pulau tersebut dengan mengundi PH dipimpin Dr Mahathir.
“Saya ingatkan rakyat Langkawi jangan rasa teruja dengan kenyataan Najib.
“Kita nak ingatkan yang kita nak letak ialah calon perdana menteri, bukan calang-calang orang.
“Orang Langkawi pilihlah sama ada nak (kekalkan) pengerusi KTM (Nawawi Ahmad sebagai ahli Parlimen) atau mahu calon yang pernah jadi perdana menteri, dan akan jadi perdana menteri kali kedua.” – 18 Februari, 2018.
The Malaysian Insight.
0 comments:
Post a Comment