Friday 11 January 2019

[Video Tun M: Polis Hanya Jalankan Tugas] CAMERON HIGHLANDS - Cabaran buat parti2 melayu dalam PH untuk menangkan DAP.

Sabtu, 12 Januari 2019

CAMERON HIGHLANDS - CABARAN BUAT PARTI2 MELAYU DALAM PH UNTUK MENANGKAN DAP

Esok, 12 Januari adalah hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil Cameron Highlands, manakala hari pengundian ialah 26 Januari depan.

Pakatan Harapan telah memutuskan wakil DAP, M Manogaran sebagai calonnya, sementara BN meletakkan Ramli Mohd Nor, bekas pegawai polis yang berketurunan suku kaum Senai.

Seorang lagi calon, M Kayeas daripada MyPPP dijangka turut menawarkan diri sebagai calon Bebas.

Komposisi kaum bagi Cameron Highlands ialah Melayu 34 peratus, Cina 29 peratus, India 15 peratus dan Orang Asli 22 peratus.

Pada PRU14 lalu, calon MIC yang mewakili BN, C Sivarajah telah menang dengan menewaskan calon DAP, M Manogaran, calon Pas, Mohd Tahir Kassim dan calon PSM,  B Suresh Kumar dengan majoriti 597 undi.

Pada pilihanraya kecil 26 Januari depan, selain MIC menarik diri dengan memberi laluan kepada UMNO memilih calon, Pas juga memutuskan tidak bertanding dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada BN.

Dengan yang demikian, pertembungan sebenar bagi pilihanraya kecil Cameron Highlands ini adalah antara Pakatan Harapan melalui calonnya daripada DAP, M Manogaran dan BN yang meletakkan Ramli Mohd Nor sebagai calon.

Dalam ertikata lain, pilihanraya kecil Cameron Highlands ini adalah pertembungan Melayu dengan bukan Melayu serta pertembungan DAP dengan UMNO.

Di atas kertas, laluan BN ternampak lebih mudah kerana pengundi Melayu dan Orang Asli sudah pasti akan memihak kepada Ramli Mohd Nor berbanding M Manogaran. Ditambah lagi dengan adanya bantuan dan sokongan daripada Pas, laluan menuju kemenangan itu ternampak lebih cerah lagi.

DAP barangkali hanya boleh bergantung harap kepada undi kaum Cina dan India saja yang masing-masing mewakili peratusan pengundi sebanyak 29 peratus dan 15 peratus.

Jika DAP gagal menembusi kelompok pengundi Melayu yang mewakili 34 peratus dan Orang Asli yang mewakili 22 peratus, ia bukan saja menyukarkan laluannya untuk menang, malah akan menyebabkan majoriti kekalahan akan bertambah besar lagi berbanding PRU14 lalu.

Realitinya, di Cameron Highlands ini, ia adalah suatu pilihanraya yang mencabar kemampuan Bersatu, PKR dan Amanah untuk menarik pengundi Melayu agar memberi sokongan kepada calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan.

Di sebalik pelbagai isu seperti kenaikan harga barang, kos sara hidup, janji manifesto yang belum tertunai, kenyataan Tun Mahathir Mohamad berkenaan peranan penting DAP dalam kerajaan dan sebagainya, mampukah parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan menarik sokongan yang diharap-harapkan itu? (ShahbudinHusin 11/01/2019)

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena