Saturday, 21 March 2015

BN, PR bakal berantakan? RUU boleh diluluskan dengan majoriti mudah daripada ahli Parlimen Umno dan Pas...

Ahad, 22 Mac 2015

BN, PR bakal berantakan kerana hudud

NIZAM ZAIN
SHAH ALAM – Bagaikan bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa, sebaik sahaja Adun Kelantan sebulat suara mencapai persetujuan untuk meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) bagi membolehkan negeri di pantai timur itu melaksanakan hukum hudud.

Baik parti pemerintah iaitu BN mahupun PR, kedua-dua gabungan ini bakal bergelut untuk meneruskan kerjasama politik di antara parti komponen mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan perjuangan.

Persamaan kemelut yang bakal dihadapi oleh kedua-kedua gabungan parti politik ini apabila parti komponen yang majoriti keahliannya dari kaum Cina seperti Gerakan dan MCA dari BN dan DAP dari PR ini dilihat seolah-olah “sepakat” menolak hasrat Pas Kelantan melaksanakan hukum syariat Islam itu.

Jika sebelum enakmen itu dibentangkan dalam sidang Dun Kelantan pun sudah bermacam amaran dan ugutan dilemparkan pemimpin mereka terhadap rakan komponen seperti Umno dan Pas, apatah lagi bila undang-undang Islam itu kini sudah diluluskan.

Kesepakatan pemimpin Islam dalam Umno dan Pas dalam hal itu akan teruji sejauh mana keutuhan kerjasama politik mereka dalam BN dan PR, sama ada bercerai talak tiga atau landskap politik Malaysia berubah sekali lagi.

DAP dan PKR sudah pun menyatakan pendirian mereka dengan jelas sebaik sahaja enakmen itu diluluskan semalam, kini tunggu giliran Umno dan parti komponen BN yang lain melakukan perkara sama.

Jika sokongan Umno kepada Pas sebelum ini benar-benar mampu diterjemahkan dalam bentuk undi dan tindakan khususnya daripada Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat, sudah tentu MCA, Gerakan, DAP dan PKR akan berputih mata.

Akhirnya perpaduan antara Umno dan Pas semakin utuh sekaligus menjadikan orang Melayu itu majoriti kuat bagi menghadapi PRU14.

Walaupun Umno dan Pas tidak bersatu sebagai sebuah parti politik namun mereka boleh bergabung dari segi ideologi agama dan isu Melayu seperti penggunaan Bahasa Melayu, agama Islam termasuk hudud dan kepentingan Raja-Raja Melayu.

Perlu diingat berdasarkan analisis PRU13, pengundi Cina paling ramai yang “berpaling tadah” daripada BN kerana memberi sokongan kepada PR, namun keadaan itu dijangka dapat diperbetulkan apabila Melayu kembali bersatu kerana hudud.

Pemimpin Umno juga berulang kali mempertahankan pendiriannya sebelum ini bahawa sebarang perkara yang berkaitan soal kepentingan agama Islam, mereka tidak teragak-agak bertolak ansur kepada mereka yang cuba mencabulinya.

Jadi tidak mustahil Gerakan dan MCA akan mengikut telunjuk Umno jika mereka ingin kembali mendapat kepercayaan rakyat pada pilihan raya akan datang.

Jaminan kerusi BN bertambah bukan alasan yang baik buat Umno jika semua parti komponennya sehaluan namun tidak boleh dinafikan kemungkinan itu kerana parti pemerintah itu perlu dilihat sebagai penyelamat keadaan atau “hero” di kala Pas mendapat tentangan daripada sekutunya dalam PR.

Cakap-cakap belakang bahawa Umno sangat licik mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan PR itu nampaknya semakin jelas dan berasas apabila wakilnya di Kelantan boleh sepakat mengundi untuk meluluskan enakmen hukum hudud itu.

Dengan bahasa mudahnya ialah Umno dan Pas masing-masing sudah “masuk kaki sebelah”, apa yang perlu mereka lakukan sekarang ialah memastikan Rang Undang-undang Persendirian (RUU) Kelantan boleh dibawa ke Dewan Rakyat sebelum boleh dilaksanakan di negeri itu.

Gerakan, MCA dan DAP sekali lagi akan “berputih mata” apabila RUU itu boleh diluluskan dengan majoriti mudah daripada ahli Parlimen Umno dan Pas sahaja apabila dibentang ke Parlimen nanti.

Kekuatan Umno kerana parti itu dominan dalam BN manakala Pas pula kerana gerak kerja di peringkat akar umbi dengan jentera parti yang besar antara faktor penyumbang kepada kemenangan dalam sesebuah pilihan raya.

Tidak hairanlah jika penyokong Pas juga akan taat kepada parti itu ke mana sahaja haluannya asalkan perjuangan matlamatnya tercapai, malah ia dianggap sebagai bonus apabila boleh bersatu dengan hati dengan parti politik Islam yang lain seperti Umno.

Posted by Kedah Lanie

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena