Showing posts with label Pertembungan 3 penjuru. Show all posts
Showing posts with label Pertembungan 3 penjuru. Show all posts

Thursday, 8 October 2015

[Video] ILHAM Centre - Pertembungan 3 penjuru lebih sengit di pantai barat...Adakah memihak kepada Pakatan HARAPAN?

Khamis, 8 Oktober 2015


PRU14: Pertembungan 3 penjuru dijangka lebih sengit di Pantai Barat - ILHAM Centre 

KUALA LUMPUR: Pertembungan tiga penjuru bakal berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 di beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. 

Hal ini diakibatkan oleh perpecahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang. 

Ketua Pegawai Eksekutif, ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, pertembungan tiga penjuru itu membuatkan pengundi Melayu sukar membuat keputusan bagi memilih parti yang akan mewakili mereka. 

"Negeri yang jelas bakal berlaku pertembungan tiga penjuru ialah di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. 

"Pertembungan di negeri terbabit bakal memperlihatkan satu pertembungan yang sengit sehingga mengganggu pengundi untuk membuat keputusan. 

"Bagi negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, pertembungan ini mungkin akan berlaku di beberapa kawasan sahaja dan kesan pertembungan ini sedikit kurang berbanding di selatan Semenanjung Malaysia," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini hari ini. 

Tambahnya perkembangan teknologi maklumat di sekitar Pantai Barat Semenanjung turut memberi kesan kepada sosio-budaya masyarakatnya. 

"Masyarakat di Pantai Barat Semenanjung mempunyai budaya berfikir yang lebih terbuka serta penilaian maklumat yang lebih rasional. 

"Keadaan ini berbeza dengan mereka di Pantai Timur Semenanjung yang dianggap keras dengan pegangan politik mereka," tambahnya. 

Sebelum ini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah meluluskan permohonan Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia untuk meminda undang-undangnya termasuk penukaran nama pertubuhan itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah). 

Penubuhan Amanah memberi tamparan hebat buat PAS dalam mengukuhkan kedudukan politiknya kerana dilihat mampu mencabar kedudukan PAS dalam pilihan raya terutamanya untuk memenangi hati pengundi Melayu. 

Dengan penubuhan Pakatan Harapan, PAS dilihat dibiar bersendirian biarpun ada yang berpendapat PKR masih memerlukan PAS untuk memastikan kejayaan pada PRU14. 

-astrowani 

ULASAN GB
Pertandingan 3 penjuru sudah bermula semenjak kecurangan dan pengkhianatan PAS terhadap Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya umum 2013. Isu "watikah" yang telah menyebabkan kekalahan calon Pakatan di tujuh buah kerusi iaitu Bukit Besi, Seberang Takir, Kota Putera, Labuan, Kota Damansara, Sungai Acheh dan Panti. 

Apa yang berlaku di dalam pertandingan 3 penjuru itu? Perpecahan undi di kalangan komponen Pakatan Rakyat yang akhirnya memberi kemenangan kepada calon BN pada ketika itu. 





BN akan menang jika berlau 3 penjuru? Dulu ya, tetapi tidak lagi sekarang kerana kini BN menghadapi masalah keyakinan rakyat terhadapnya akibat dari pelbagai skandal dan isu yang melanda negara. Rakyat akan memilih parti yang berpotensi untuk ke Putrajaya iaitu Pakatan Harapan. Itu jelas. Kita tidak faham mengapa PKR masih terhegeh-hegeh mengharapkan PAS.

Tepat seperti mana kata Dr Mazlee di dalam video di atas, jika PAS ingin terus relevan di dalam politik Malaysia, PAS tidak boleh sendirian walaupun mereka mempunyai "siku dan lutut". Mereka telah menolak DAP dan AMANAH, oleh tu yang paling realistik mereka perlu menyertai BN. 

ulasan:

Tanpa Nama berkata...
Andaian ini sekiranya SPR tidak menipu atau strategik SPR tidak menjadi.

Andaian ini berdasarkan pada kerusi yang di miliki oleh PAS dan PH dan tidak mengambil kira kerusi yang di menangi oleh BN. Status kerusi kekal.

Andaian ini ialah pertanding antara Amanah dan PAS iaitu kawasan majoriti melayu dengan andaian melayu UMNO tidak mengundi UMNO sebab UMNO di tolak berikutan berbagai-bagai isu.

Penilaian pengundi ialah mustahil parti yang bersendirian mampu menjadi kerajaan atau pembangkang yang berkesan.

Sekiranya untuk memberi undi tidak percaya pemimpin PAS boleh bertanya siapa penganti Najib, apakah pemimpin PAS boleh lakukan sekiranya menjadi pembangkang apa lagi kerajaan? Isu ini perlu diselesaikan sekarang jika tidak PAS perlu bersama BN atau PH.

Peningkatan pengundi tidak suka cara dan sikap pemimpin PAS seperti Hj Hadi semakin meningkat. Kita tidak boleh menolak penurunan pengundi BN yang keciwa dengan Najib.

Amanah sekuntum bunga raya berwarna oren yang berkembang dan dari 18 kuntum telah menjadi 30 kuntum pasti menarik mata memandang.

Mengapa andian hanya dibuat antara PAS lawan PH? Mengapa tidak buat andian PAS lawan BN ? Ini akan mempengaruhi pengundi bahawa PAS dan UMNO bekerjasama sedangkan pengundi tolak UMNO. Sebab itu bila PAS lawan Amanah, yang ada kemungkinan menang ialah Amanah.

Tumpukan lawan UMNO/BN sepenuhnya semasa pilihanraya, siapa yang lawan UMNO/BN lah yang akan menang.
bat8 berkata...
GB
Tepat pendapat tuan. Di pantai barat, jika berlaku pentandingan 3 penjuru, ia akan memihak kepada PH. PAS sudah luntur pengaruhnya di pantai barat kecuali dikawasan2 tertentu sahaja. UMNO pun juga sedang m3nghadapi masaalah. Seb3narnya yang memenangkan sesuatu parti dalam PRU adalah pengundi atas pagar. Dengan tekanan kos hidup dan pelbagai masaalah yang m3nimpa PAS dan UMNO, kedudukan UMNO tidak sekukuh dalam PRU 13. Yang menangkan BN dalam PRU 13 lalu adalah duit yang ditabur seperti BR1M dan lain-laij. Bolehkah BN atau UMNO khususnya berbelanja mewah seperti PRU 13?

Sekarang sudah wujud kerjasama PAS-UMNO secara terus walaupun tiada pengumuman dibuat s3cara rasmi. Pengumuman ini tidak akan dibuat oleh UMNO dan terutama oleh pihak PAS kerana akan berlaku satu pemberontakan besar-besaran dikalangan ahli PAS. Kerjasama penuh sekarang akan terus berjalan tanpa PAS membuat pengumuman. Apa yang akan terjadi, kerjasama itu kita nampak tetapi tak boleh tuduh sebab xde pengumuman rasmi.

Jadi saya berpendapat, pertandingan 3 penjuru ini tidak akan berlaku secara meluas. Ia akan berlaku dikawasan2 yang dirancang oleh pakatan UMNO-PAS sahaja untuk mengabui mata rakyat terutama ahli PAS akar umbi. Bagi kawasan yang mereka mahu UMNO menang, calon UMNO diletak seseorang yang mempunyai peluang untuk menang iaitu somebody dan calon PAS pula seseorang yang nobody.
Read More

Sunday, 2 August 2015

SOAL JAWAB bersama YB KHALID SAMAD - Pertembungan 3 penjuru (PAS, UMNO dan GHB) siapa akan menang? Terdapat 3 kemungkinan...

Isnin, 3 Ogos 2015

GHB - SOAL JAWAB BERSAMA YB KHALID SAMAD

Saya ( KHALID SAMAD - gambar ) telah menerima beberapa soalan berhubung Harapan Baru dan kesannya terhadap hala tuju politik Negara. Saya telah berjanji untuk menjawabnya melalui blog saya kerana saya berpendapat bahawa ianya turut bermanafaat kepada masyarakat ramai selain yang bertanya.

Soalan 1
“Bagaimana pembahagian kerusi pada PRU 14 akan datang dan seterusnya? Jika berlaku pertembungan 3 penjuru (PAS, UMNO dan parti baharu) siapa akan menang?


Pembahagian kerusi akan bergantung kepada suasana sebelum PRU 14. Terdapat 3 kemungkinan.

Pertama, PAS bersama PR 2.0. Dalam keadaan ini pembahagian kerusi boleh dirunding kembali. Mungkin PAS di Pantai Timur dan Harapan Baru (HB) di pantai barat? Perlu tunggu dan lihat. Adakah mungkin PAS kembali berdamai dengan DAP dan Harapan Baru?

Kedua, PAS bersendirian dan HB bersama PR 2.0. Ini akan menghasilkan 3 kemungkinan lagi.

Kemungkinan 2(a): Diadakan persefahaman politik antara PAS dan PR 2.0 dan dengan itu maka kembali kepada keadaan seperti kemungkinan pertama.

Kemungkinan 2(b): PAS bersendirian, tiada persefahaman politik dengan mana-mana pihak. Maka berlaku tiga penjuru seperti yang diinginkan oleh PJ PAS Perak apabila disebut PAS Perak akan bertanding kesemua 59 kerusi DUN Perak. Maka rakyat perlu pilih antara BN, PR 2.0 atau PAS.

Kemungkinan 2(c): PAS mengadakan persefahaman politik dengan BN dan dalam keadaan itu rakyat perlu pilih di antara BN/PAS dan PR2.0.

Ketiga, PAS bersama BN. Maka keadaan kemungkinan 2(c) seperti di atas akan kembali merupakan pilihan.

Sekiranya berlaku 3 penjuru, maka rakyat kena bijak apabila memilih antara calon parti yang ingin menang dan membentuk kerajaan menggantikan BN dan calon yang bertanding “hanya demi keredhaan Allah, kalah pun tidak mengapa”. Maka yang bertanding demi keredhaan Allah, kalah pun tidak mengapa; insyaAllah tercapai matlamat mereka dengan hanya sekadar bertanding. Oleh itu, tidak perlu undi mereka dan undi pihak yang ingin menang dan menggantikan kerajaan BN. Maka dengan itu kedua-dua pihak, iaitu PAS dan HB mencapai matlamat mereka masing-masing. Satu sekadar ingin bertanding demi keredhaan Allah dan satu lagi pihak bertanding untuk menang demi keredhaan Allah.

Siapa akan menang? Bergantung pada kefahman rakyat dan betapa kuatnya keinginan rakyat untuk menggantikan BN. Kalau keinginannya kuat, mengatasi segala yang lain, maka PR 2.0 akan dimenangkan. Lebih-lebih lagi apabila disedari bahawa jika dimenangkan PAS sekalipun, terdapat kemungkinan PAS akan bersama BN untuk tubuh kerajaan seperti pernah dicadangkan pada 2008 dan semasa krisis MB Selangor.

Soalan 2:
“Apakah probabiliti yang tidak akan wujud parti baharu lain jika sekiranya wujud serpihan yang tidak puas hati pula dengan performance parti baharu A pada pilihanraya seterusnya?”
 
Kemungkinan itu akan sentiasa wujud. Terpulang pada pihak yang terlibat. ‘Serpihan B’ dari PAS pun boleh berlaku bukan sekadar serpihan dari parti baharu A. Namun akhirnya terpulang pada rakyat samada untuk menyokong atau tidak.

Kalau sekiranya parti ‘serpihan B’ dapat sokongan mengatasi parti ‘serpihan A’ dan PAS, dan selepas itu mereka memberi khidmat yang baik; maka satu hari kelak mungkin juga ‘serpihan A’ atau PAS sendiri akan bungkus. Tiada yang kekal kecuali Allah.

Namun kebiasaannya parti serpihan tidak akan menerima sokongan kecuali terdapat sebab dan alasan kukuh di atas penubuhannya.

Soalan 3:
“Apa value added parti baharu ini kepada gabungan baharu nanti seperti dulu PAS menjadi value added kepada Pakatan Pembangkang tahun 1990 dulu?”


Tahun mungkin tidak betul, bukan 1990 yang dimaksudkan? Masa itu PAS bersama Semangat 46 iaitu Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Atau itu yang dimaksudkan? Namun soalannya difahami walau apa pun.

‘Value addednya’ adalah terbentuknya satu gabungan yang benar-benar ingin berkerjasama dan memerintah atas dasar dipersetujui bersama atau ‘common policy framework’. Dasar dipersetujui bersama merujuk kepada dasar yang akan dilaksanakan sebagai kerajaan. Namun, adanya dasar yang dipersetujui ini tidak menghalang setiap parti bergerak di tengah masyarakat membawa agenda khusus parti berkenaan atas nama parti masing-masing.

Keadaan sebegini di mana usaha kerjasama dilakukan secara bersungguh-sungguh dan jujur tidak pernah wujud semasa PR bersama PAS. Dari awal PAS kelihatan teragak-agak seolah-olah berada dalam satu gabungan yang tidak begitu diingininya. Ingat kembali pengalaman dengan Dr. Hassan Ali. Mungkin terpaksa atas sebab hujjah yang dibawa ‘golongan progressive’, atau HB sekarang, yang tidak dapat dijawab sejak dari dulu.

Oleh itu keberkesanan gabungan PR tidak dapat dibuktikan dengan sejelas yang diinginkan atas sebab ketiadaan kommitmen 100% dari PAS. Namun begitu, bertambah kerusi juga di Selangor!

PR Selangor wajar dijadikan bukti untungnya PAS melalui PR. Dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Negeri dipersetujui bersama. Sambil itu PAS bergerak di tengah masyarakat membawa kefahaman Islam dan perjuangannya. Masjid dan Surau dibuka luas dan diberikan kebebasan untuk PAS memberikan kefahaman kepada ummat Islam berhubung perjuangan Islam. Malangnya dipersia-siakan peluang ini oleh sebahagian penceramah yang lebih giat memburukkan individu tertentu yang tidak disenangi. Sedangkan dengan itu PAS untung dari dua sudut. Pertama, sebahagian dasar yang ingin dilaksana terlaksana, sebagai contoh, bantuan kepada sekolah tahfiz. Kedua, pada masa yang sama kebebasan bergerak sepertimana yang tidak sanggup diberikan BN telah turut dinikmati.

Malangnya kelebihan ini seolah-olah tidak disedari pimpinan utama walaupun disebut dan dinyatakan berulang-kali oleh PAS Selangor sendiri. Akhirnya hubungan dengan DAP serta PKR tetap dikucar kacirkan dan terjadilah apa yang telah terjadi.

Soalan 4:
“Adakah wujud Baiah sehingga menceraikan isteri sebagaimana laporan Malaysiakini?” Ya, Baiah itu ada. Pada 2008 hampir semua negeri mengamalkannya. Pada 2013 hanya Kelantan sahaja yang kekal dengan baiah tersebut.


Saya difahamkan ianya mula diamalkan pada 2006 atau 2007 apabila PAS tinggal majoriti hanya 1 kerusi setelah kalah dalam Pilihanraya kecil. Pada asalnya ada majoriti 3 kerusi tetapi apabila sudah kalah pilihanraya kecil tersebut maka kerusi PAS kurang satu dan kerusi UMNO/BN bertambah satu. Sebagai contoh kalau asalnya 25 PAS dan 22 UMNO/BN, maka apabila PAS kalah 1, maka PAS tinggal 24 kerusi DUN sahaja. UMNO/BN pula tambah satu maka dari 22 menjadi 23 kerusi DUN. Bezanya hanya 1 kerusi ADUN.

Dalam keadaan itu, dengan penuh kekhuatiran bahawa UMNO akan cuba beli, ugut dan sebagainya supaya sekurang-kurangnya seorang ADUN PAS akan lompat, maka demi menyelamatkan kerajaan PAS Kelantan, TGNA memanggil kesemua ADUN PAS untuk berbaiah dengan baiah ini. Kekhuatiran PAS pada ketika itu sememangnya berasas. Soal beli calon dianggap amalan biasa pihak UMNO/BN.

Malangnya selepas suasana yang dianggap cemas dan darurat itu sudah tiada lagi, baiah itu terus dikekalkan. Tetapi untuk negeri-negeri lain ianya dibuat tahun itu sahaja dan hasil teguran dan nasihat dalaman sendiri, ianya tidak lagi diamalkan pada 2013. Kecuali di Kelantan.

Soalan 5:
“Apa perbezaan ketara GHB dan PAS yang memberi keyakinan kepada saya untuk tukar tanpa ragu wadah saya?”


Sebenarnya Harapan Baru sahaja iaitu HB dan bukan GHB. Perbezaannya adalah pendekatan. Asas perjuangannya insyaAllah sama, iaitu Islam. Tetapi dalam soal pendekatan HB akan berusaha untuk lebih terbuka dan jujur dalam berpakat tetapi tanpa menggadaikan prinsip Islamnya. Tidak akan cakap lain tetapi buat lain, mungkir janji dan istiqamah tidak hadir mesyuarat. HB ada menunjukkan keinginan bersungguh-sungguh untuk menang dalam PRU 14 bersama PR 2.0 dengan penuh keyakinan kemenangan itu boleh dicapai bersama keredhaan Allah. Juga tidak berpegang kepada kepercayaan khurafat bahawa hanya UMNO/BN boleh memerintah dengan membela nasib Islam dan ummat Islam. Adalah diyakini bahawa insyaAllah PR 2.0 yang HB bersamanya akan menguntungkan perjuangan Islam dan ummatnya dengan lebih baik lagi dan oleh itu HB tidak ‘takut dengan kemenangan’ (fear of success).

Secara ringkasnya HB berpegang teguh dengan konsep Islam sebagai

1. Rahmatan lil ‘alamin, iaitu rahmat untuk seluruh alam bukan untuk orang Islam Melayu sahaja,

2. Politik Islam adalah politik li ta’arafu iaitu untuk berkenalan dan berbaik-baik bukan untuk mengadu domba antara kaum,

3. Matlamat politik Islam ‘li yaquman nasu bil qist’ iaitu untuk manusia menegakkan keadilan sesama manusia secara keseluruhannya dan bukan sahaja untuk Melayu Islam, dan

4. Politik Islam adalah politik amanah dan berpegang pada janji walaupun dengan yang bukan Islam. Rujuk kisah Hudaibiyyah dan ayat 94 Surah An-Nahl serta tafsirannya.

Walaupun PAS akan cuba menyatakan bahawa mereka sama sahaja, tetapi itu terpulanglah kepada rakyat untuk membuat penilaian.

Soalan 6:
“Apakah yang dimaksudkan YB bahawa PAS telah terkeluar dari Baiahnya sendiri?”


Sefaham saya, baiah ini adalah di antara dua pihak. Satu yang memberi dan satu lagi menerima. Kedua-dua pihak ada tanggung-jawabnya terhadap satu sama lain. Dalam konteks baiah yang dilakukan sebagai calon PRU 13, ianya adalah untuk melakukan tugas tertentu, iaitu menjadi calon dalam PRU ke 13 sebagai calon PAS. PAS pula menurunkan calonnya sebagai sebahagian dari Pakatan Rakyat iaitu gabungan PKR, DAP dan PAS. Dalam kempen yang dilakukan semua calon PAS memanafaatkan manifesto PR, bercakap atas nama PR dan berkempen bersama rakan PR. Undi yang diperolehi sebahagiannya adalah atas sebab PAS bersama PR.

Oleh itu apabila membuat baiah sebagai calon PAS, semua memahami bahawa hubungan PAS dan PR, lebih-lebih lagi di Selangor di mana PR memerintah bersama. Ini bererti sambil calon ada baiah dengan PAS dan PAS juga berjanji (atau baiah) dengan PR. Dan janji PAS dengan PR diketahui dan dipersetujui semua calon. Janji PAS dengan PR inilah yang telah lama dilanggar seperti kes Kota Damansara, pil kuda, MB Selangor serta lain lagi dan akhirnya mengambil bentuk rasmi mutakhir ini. Ini menjadikan baiah calon juga yang telah bersetuju dalam konteks dan suasana terdahulu turut tercabar keabsahannya.

Namun demikian saya bersetuju bahawa sekiranya baiah tersebut ingin dilanggar maka perlu yang melanggarnya beristighfar dan membayar kaffarah. InsyaAllah sekiranya ianya dilakukan demi yang kebaikan Islam, Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengampuni.

Soalan 7:
“Bagaimanakah GHB nak atasi persepsi GHB ‘anjing DAP’ untuk meraih undi pengundi luar bandar?”


Persepsi ini akan diatasi melalui kata-kata dan tindakan.

Hakikatnya persoalan perlaksanaan sistem perundangan Islam, termasuk hudud, tetap ada dalam matlamat perjuagan Harapan Baru (HB). Hanya pendekatan ke arah perlaksanaannya adalah jauh berbeza di mana kebergantungan kepada UMNO tidak merupakan sebahagian dari strateginya. Sebenarnya inilah yang membezakan sikap pengasas HB dan PAS. Pengasas HB menganggap UMNO hanya memperalatkan hudud untuk memecah-belahkan PR. PAS berkeyakinan UMNO ikhlas sehingga sanggup memecahkan PR demi mendapatkan bantuan UMNO supaya hudud terlaksana. Siapa betul perlu dinilai sendiri oleh semua.

Kedua, terdapat pimpinan PAS yang beranggapan orang Melayu tidak mahu pada PAS kerana PAS bersama DAP di dalam PR. Kenyataan ini meyakinkan saya bahawa pimpinan tersebut telah termakan dengan propoganda UMNO/BN. Oleh itu usaha ‘bergaduh’ dengan DAP dan mengeluarkan DAP dari PR dilakukan mereka. Sedangkan statistik menunjukkan sokongan Melayu dan bukan Melayu terhadap PAS telah bertambah apabila bersama PR. Amat malang apabila terdapat pimpinan terpengaruh dengan kata-kata UMNO/BN dan MKN. HB menganggap DAP sebagai rakan dan asset, pimpinan PAS melihat mereka sebagai musuh dan liabiliti. Bagaimana untuk selaras?
Maaf kalau tidak sempat menjawab semua soalan. Terlalu banyak. InsyaAllah ianya akan turut dijawab oleh website HB apabila ianya siap dan dilancarkan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Read More
Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena