Showing posts with label ustaz muda. Show all posts
Showing posts with label ustaz muda. Show all posts

Thursday, 23 July 2015

Ustaz muda pengaruhi & mengubah sikap Hadi..."Memencilkan perjuangan Islam PAS hanya kepada isu hudud sahaja".

Jumaat, 24 Julai 2015

Ustaz muda pengaruhi Hadi tumpu perjuangan hanya Hudud

Ustaz muda pengaruhi Hadi tumpu perjuangan hanya Hudud
Kemasukan kumpulan ustaz muda ke dalam PAS mengubah sikap Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi lebih tertutup kata anak lelaki bekas presiden PAS Muhammad Faiz Fadzil.

Kata Faiz, golongan tersebut menyertai dan aktif dalam PAS selepas wujud kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

Mereka, katanya, kemudian memencilkan perjuangan Islam PAS hanya kepada isu hudud sahaja.

“Kebiasaannya mereka memegang jawatan dalam PAS dan mula menyingkir golongan profesional dengan melancarkan pelbagai isu, seperti menolak DAP dan pada masa sama, mengabaikan slogan PAS for All (PAS untuk semua).

“Golongan ini melihat islam terhad kepada hudud saja semata-mata dan manu pecahkan pakatan rakyat,” katanya di forum anjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan semalam.

Forum itu turut dihadiri Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Low Chee Chong dan penganalisis Lim Hong Siang.

Faiz berkata beliau melihat perubahan strategi politik Abdul Hadi yang dulu terbuka kini tertutup ekoran pengaruh gelombang ustaz muda dalam PAS.

Faiz Fadzil berkata demikian sebagai menjawab soalan diajukan Timbalan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan Lau Chee Boon.

Panggil Abdul Hadi berdialog

Kata Lau, pihaknya pernah berdialog dengan Abdul Hadi sebelum pilihan raya umum 2013 dan Abdul Hadi kelihatan berfikiran terbuka ketika itu.

“Mengapakah pendirian Abdul Hadi boleh bertukar begitu cepat? Sebelum 505 (tarikh pilihan raya umum ke-13), dia memang berfikiran terbuka. Dia kata PAS mempertegaskan perjuangan negara berkebajikan.

“Saya sangat hairan, selepas pilihan raya, dia tukar begitu cepat. Dia berdegil nak melaksanakan hudud,” katanya.

Faiz berkata Abdul Hadi perlu diajak berdialog bagi mendapatkan penjelasan mengenai perubahan sikap berkenaan.

“Kita kena panggil Abdul Hadi berdialog lagi untuk tanya, sebab saya pun mahu tanya dia,” kata Faiz.

Sementara itu Teo (kiri) berpendapat sikap Abdul Hadi bertukar berikutan pergolakan dalaman UMNO.

“Semasa video (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebar, saya tahu inilah sebab mengapa Hadi Awang bertukar sikap.

“Jika orang nombor dua ini membawa sebilangan ahli keluar dari UMNO, mereka yang pro-UMNO atau prokerajaan perpaduan mungkin dapat mengisi jawatan kosong tersebut,” dakwa Teo.

Video dimaksudkan Teo adalah rakaman ucapan tertutup Muhyiddin mengenai isu 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Posted by Kedah Lanie
Read More

Friday, 22 May 2015

"Kita bimbang ustaz muda bawa parti ke jalan terpesong", kata Faiz

Jumaat. 22 Mei 2015

Kenyataan Nik Abduh Bahawa Hudud Hanya Sesuai Di Kelantan Adalah Bahaya

Anak bekas presiden PAS bimbang jika Nik Abduh menang ketua Pemuda

Faiz Fadzil melahirkan kebimbangan kenyataan yang dikeluarkan Nik Abduh Nik Aziz akan menghalang agenda pembaharuan parti semasa forum Masa Depan PAS Pasca Muktamar yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

Kemenangan Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam persaingan ketua pemuda dibimbangi akan merencatkan agenda pembaharuan sayap itu, kata anak kepada bekas Presiden PAS Datuk Fadzil Noor.

Faiz Fadzil yang juga bertanding merebut jawatan ahli jawatankuasa Pemuda PAS Pusat dalam pemilihan parti kali ini bimbang kenyataan yang dikeluarkan Nik Abduh sebelum ini akan menghalang agenda pembaharuan parti.

“Saya risau kalau betul kenyataan dia semalam, dia kata hudud boleh buat di Kelantan tapi bukan di Malaysia.


“Saya risau kalau pemimpin macam ini, apa yang dia nak bawa? Kalau saya nak reform Pemuda, saya takut tak boleh nak reform sebab ketua pun tak tau apa nak buat,” katanya menerusi forum "Masa Depan PAS Pasca Muktamar" yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata, pembaharuan hanya dapat dilakukan kepada mereka yang bersedia untuk berubah dan disokong oleh pimpinan lain.

Nik Abduh sebelum ini sering kali mengkritik parti-parti komponen lain Pakatan Rakyat (PR) secara terbuka terutamanya DAP dalam isu hudud Kelantan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyelar golongan ustaz muda yang tidak hormat kepada pemimpin kanan dalam parti.

Katanya, golongan berkenaan dengan mudah menuduh kelompok dalam PAS sebagai liberal dan anti ulama sedangkan masih tidak memahami landskap perjuangan parti.

“Yang baru masuk PAS 2,3 hari, bercakap macam masuk PAS dah 20 tahun. Tak hormat dekat orang tua, orang lama. Macam la mereka dah kenal PAS lebih awal daripada kita.

“Tandatangan borang pun tak kering lagi ni, dah mencabar orang tak betul. Ini ustaz-ustaz muda ini yang balik dari Mesir. Tak hormat langsung ulama-ulama yang dah ada di sini.

“Senang kata dekat orang liberal, anti ulama. Apa ini? Baru balik 2,3 hari. Belajarlah dulu. Kami belajar dari bawah, bertatih daripada cawangan naik kepada kawasan dan negeri,” katanya yang turut menjadi panel dalam forum berkenaan.

Senada dengan Mujahid, Faiz berkata apa yang dibimbangkan adalah golongan ustaz muda yang akan membawa PAS ke jalan yang terpesong.

Katanya, insiden demonstrasi di depan Pejabat Agung PAS memberikan imej yang buruk kepada parti sekali gus memberi mesej yang salah terhadap agenda perjuangan parti.

“Yang kita bimbang ustaz muda bawa parti ke jalan terpesong. PAS boleh dibawa ke jalan terpesong menjadi ekstrem bila saya tengok beberapa orang buat demonstrasi di hadapan Pejabat Agung.

“Ini budaya samseng. Kalau kamu handal sangat, ada prinsip, buatlah demonstrasi di depan PWTC. Kenapa depan pejabat agung? Depan pejabat sendiri, melalak dalam rumah sendiri,” katanya.

Pada Februari lalu, sekumpulan Pemuda dan Ulama PAS dipimpin Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan disertai Ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik berdemonstrasi di pintu masuk Pejabat Agung PAS.

Mereka menaikkan kertas pemidang menuduh ketua pengarah pilihan raya PAS Dr Hatta Ramli sebagai dalang konspirasi menggulingkan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut dituduh ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Husam Musa dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat Aiman Athirah al-Jundi.- 22 Mei, 2015.

Dalam memorandum yang disampaikan, mereka mendakwa lebih separuh daripada AJK PAS tidak menyokong Hadi. - tmi
Read More

Monday, 27 April 2015

PAS berpecah selepas ‘ustaz muda’ mahu kuasai parti...

Isnin, 27 April 2015

PAS berpecah selepas ‘ustaz muda’ mahu kuasai parti

OLEH MD IZWAN

Bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang mengatakan kemunculan kumpulan ulama muda bercita-cita tinggi dan mahu menguasai sepenuhnya parti Islam itu sebagai punca kepada kemelut yang melanda pada ketika ini.

Ahmad yang sudah mendapat cukup pencalonan untuk melawan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkata, kumpulan tersebut merasakan mereka sepatutnya menguasai parti selepas berada dalam keadaan kukuh hasil kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat (PR) PKR dan DAP.

"Jadi maknanya, punca kepada perkara ini antaranya ada golongan terbaru ini (ulama muda), kerana mereka sekarang merasakan mereka yang sepatutnya patut menguasai parti sebab PAS sudah ke depan dan berada di persada politik tanah air," katanya dalam satu forum yang diadakan di Ampang, Selangor malam tadi. Beliau turut merasmikan buku "Melakar Agenda", tulisan Dr Mujahid Yusof Rawa.

Turut hadir dalam forum tersebut ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang Saari Sungib. Menurut Ahmad, kumpulan ini  juga menentang kuat kerjasama PAS dengan PR  kerana mereka mungkin tidak sedar kejayaan parti sebenarnya hasil daripada kerjasama dengan PKR dan DAP.

"Mereka ini mendapat nikmat hasil kemenangan Pakatan tapi bagi saya mereka ini terlupa kemenangan ini sebab ada Pakatan," katanya.

Memberikan contoh kemenangan PAS di Selangor, Ahmad berkata mustahil untuk parti Islam itu menang 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika tanpa kerjasama PR.

"Kalau PAS sahaja bertanding secara sendirian saya tidak percaya PAS boleh dapat 15 DUN di Selangor ini," katanya.

Beliau juga mengkritik kumpulan ulama muda ini yang disifatkannya lupa daratan kerana tanpa PR, kejayaan PAS tidak mungkin akan berjaya seperti sekarang.

"Kalau masa tidak ada peluang menang dahulu, ustaz-ustaz ini kalau ditawar jadi calon pun, belum pasti sanggup bertanding.

"Sekarang ini, masing-masing nak jadi calon pasal nikmat, berebut nak pegang jawatan di peringkat kawasan dan negeri," katanya.

Ahmad juga mempersoalkan kumpulan ulama muda kerana mudah memberi label seperti liberal atau sekular kepada individu tertentu walhal mereka tidak pernah memahami istilah pengorbanan yang terpaksa dihadapi pemimpin PAS sebelum dapat mengecap kejayaan sekarang ini.

"Orang-orang ini tidak pernah berasa susah, bila mereka balik sudah lihat semua sudah mudah dan bercahaya, orang dahulu seperti Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ), Dr Hatta (Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Mohd Hatta Ramli), Saari Sungib (Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang), mereka ini semua masuk penjara," katanya.

Sebelum ini, Ahmad juga pernah membangkitkan mengenai serangan ke atas Mohamad yang dibuat melalui baju-T dijual di Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran Dewan Ulama PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam himpunan itu, seorang penjual menjual baju yang tertulis "Yes to Hudud, No to Mat Sabu" di sebuah gerai di himpunan itu.

Ahmad juga menegaskan  masalah yang sedang melanda parti itu sangat teruk, tidak kecil seperti dakwaan presidennya, Hadi.

Jika dibiarkan berterusan, parti boleh hancur, kata Ahmad yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Presiden kata ia perkara kecil. Apa yang ada sekarang ini bagi saya sangat teruk, dan jika terus dibiarkan, ia boleh menghancurkan parti," kata bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS itu.

PAS pada ketika ini dilanda kemelut dalaman akibat perbezaan pendapat sama ada mahu bersama atau meninggalkan PR. Selain itu, presiden PAS sering kali melakukan tindakan yang menentang parti PR seperti DAP dan PKR.

Antaranya ialah langkah PKR menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dan pilihan raya kecil DUN Kajang.

Kemelut itu berpanjangan apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipilih sebagai calon untuk jawatan menteri besar, tetapi tidak dipersetujui PAS terutama Hadi, walaupun PKR dan DAP setuju hanya satu nama harus dikemukakan kepada Sultan Selangor.

Keadaan menjadi bertambah buruk dengan keputusan PAS Kelantan meminda Enakmen Jenayah Syariah II negeri itu, dalam usaha membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan, disusuli tindakan Hadi membelakangkan PR dengan memohon membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965.

Tahun lepas, akibat keadaan yang tidak stabil dalam PAS itu, beberapa ahli parti Islam itu memutuskan menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) bertujuan mengukuhkan hubungan dalam PR.

Ahmad masih belum membuat keputusan untuk melawan Hadi, tetapi sekiranya berlaku pertandingan beliau mengharapkan amalan demokrasi diamalkan dengan baik.

Ahmad juga dilihat sebagai seorang tokoh ulama yang perlu diketengahkan.  – themalaysianinsider.com
Read More
Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena