Sunday, 20 April 2014

Berita kematian Karpal Singh telah sampai ke Ulanbataar, Mongolia...

Ahad, 20 April 2014

Bapa Altantuya ucap takziah pada keluarga Karpal

Berita kematian peguam Karpal Singh telah sampai ke Ulanbataar, Mongolia.

Akhbar berbahasa Mongolia - Zuunii Medee atau Century News - menyiarkan dua muka surat temubual dengan bapa Altantuya, Shaariibuu Setev yang mencurahkan isi hatinya mengenai Karpal dalam satu artikel bertajuk 'Pemimpin DAP Malaysia Karpal Singh maut dalam nahas kereta".

Shaariibuu berkata, beliau mengenali "insan yang terulung itu" yang membantunya dalam perbicaraan dua bekas anggota polis yang disyaki membunuh Altantuya dengan bahan letupan plastik pada Oktober 2006.

Karpal begitu tekun sebagai peguam pemerhati bagi pihak Shaariibuu sejak kes itu bermula pada tahun 2007 dan setia memaklumkan kepadanya perkembangan kes di Malaysia.
Shaariibuu berkata beliau telah menghantar ucapan takziah yang teramat sangat kepada keluarga Karpal di mana mendiang sentiasa bersama mereka ketika beliau dalam masa paling buruk dalam hidupnya.

"Apabila anak saya meninggal dunia lapan tahun lalu di Malaysia... saya tak tahu mana nak tuju," katanya dalam emel kepada Malaysiakini.

"Pada saat itu, Karpal sendiri menemui saya. Beliau merasakan bahawa tidak ada siapa yang boleh membantu kes anak perempuan saya di Malaysia," katanya.

"Beliau bukan sahaja seorang peguambela tetapi juga pembela hak asasi manusia yang terulung di Asia Tenggara, " katanya.

Kali terakhir Shaariibuu bertemu dengan Karpal ialah di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 11 April 2012, di mana beliau bergambar dengan peguamnya dan menghadiahkan selimut Mongolia untuk menutup lututnya.

"Selimut ini bagus untuk lutut. Ia akan sentiasa memanas anda," Shaariibuu memberitahu Karpal sambil menepuk lututnya.

Percakapannya itu telah diterjemahkan kepada Karpal oleh pegawai Kementerian Luar Mongolia yang bersama Shaariibuu dalam rangka lawatan tiga hari ke Kuala Lumpur.

Malaysiakini turut hadir semasa lawatan itu.
Shaariibuu bertemu dengan Karpal ketika itu untuk mempercepatkan saman RM100 juta yang difailkannya pada tahun 2007 terhadap kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan dua pengawal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas penderitaan yang ditanggung oleh keluarganya - termasuk dua anak Altantuya - akibat anak perempuannya itu.
Shaariibuu menyuarakan kebimbangannya tahun lepas bahawa samannya mungkin tidak lagi sah kerana kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) - Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar - yang sebelumnya telah disabitkan dengan pembunuhan anaknya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam - telah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos tahun lepas.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 23-25 ​​jun untuk mendengar rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan kedua-duanya, di mana Karpal sepatautnya hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Shaariibuu.

Peguamnya yang berpejabat di Ulanbataar, Munkhsaruul Mijiddorj, berkata Shariibuu memintanya menghantar ucapan takziah kepada keluarga Karpal.

"Ramai rakyat Mongolia sedih dan berdukacita atas kematian beliau," kata Munkhsaruul yang telah menemani Shaariibuu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri perbicaraan pembunuhan Altantuya.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena