Adun PAS, Saari Sungib Tolak Jawatan Exco Selangor
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib sedia menarik diri sekiranya beliau dicalonkan sebagai exco Selangor baharu yang akan mengangkat sumpah pada Jumaat. Beliau berkata, jawatan sebagai panel penasihat bagi memantau pengagihan dana dan pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) di Selangor yang telah diberikan kepadanya sebelum ini sudah memadai.
“Saya akan tarik diri sekiranya nama saya tersenarai sebagai exco. Semalam (Rabu) pun saya secara peribadi telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada menteri besar supaya tidak meletakkan nama saya dalam barisan exco,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Menurutnya, selain Exco, tugas sebagai Adun juga boleh menjadi ‘check and balance’ kepada polisi yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat di Selangor.
“Seperti yang sudah saya lakukan selama dua penggal menjadi Adun di Selangor, kita mahu memastikan tiada ketirisan berlaku, semua polisi yang dilaksanakan dapat mencapai tahap pelaksanaan hingga 90 peratus. Semua bantuan yang dijanjikan harus sampai kepada golongan sasar seperti yang ditetapkan.
“Prinsip ini akan saya teruskan dan kami sedia menjadi penasihat kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor baharu, Azmin Ali,” katanya.
Justeru, beliau berharap supaya kepimpinan menteri besar baharu dapat meneruskan legasi pentadbiran yang ditinggalkan Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Kita berharap Azmin dapat membawa Selangor terus maju dan mengumpul lebih banyak rizab tunai yang dapat membantu rakyat kurang berkemampuan di negeri ini.
“Dalam masa yang sama, polisi sedia ada diteruskan dan ditambah baik serta kerjasama dengan kerajaan pusat dapat diteruskan terutamanya dalam melibatkan kepentingan rakyat Selangor,” katanya.
Sejak Rabu, terdapat beberapa senarai nama yang didakwa barisan Exco Selangor yang baharu tersebar di laman sosial. Nama Saari dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin dikatakan tersenarai sebagai exco yang mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang pada Jumaat.
Sebelum ini, Saari dan Hasnul telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan mereka kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya dilantik sebagai menteri besar Selangor untuk menggantikan Khalid.
Bagaimanapun tindakan tersebut mendapat kecaman beberapa pihak termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS yang menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada parti dan bertentangan dengan keputusan yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama yang menyokong agar Khalid dikekalkan sebagai menteri besar.
0 comments:
Post a Comment