Lelaki dari Cherok Tok Kun |
Posted on Monday, February 09 @ 15:29:50 MYT by paktam
Oleh Rizuan Abdul Hamid |
Ada apa dengan seorang lelaki dari Cherok Tok Kun? Sebuah pekan kecil yang terletak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.Namun kehadiran seorang lelaki bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berasal dari pekan tersebut amat signifikan dalam dunia politik Malaysia.
Penulis bukanlah seorang peminat tegar lelaki tersebut – dalam sebutan popular politik Malaysia – penulis bukanlah Anwariyyun, Anwaris, Anwarinas ataupun Anwarista.
Lelaki dari Cherok Tok Kun tersebut sudah tentu cuma salah satu nama tersohor daripada deretan nama seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Karpal Singh, Lim Kit Siang dan lain-lain nama lagi.
Secara peribadi juga penulis, yang lahir pada awal 1980an tidak pernah mengalami era semasa beliau aktif dalam persatuan Siswa dan Abim.
Kisah-kisah keramat mengenai demonstrasi Baling dan sebagainya cuma penulis dengar dari mulut ke mulut dan melalui bahan sejarah.
Namun kisah yang rapat di dalam hati penulis ialah sewaktu beliau banyak berjasa ketika memegang jawatan dalam kerajaan pusat (bukan dalam Umno) dan era Reformasi 1998 serta rentetannya.
Dari pandang sisi peribadinya, penulis melihat Anwar sebagai seorang yang flamboyan tetapi bersahaja dan merendah diri – segak berpakaian namun tidak canggung untuk duduk bersama orang ramai di atas tar atau tanah sambil menunggu giliran menyampaikan ceramah.
Walau ada yang menggelarkannya "sesumpah", tetapi bagi saya Anwar menguasi fekah dakwah atau berceramah – da’i yang mengenal mad’u (pendakwah yang mengenali orang yang didakwahnya).
Beliau adalah seorang orator yang baik dan mengenal audiensnya.
Beliau juga seorang pemikir dan saintis sosial yang rencam dan rentas ilmunya yakni Islam, timur dan barat malah mempunyai hubungan baik dengan semua golongan yakni ulama, aktivis hak asasi, pemimpin barat dan sebagainya.
Namun dalam penulisan kali ini, saya ingin menyentuh tentang betapa signifikannya idea beliau dalam rencah politik Malaysia.
I. Sintesis Politik
Jika membaca mengenai Georg Wilhelm Friedrich Hegel yakni ahli falsafah terkenal Jerman itu, maka kemungkinan besar kita juga akan terbaca tentang dialektikanya tentang "tesis-antitesis-sintesis".
Maka Anwar boleh disifatkan seperti sintesis politik yakni jawapan kepada tesis politik Umno/Barisan Nasional dan antitesis politik PAS dan DAP.
Jika Umno/BN bersifat tesis politik dengan "ketuanan Melayu" dan "negara sekular"-nya, maka PAS dan DAP-lah antitesisnya.
Kendati begitu, PAS dan DAP itu sendiri bersifat saling bertentangan sesama sendiri kerana PAS mendasari isu "Negara Islam" bagi menentang kesekularan Umno/BN.
DAP pula mendasari isu "Malaysian Malaysia" bagi menangani isu "Ketuanan Melayu".
Namun selepas Reformasi 1998 mengubah lanskap politik Malaysia.
Bukan untuk menafikan usaha besar daripada sosok lain seperti Ustaz Fadzil Noor, Lim Kit Siang dan ramai lagi, namun figur utamanya ialah Anwar.
Anwar berjaya mengalihkan isu politik kepada isu demokrasi, penentangan terhadap autoritarian, isu rasuah, isu urus tadbir serta pelbagai lagi isu.
Berdiri atas semangat Malaysia yang terdiri sebagai negara demokrasi serta berbilang etnik, agama dan budaya.
Ini ialah solusi atau sintesis kepada politik Malaysia.
DAP dan PAS juga senada dengan Anwar yang didukung PKR (sebelumnya Parti Keadilan Nasional).
PAS dan DAP juga mampu bersatu atau disatukan dalam sebuah fraksi politik walau banyak ujian melanda.
Namun sayang sekali, jika ada di antara parti-parti ini yang mahu kembali kepada gaya politik lama (yang bersifat antitesis semata-mata).
II. Oposisi atau kerajaan?
Sebelum 1998, tidak melampau untuk penulis mengatakan, tiada mana-mana parti politik oposisi yang serius untuk menjadi kerajaan.
Parti-parti tersebut ketika itu cuma sekadar selesa untuk menjadi opisisi yang kuat atau untuk memecahkan dominan dua-pertiga Umno/BN.
Namun suasana itu berubah pasca 1998 dan lebih ketara lagi semenjak PRU12 2008.
Parti-parti oposisi dengan persiapan manifestonya, kerjasama dalam gerak kerja kempennya, tampak begitu serius dan meyakinkan untuk menjadi sebuah kerajaan.
Sekali lagi, penulis bukan untuk menafikan usaha besar daripada sosok pemimpin lain termasuk daripada PAS dan DAP, namun figur utamanya ialah Anwar.
III. Kontrak sosial – Daripada horizontal kepada vertikal.
Semenjak zaman pra-kemerdekaan sehinggalah zaman selepas kemerdekaan, isu kontrak sosial sering diwacanai secara horizontal yakni hubungan sesama masyarakat atau lebih tepat lagi dalam konteks Malaysia – hubungan antara kaum.
Ia adalah konteks bicara kontrak sosial yang amat sempit dan sering menegangkan hubungan antara rakyat.
Namun selepas 1998, wacana tentang kontrak sosial berubah fokus daripada horizontal kepada vertikal yakni kontrak sosial antara rakyat dan kerajaan.
Sebagai tamsilan, perubahan wacana kontrak sosial ini turut memberi kesan kepada ekonomi.
Agenda Ekonomi Baru (sekarang dikenali sebagai Agenda Ekonomi Malaysia) diperkenalkan yang sifatnya tertumpu kepada isu seluruh rakyat (tanpa terbahagi mengikut kaum) dan kerajaan.
Ini berbeza dengan Dasar Ekonomi Baru yang cenderung mengatur urusan dan peruntukan ekonomi mengikut pecahan kaum.
Penulis yakin, ini adalah kehendak majoriti rakyat, dan seorang lelaki dari Cherok Tok Kun menjadi penggerak utama dalam aspirasi ini.
Sesuai dengan tradisi politik yang panjang dan berterusan dan tidak menafikan usaha pihak lain – Anwar cumalah "gigantum humeris insidentes" yakni usaha dan keberjayaannya diwarisi daripada usaha pemimpin-pemimpin terdahulu.
Pada kesempatan ini saya juga ingin suatu persoalan.
Apakah ada usaha daripada mana-mana pihak untuk menyebarluas dan merakyatkan idea-idea Anwar secara khusus?
Ini kerana PKR bersifat parti politik dan bukannya badan bebas yang mengangkat idea-idea mana-mana individu.
Justeru itu wajar untuk wujud badan-badan kajian bebas atau mana-mana NGO yang mengangkat tema tersebut untuk diberikan peluang dan ruang.
Begitu juga Institut Tok Guru sepatutnya berfungsi untuk mengangkat idea-idea Tuan Guru Nik Aziz – kini sepi, sedangkan Nik Aziz boleh dilabelkan sebagai Bapa Pemodenan Perkhidmatan Awam kerana pentadbiran beliau yang bersih.
Selain itu beliaulah yang memperkenalkan dasar lima hari bekerja dan sebagainya.
Begitu juga kita perlu kepada badan-badan bebas untuk mengkaji idea-idea pemimpin terdahulu tanpa mengira fahaman politik mereka seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Sambanthan, Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin, Tun Abdul Razak, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan lain-lain pemimpin yang berjiwa besar.
Dan semua pihak terutamanya kerajaan harus menyokong usaha ini
- Detikdaily.
0 comments:
Post a Comment