Monday 27 July 2015

MP Pas 'Tak Perlu Letak Jawatan' jika sertai Harapan Baru...

Isnin, 27 Julai 2015

Tak perlu letak jawatan jika sertai Harapan Baru

SHAH ALAM - [KEMASKINI] Gerakan Harapan Baru mempertahankan mana-mana wakil rakyat Pas yang mahu menyertai NGO itu agar tidak perlu meletakkan jawatan.

Setiausahanya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana kemenangan mereka bukan hanya bersandarkan kepada tiket Pas semata-mata.

“Sebagai contoh, di kawasan itu ada 5,000 ahli Pas tetapi mereka menang dengan 9,000 undi. Ini bermakna yang menyokong mereka bukan sekadar ahli Pas, tetapi rakyat.


“Kita juga tidak tahu apa sebab sebenarnya mereka menyokong wakil rakyat itu. Ada calon diangkat sebab nama mereka sendiri, sebab parti dan lain-lain, jadi ada banyak faktor kemenangan mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.‎

Sebelum ini, terdapat banyak desakan daripada Pas agar Adun dan ahli parlimennya yang mahu menyertai Harapan Baru supaya meletakkan jawatan.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilaporkan berkata, mereka perlu meletakkan jawatan bagi mengelakkan pendapatan syubhah.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Titiwangsa, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, peletakan jawatan perlu dilakukan segera bagi menghormati mandat diberikan pengundi di kawasan berkenaan.

Antara wakil rakyat yang sudah mengesahkan akan keluar Pas dan menyertai Harapan Baru setelah didaftarkan sebagai parti ialah Adun Morib, Hasnul Baharuddin.

Menurut Hasnul, beliau dimaklumkan terdapat lebih ramai Adun dan ahli Parlimen akan menyertai Harapan Baru.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, tiada undang-undang yang mengatakan individu yang dipecat atau keluar parti perlu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.


“Sebagai contoh, Tan Sri Khalid Ibrahim masih kekal sebagai wakil rakyat walaupun dilucutkan keahlian sebagai ahli PKR. Jadi tiada sebab untuk mereka letak jawatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tujuan utama penubuhan Harapan Baru ialah untuk memperjuangkan pendekatan Islam yang inklusif dan membawa rahmat kepada orang Islam dan bukan Islam.

“Apabila Pas kata tidak boleh bekerjasama dengan DAP dan terkuburnya PR, ini merupakan satu situasi yang mencemaskan umum. Ia bukan saja menjejaskan persepsi terhadap Pas tetapi Islam juga.

“Sekarang saya lebih khuatir kerana kita menyaksikan Pas hampir kembali kepada trend asalnya yang sangat keras,” katanya.

Beliau mendakwa, pendekatan inklusif gagal dilakukan oleh Pas dan hanya menjejaskan sokongan kepada parti itu, termasuklah ketika isu kalimah ALLAH dan hudud sedang hangat diperkatakan.

“Kami rasa pimpinan sedia ada tidak dapat teruskan unjuran ke situ. Jadi kami terpanggil untuk bawa satu wadah bagi membangunkan pendekatan Islam inklusif iaitu bukan untuk orang Islam saja.

“Daripada kajian, sokongan bukan Islam kepada parti lama kami sudah kurang daripada 10 peratus walaupun suatu ketika dulu pernah mencecah 70 hingga 80 peratus.

“Menang angka bukan segala-galanya tapi jangan kita lupa itulah kayu ukur sokongan pengundi dan rakyat kepada kita,” katanya. 
-SH

ULASAN GB 

Desakan dan ugutan supaya wakil rakyat yang menyertai Harapan Baru supaya meletakkan jawatan tidak perlu dilayan. 

Dari sudut apa sekalipun dipandang, tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mereka sehingga memerlukan mereka untuk meletakkan jawatan. 

Dari sudut undang-undang, meskipun pada bulan April 1991, Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Negeri bahawa jika mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri yang merupakan ahli kepada sesebuah parti politik, keluar atau disingkirkan daripada parti politik itu, kerusinya hendaklah dikosongkan, namun undang-undang itu telah dicabar di Mahkamah. 

Dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan v Nordin bin Salleh & Seorang lagi [1992], Mahkamah Agung memutuskan bahawa undang-undang anti lompat parti yang diluluskan oleh Kerajaan Kelantan sebagai tidak sah kerana ia melanggar hak kebebasan berpersatuan yang dijamin dalam Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. 

Hak ini juga merujuk kepada hak untuk keluar dari persatuan. Mahkamah juga berpendapat bahawa undang-undang ini ‘ultra vires’ dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Kerajaan Persekutuan sahaja berkuasa untuk menggubal undang-undang sebegini. 

Seterusnya, Mahkamah Agung berpendapat bahawa undang-undang ini tidak boleh digubal menggunakan alasan moraliti kerana perkataan ‘moraliti’ dalam Artikel 10(2)(c) Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada moraliti seksual sahaja. 

Justeru itu mereka yang mendesak supaya wakil rakyat PAS meletakkan jawatan ternyata mereka yang buta undang-undang dan tidak faham apakah yang dimaksudkan "moral" yang ditekankan oleh mereka selama ini. 

Malah jika dari sudut moral sekalipun, wakil rakyat PAS yang menyertai Harapan Baru tidak perlu meletakkan jawatan kerana tindakan mereka menyertai Harapan Baru itu lebih tinggi moralnya dari wakil-wakil rakyat yang masih berada di dalam PAS.

Ini kerana rakyat mengundi mereka bukan kerana mereka PAS semata-mata tetapi adalah kerana pada pilihanraya rakyat mengundi di atas dasar Pakatan Rakyat, bukan semata-mata kerana mereka bertanding di atas PAS.
 

Tentang baiah ia telah telah kita elas sebelum ini. Baiah itu telah terbatal sebaik saja PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan rakan komponen Pakatan Rakyat. Ini kerana yang terpilih sebagai wakil rakyat itu adalah ketika mana PAS masih berada di dalam Pakatan Rakyat. Apabila "kondisi" itu sudah berubah, maka dengan sendirinya baiah itu sudah tidak dapat dikuatkuasakan. Langkah memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP adalah kesilapan PAS yang paling besar. 

Begitu juga dengan baiah talak yang telah pun diperbincangkan oleh para ugamawan dengan panjang lebar. Ia telah dinyatakan dengan jelas oleh Mufti Pulau Pinang bahawa:

Talaq tidak sah kecuali dengan niat dan keazaman yang ikhlas oleh sisuami untuk menceraikan isterinya, bukan dengan tujuan-tujuan yang lain seperti untuk mencegah dirinya daripada melakukan sesuatu atau untuk mengukuhkan tekadnya bagi mencapai sesuatu matlamat yang diingini.

Justeru itu beliau menyatakan sumpah taklik talak isteri wakil-wakil rakyat PAS (jika ada) adalah tidak sah. 

Setiausaha Majlis Syura Ulama di dalam kenyataannya menyatakan, ba’iah talak tiga tiada dalam bai’ah yang diluluskan oleh parti dan Majlis Syura. 

Dan oleh kerana baiah sedemikian tidak diluluskan oleh Majlis Syura, maka baiah talak itu tidak boleh diterima dan tidak boleh dikuatkuasakan. Kerana Majlis Syura Ulama adalah badan tertinggi parti dan setiap keputusannya adalah muktamad. 

Oleh itu jelas kini bahawa tiada ada apa-apa yang boleh menghalang wakil-wakil rakyat PAS untuk menyertai Harapan Baru. 



0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena