Sekali Lagi VIDEO curi "menembak" NAJIB, Muhyiddin Perlu Segera Disiasat
Sekali lagi video rakaman curi "menembak" Najib Razak tersebar dengan meluas. Dan sekali lagi juga ia berkaitan dengan Muhyiddin Yassin, cuma mungkin yang merakamnya saja orang yang berbeza.
Beberapa bulan sebelum ini telah tersebar rakaman video mengenai ucapan Muhyiddin di sebuah program tertutup UMNO di Janda Baik di mana beliau "memuntahkan peluru" dengan mahukan Najib memecat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, menyiasat CEOnya serta membenarkan polis masuk menjalankan siasatan terhadap syarikat pelaburan kerajaan yang bermasalah dan sarat hutang itu.
Rakaman itu telah menggegarkan negara buat seketika dan ia menunjukkan perbezaan pendirian yang ketara antara Muhyiddin dan Najib. Sementara Najib dilihat banyak berlengah dan bermain dengan masa dalam menangani isu 1MDB, Muhyiddin jelas lebih terbuka dan objektif mengenainya.
Video di Janda Baik itu kononnya dirakam curi oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segambut, Kapten Azri Mohd Zain. Heboh ketika itu siasatan sudah dijalankan, termasuk kenyataan oleh Ahmad Zahid Hamid yang merupakan penganjur program tersebut dan kini sudah dilantik Timbalan Perdana Menteri, yang mengatakan "tiada maaf" bagi perakam video tersebut.
Malangnya sehingga sekarang tiada khabar berita mengenai hasil siasatan mengenainya. Senyap sesenyap-senyapnya walaupun isu 1MDB sudah melarat sehingga kepada dakwaan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib.
Hanya yang kita tahu perbezaan pendirian itu akhirnya terlerai Sabtu lalu apabila Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan digantikan oleh Ahmad Zahid Hamidi.
Kini hanya sehari selepas dipecat daripada jawatannya, tersebar sekali lagi video rakaman curi melibatkan Muhyiddin yang juga "tembakannya" ditujukan kepada Najib.
Melalui rakaman perbualan antara Muhyiddin dengan beberapa tetamu di rumahnya, termasuk Mukhriz Mahathir dan Abdul Kadir Sheikh Fadzir, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatakan beliau sudah bersemuka dengan Najib berhubung dakwaan melibatkan wang RM2.6 bilion sebagaimana laporan WSJ itu.
Muhyiddin, dalam video itu kemudian mengatakan Najib mengakui mengenai wang tersebut dan rakaman itu berakhir dengan ayat, "lalu saya tanya, kenapa masuk dalam akaun peribadi anda?"
Video hampir seminit itu sudah pun mula tersebar luas di alam maya sejak malam tadi dan menjadi perbualan hangat ketika ini. Tidak saja di bandar dan kota, makcik-makcik tua di kampung yang mempunyai telefon pintar, sebahagiannya kerana hadiah daripada anak-anak atau membelinya hasil wang BR1M, turut berpeluang menontonnya.
Maklumat sekarang sudah menerobos hingga ke ceruk kampung jauh di pedalaman. Meriah beb...
Ada beberapa rakan memberitahu, mereka juga dihubungi oleh ibu, kakak atau emak saudara di kampung sambil bertanya, "betulkah apa yang disebut Muhyiddin itu?"
Walaupun video itu merupakan rakaman curi dan sekali lagi siapa perakamnya sedang dipertikaikan dan dicari, yang penting di sini ialah apakah isi yang diperkatakan oleh Muhyiddin itu. Lupakanlah menempelak siapa perakamnya dan cuba menyalahkan perbuatan itu kerana perakam curi ini ialah pencuri yang baik, budiman dan berjasa kepada negara.
Lihat mesej dan isi rakaman video itu jika jujur mahukan kebenaran.
Dengan itu, bukan saja Muhyiddin perlu disiasat dan diambil keterangan dengan segera oleh pasukan petugas khas yang sedang menyiasat isu wang RM2.6 bilion itu, malah Najib yang didakwa sudah mengaku kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu, haruslah dengan pantas juga diambil tindakan.
Tiada alasan lagi untuk berlengah daripada menyiasat dan mengambil keterangan kedua-dua mereka kerana ia sudah menjadi perbualan yang merata ketika ini.
Gani Patail juga perlu disiasat sama dan diambil keterangannya, mana tahu jika beliau ada memiliki bukti atau dokumen mengenainya ketika beliau mengetuai pasukan petugas khas, sebelum disingkirkan atas sebab-sebab kesihatan Isnin lalu.
Video ini adalah cabaran kepada pasukan petugas khas yang sudah menangkap lima orang sebelum ini, termasuk seorang despatch baru-baru ini. Tetapi sejak Gani disingkirkan, pasukan petugas ini seolah-olah senyap tiada khabar berita lagi.
Kebimbangan dan tanda tanya rakyat terhadap isu 1MDB, wang RM2.6 bilion melibatkan Najib, bagaimana negara ini diurustadbir dan wibawa pasukan petugas khas, khususnya setelah Gani disingkirkan secara tiba-tiba, sedang mencanak naik waktu ini.
Seiring dengan pemecatan Najib yang menyaksikan juga Peguam Negara disingkirkan dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC terpaksa dirombak berikutan sebahagian ahlinya diberikan habuan kedudukan dalam kerajaan, ramai yang melihat negara ini sedang menuju zaman gelap dan hitamnya.
Dengan tanda-tanda yang semakin nyata sekarang ini, kebimbangan dan tanda tanya rakyat hanya dapat dikendur serta dilegakan jika Muhyiddin dan Najib dapat segera disiasat dan diambil keterangannya dalam waktu yang terdekat ini.
0 comments:
Post a Comment