Saturday 25 July 2015

Usah persenda talak - Mufti Perlis

Sabtu, 25 Julai 2015


Usah persenda talak

Oleh Hafizudin Mohd Safar 

am@hmetro.com.my

Kangar: Sikap segelintir pengamal politik yang sanggup menggunakan hukum-hakam bagi mencapai kepentingan peribadi dan politik mereka sehingga menggadaikan agama dengan alasan bahawa agama serta politik adalah selari perlu ditegah sebelum melarat kepada perkara lebih buruk.

Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pengamal politik terbabit dilihat tidak memahami konsep pertalian agama dan politik menyebabkan ia dilihat semakin meruncing sejak terbongkarnya isu perjanjian dalaman di dalam parti politik tertentu yang memanipulasi agama bagi mencapai kejayaan dalam politik mereka.

Menurutnya, tindakan ahli politik diminta mengungkapkan lafaz perjanjian bahawa isteri mereka akan tercerai dengan sendirinya jika keluar daripada parti berkenaan dan perbuatan seumpamanya ditegah dalam Islam kerana secara tidak langsung mempersendakan hukum talak yang juga satu daripada sistem dalam syariat kekeluargaan Islam.

Katanya, walaupun talak dibenarkan dalam Islam untuk pasangan suami isteri berpisah atas sebab tertentu, namun menggunakan talak sebagai satu daripada polisi politik bagi mengelak ahli parti beralih arah daripada perjuangan mereka disifatkan sebagai tindakan yang menyeleweng.

“Sepatutnya, agama (Islam) dijadikan panduan dalam hidup kita yang berpolitik. Namun, sebaliknya yang terjadi kini ialah agama dijadikan alat dan dimanipulasi bagi kepentingan politik.

“Meletakkan taklik (perjanjian) bahawa seseorang ahli politik akan tertalak isterinya secara automatik jika berpindah parti atau fahaman politik sememangnya jauh daripada kebenaran agama Islam itu sendiri.
“Keadaan ini bukan sahaja dilihat sebagai pencabulan agama, malah memecah-belahkan sistem kekeluargaan Islam demi kepentingan politik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jabatan Mufti Negeri Perlis, di sini, semalam.

Beliau turut sependapat dengan kenyataan dikeluarkan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sekiranya perjanjian lafaz itu dibuat kerana khuatir akan dipulaukan parti politik atau sekadar menjaga kepentingan ketika pilihan raya, talak terbabit tidak sah.

Namun, katanya, pihak yang melakukan lafaz talak secara taklik dikira sebagai berdosa kerana mempermainkan hukum agama dan perlu membayar kifarah (denda) pada kadar tertentu.
“Dalam keadaan ini, kesahihan talak terbabit perlu dirujuk semula kepada niat individu yang melakukan lafaz sama ada dia memang berniat menjatuhkan talak dengan tujuan memutuskan hubungan suami isteri atau sebaliknya.

“Manakala pihak yang memaksa seseorang melakukan perjanjian taklik (menjatuhkan talak secara automatik kepada isteri sekiranya keluar daripada parti politik) turut menanggung dosa dan digesa untuk bertaubat sekali gus tidak mengulangi perbuatan terbabit,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66071#sthash.wHieMtr3.dpuf

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena