Wednesday 1 July 2015

Politik PAS, Umno semakin rancak...Pakatan Baharu (G18) sangat aktif sepanjang Ramadan

Rabu, 1 Julai 2015

Di sebalik syahdu Ramadan, politik PAS, Umno semakin rancak

Bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, turut giat dalam program tazkirah Ramadan sambil mengkritik kepimpinan puak pro-Hadi yang memenangi pemilihan parti bulan lepas. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Julai, 2015.
Ketika umat Islam di seluruh dunia meningkatkan amal soleh mereka, di Malaysia, dua parti politik Melayu-Islam terbesar, PAS dan Umno, menyaksikan pertembungan dalaman mereka semakin rancak pada bulan Ramadan yang mulia.

Majlis berbuka, tazkirah Ramadan, moreh dan bersahur yang sepatutnya merupakan program ibadat, bertukar menjadi aktiviti mendapat sokongan dan menyerang lawan masing-masing dalam kedua-dua parti itu.

Ramai menyangka perang dalam PAS akan selesai apabila kumpulan konservatif berjaya menguasai parti itu dan kumpulan progresif tewas, namun ia tidak begitu, malah semakin panas.

"Tidak, ia tidak reda bahkan semakin rancak, dalam PAS dan juga dalam Umno. Kebanyakan aktiviti tertumpu di waktu malam selepas mereka berpuasa pada waktu siang," kata pengkaji politik dari Ilham Center, Mohamad Hisomuddin Bakar (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Beliau yang kini berada di Kelantan berkata, aktiviti "makan colek" selepas solat Terawih menjadi pusat aktiviti politik di negeri itu sekarang, apabila mereka berkumpul ramai-ramai sambil makan di surau dan masjid.

Walaupun Kelantan merupakan kubu kuat PAS sejak bertahun lama, spekulasi timbul mengatakan parti baharu yang bakal mencabar parti Islam itu akan lahir di negeri itu.

"Persiapan ke arah itu sedangkan dilakukan," kata seorang pemimpin veteran PAS Kelantan yang tidak senang dengan apa yang berlaku dalam PAS baru-baru ini.
Kumpulan G-18, iaitu pemimpin PAS yang tersingkir daripada pucuk pimpinan parti itu, sangat aktif sepanjang Ramadan.

Pengerusi jawatankuasa bertindak G-18, Mohamad Sabu dalam tazkirah Ramadan di Masjid Al Muhtadin, Kulim, Kedah Ahad lepas menjadikan "satukan akhlak dan akidah" sebagai tema tazkirahnya.

Beliau mendakwa, punca perpecahan yang berlaku dalam PAS sekarang adalah kerana sebahagian pemimpinnya hanya berpegang kepada akidah tetapi tidak berakhlak.

Sementara itu, barisan kepimpinan baharu PAS juga menganjurkan majlis besar sepanjang Ramadan ini.

Kiasan "anjing dan serigala" dalam ucapan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pulau Pinang beberapa hari lepas kini menjadi momokan.

Ketika PAS melepasi kemuncak perangnya selepas puak pro-Hadi berjaya menewaskan puak progresif dalam muktamar lalu, Umno belum sampai ke tahap itu, tetapi tetap bergelora dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima tekanan berhubung dasar dan pentadbirannya.

"Tekanan besar sekarang dirasai oleh kumpulan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Najib mengumumkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga dua tahun lagi, kerana sebelum ini dia berkata, pemilihan parti akan diteruskan," kata Hisomuddin yang turun ke Johor sebelum ini membuat kajian di negeri yang dikira sebagai kubu kuat Umno itu.

Menurut beliau, serangan berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran Najib memberi kesan besar kepada dua golongan iaitu veteran Umno dan anak muda.

"Kumpulan veteran masih ingat jasa Dr Mahathir ketika memimpin Umno selama 22 tahun sebelum ini manakala anak muda pula terdedah dengan maklumat melalui media sosial," katanya.

Akibatnya, kata Hisomuddin, kedua-dua kumpulan ini menjadi sangat negatif kepada pentadbiran Najib kerana mereka dilihat bersama dengan Tun Mahathir.

Walaupun Ramadan dilihat membawa bersamanya ketenangan dan kedamaian, ia juga boleh menjadi masa yang sesuai mengatur langkah dan merancang strategi. – 1 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/di-sebalik-syahdu-ramadan-politik-pas-umno-semakin-rancak#sthash.sCWq6qmY.dpuf

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena