Monday 6 July 2015

Sudah sukar bezakan PAS dan UMNO... "Orang awam akan melihat PAS sekadar berhelah"

Isnin, 6 Julai 2015

Pas sudah jauh ke kanan, tidak banyak beda dengan Umno

Oleh Eekmal Ahmad

Baiklah Najib Razak harus berhenti. Jadi apa? Digantikan Muhyidin?

Ini yang membuatkan saya kecewa dengan PR. Mereka menari mengikut rentak Mahathir. Sedangkan dari awal, isu GST dan 1MDB boleh diangkat sebagai pemangkin mendesak pilihanraya umum yang baru. Sewajarnya suara yang lebih besar mendesak pilihanraya umum baru bukannya terperangkap dengan jaringan intrik "deal" demi "deal" antara Mahathir vs Najib Razak.

Ada yang berhujah dengan saya jika PRU belum tentu PR menang. Baiklah, apa jika Muhyidin menggantikan Najib, di waktu Mahathir diangkat sebagai wirawan, PR akan menang? Malahan PR akan kalah teruk sepertimana era Pak Lah pada PRU 2004 dahulu. Jadi kenapa teragak mendesak dengan suara yang lebih garang menuntut PRU segera diadakan, inilah waktunya menggugat UMNO-BN ketika mereka sedang tergugat.

Sementara itu saya ada membaca bahawa akan ada PR baharu yang lebih kuat selepas Aidilfitri. Jujurnya saya tidak tahu hala tuju PKR dengan PR baharu ini. Adakah ia merangkumi parti Islamis baharu? Atau ia bersama PAS?

Saya merasa lucu melihat prejudis yang dalam terhadap DAP kononnya mereka "menekan" PKR untuk menyingkirkan PAS. Adakah DAP menekan atau PKR yang tertekan perasaan? Sebelum muktamar sememangnya saya menaruh harapan agar PAS untuk terus kekal dalam PR, dan seterusnya mengimbangkan politiknya dengan cita-cita politik "tengah." Akan tetapi proses sepanjang kempen dan pasca muktamar mengubah fikiran saya. PKR dan DAP wajib singkirkan PAS dari pakatan baharu.

Sememangnya DAP ini parti agresif dan mendesak, akan tetapi kita hormati rakan yang agresif atau kita mahu menuruti rakan yang khianat!

Ada yang menyimpulkan seluruh insiden mendesak menyingkirkan PAS ini bermula dengan Langkah Kajang. Saya tidak bersetuju. Sebenarnya semua bermula dengan pra pilihanraya umum 2013 dan juga pilihanraya itu sendiri. Lagipun jika PAS menyebut Langkah Kajang sebagai asbab mereka marah, kenapa mereka selesa pula bila mengiktiraf pentadbiran sekarang? Bukankah pentadbiran Selangor sekarang hasil dari Langkah Kajang, jika tidak bersetuju, jangan iktirafnya dan letak jawatan!

Kembali kepada hujah saya bahawa PAS telah mula mengkhianati PR ketika pra dan PRU 2013. Tidakkah kita ahli PKR tertanya-tanya bolehkah kita mempercayai pimpinan PAS yang ada sekarang selepas mereka:

1) mengkhianati PR dengan menarik balik sokongan terhadap Anwar Ibrahim sebagai PM.

2) Bagaimana mereka sabotaj PKR di Kota Damansara dan Sg. Aceh.

3) Perbincangan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO!

Telah sekian lama Tuan Guru Ustaz Hadi tidak ambil peduli akan Pakatan Rakyat. Akan tetapi baru baru ini beliau beria-ia mendokong PR.

 Baik jika benar beliau komited dengan PR, saya mahu beliau membuat pengakuan terbuka menyokong Anwar Ibrahim atau sebagai calon PM untuk PRU akan datang. Kita juga mahu beliau memberikan jaminan akan akur dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta menafikan segala kemungkinan bersama dengan UMNO. Jika beliau tidak memberi jaminan akan perkara di atas apa guna sekadar umumkan sokongan terhadap PR. Orang awam akan melihat PAS sekadar berhelah mahu kekalkan laba politik di Negeri Selangor semata-mata.

Ada juga yang kaitkan DAP ini oportunis dan cukup cepat menyambar kerusi rakan dari PKR. Saya tidak nafikan DAP begitu teruja dengan kerusi, tetapi parti mana yang tidak? Semenjak dulu lagi saya dengar kisah dari pimpinan kanan, bagaimana Lim Kit Siang begitu gigih mahukan kerusi Gelang Patah.

Malah, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberi saya watikah bertanding di Bakar Bata, pimpinan kanan DAP masih memujuk mahukan kerusi Bakar Bata! Pasti saya pun geram.

Akan tetapi itu lumrah negosiasi kerusi sewaktu pilihanraya. Kita berdepan dengan mereka yang mahukan kerusi untuk menang.

 Saya hanya mahu mengajak pembaca pertimbangkan ini:

"anda mahu satu rakan yang jujur membincangkan kemahuan kerusi atau satu rakan yang akan menikam anda ketika bertanding di pilihanraya umum nanti?"

Berkaitan parti baharu pula, saya amat berharap cita cita ini terlaksana. Harapan saya adalah, jika benar PAS dapat disingkirkan dari pakatan baharu ataupun PAS memilih bersama UMNO, parti baharu ini adalah suara baru dalam politik Islam/Muslim. Pastinya dengan syarat parti Islam baharu ini berasaskan idea politik Rachid Ghanoushi, Jasser Auda dan sebagainya. Ada yang bertanya apa nilai tambah parti baharu ini. Jawapan saya adalah:

1) parti baharu akan menangkal konservatisme PAS dengan mengemukakan "brand" Islamisme yang lebih inklusif, nasional serta merangka kebijakan-kebijakan yang terkait dengan kebajikan rakyat.

2) parti baharu akan lebih ampuh sebagai wadah Islamis yang lebih muda. Pastinya dengan kerja keras.

3) DAP dan PKR sudah tidak perlu berdepan head on dengan PAS ataupun yang sejenis dengannya kerana kewujudan parti baharu sebagai suara yang lebih segar.

Walaubagaimanapun satu kenyataan yang kita tidak boleh nafikan adalah jika PKR masih mahu bersama PAS, ada kemungkinan pretasi PKR juga merudum. PKR mesti ambil iktibar PRU 2004. Selain faktor feel good Pak Lah, jenama politik PAS tidak pun memukau orang Melayu. Ada yang mengatakan PKR perlukan PAS untuk undi Melayu. Saya tidak bersetuju. Jika benar jenama PAS penting meraih undi Melayu kenapa selama ini PAS tidak pernah berjaya menyaingi UMNO? Hanya PRU 99 Melayu bersama pembangkang, itupun kerana desakan-desakan politik serta isu bersifat nasional dan kes fitnah terhadap DSAI serta keluarga. Ianya tidak ada kena mengena dengan politik PAS.

Saya harap benar kawan kawan saya dalam PAS tidak tersinggung dengan kritikan saya.

Namun saya melihat PAS sudah jauh ke kanan. Sudah sukar bezakan PAS dan UMNO.

 Selain itu menyelinapnya agenda ISIS-isme dalam AJK PAS Pusat amat membimbangkan saya.

 Saya tertanya tanya bagaimana teman-teman PAS boleh membenarkan sosok seperti Mahfuz, Mat Sabu, Salahudin Ayob, Husam, Mujahid, Khalid Samad, Dr Dzul dan ramai lagi diketepikan demi sosok yang membawa retorika ala ISIS-isme.

1 comments:

Abdul Said said...

Semakin hari berlalu menuju kehari PRU14 semakin terserlah manusia PAS yang sebenarnya. Walaupun satu masa dulu PAS dipimpin oleh ulamak-ulamak serta pemimpin-pemimpin bawahan yang hebat dan berkaliber namun hari ini semua itu tinggal kenangan. Ulamak-ulamak PAS hari ini sudah kenal apa erti hidup kalau ada banyak wang, sudah tahu seronoknya tinggal dibanglo-banglo mewah, sudah tahu seronoknya kehulu kehilir dengan kenderaan besar dan mewah dan yang penting sudah kenal apa itu kuasa dan sanjungan manusia. Ia ibarat seekor harimau jinak yang sudah kenal apa rasanya seekor kambing hidup!! Ya kini beza UMNO dan PAS tinggal secara fizikal sahaja. Satu merah dan yang satu hijau. Yang satu sut dan yang satu lagi jubah. Yang satu songkok sementara lagi satu kopiah atau serban. Yang lain semuanya serupa. Dulu masa UMNO memerintah Selangor, orang UMNO tempatan kat masjid cari makan di masjid. Sekarang PAS menumpang kuasa di Selangor orang PAS pulak cari makan di masjid dan surau. Jadi pada mata kasar saya perangai mereka tetap sama dan perwatakan warak, alim dan bersih hanya lakunan sahaja sebelum menerima habuan dunia yang besar. Kalau sendiri tak sapu, habuan itu akan diberi kepada anak dan menantu!!

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena