Tuesday 11 August 2015

Hormati 'suara keinginan rakyat'...KEMBALINYA DUA PENGARAH SPRM

Selasa, 11 Ogos 2015

KEMBALINYA DUA PENGARAH SPRM BUKTI SUARA RAKYAT MASIH KERAMAT

shahbudindotcom

Sekurang-kurangnya dua pengajaran yang boleh diperolehi daripada keputusan Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam mengembalikan semula dua pengarah SPRM yang sebelum ini ditukarkan serta-merta ke JPM kepada jawatan asal masing-masing.

Pertama, suara rakyat tetap suara keramat dan  mampu mengubah apa saja manakala yang kedua, menteri-menteri senior yang hanya tahu bersuara ketika membodek tetapi mengunci mulut apabila berdepan dengan kebenaran seharusnya malu dengan Khairy Jamaluddin yang lebih junior.

Lebih dari itu, apabila suara rakyat akhirnya menang dan apa yang dilakukan KJ adalah betul, menteri-menteri senior itu juga sepatutnya menghantukkan kepala ke dinding agar sel-sel otak segera bercantum dan menjadi pemimpin yang prihatin selepas ini.

Melalui keputusan terbaru KSN dan JPA itu, Bahri Mohamad Zin dan Rohaizad Yaakob akan kembali semula memegang jawatan Pengarah Operasi Khas dan Pengarah Komunikasi SPRM.

Bahri juga akan kembali mengetuai siasatan mengenai SRC International yang dilapor menyumbang RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib Razak.

Walaupun kebangkitan suara rakyat di negara kita masih baru apabila berhadapan dengan kebejatan pemimpin dan mungkin agak ketinggalan berbanding Mesir, Libya dan Tunisia atau jiran tetangga Indonesia, Thailand dan Filipina, tetapi apa yang berlaku kini memperlihatkan bahawa kekeramatan suara rakyat itu tetap ada.

Selain kuasa Tuhan, usaha, ikhtiar dan kebangkitan rakyatlah yang dapat menolak sesuatu yang buruk yang dipamerkan oleh pemimpin atau kerajaan.

Dalam kes pertukaran dua pengarah SPRM yang ditukarkan ke JPM, jelas membuktikan suara rakyat yang membantah pertukaran yang boleh didengari di mana-manalah yang menyebabkan akhirnya ia dibatalkan.

Secara nyata, apa yang berlaku ini seharusnya merangsang rakyat untuk terus bangkit bersuara membantah apa saja yang dirasakan tidak betul dan jelek yang berlaku di depan mata.

Selagi rakyat bersatu hati dan keinginan, yakinlah tiada yang mustahil. Bukan setakat dua pengarah SPRM boleh dikembalikan, bahkan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri pun boleh dialihkan.

Banyak saluran boleh digunakan untuk meluahkan bantahan, lebih-lebih lagi dengan adanya internet dan media sosial ketika ini, hampir semua orang boleh menzahirkan perasaan mereka, asal saja dalam keadaan sopan dan bukan  bentuk kekerasan.

Selain itu, dunia sekarang juga memerlukan pemimpin yang berani bersuara demi sebuah kebenaran dan tidak takut dengan kehilangan jawatan. Bodek, ampu dan kipas adalah budaya yang sudah ketinggalan zaman, apatah lagi jika disertai kebisuan dalam memperkatakan kebenaran.

Walaupun perlu setia kepada Perdana Menteri, tetapi kesetiaan itu bukanlah dalam semua perkara. Apabila perlu memilin antara kebenaran dengan ketua yang melakukan kesalahan, pilihan seharusnya tidak sukar untuk dilakukan.

Mempertahankan ketua yang melakukan kesalahan dan tetap bersetuju dengan semua perkara termasuk mengenai pengaliran wang berjumlah RM2,600 juta dan pertukaran pegawai SPRM yang sedang menyiasat Perdana Menteri, ia tidak lain hanya menghodohkan keperibadian mereka saja.

Dalam hal ini, KJ nyata lebih memahami suara rakyat. Bersama suara rakyat yang rata-rata tidak setuju dengan pertukaran dua pengarah sprm tersebut, beliau tidak menunggu lama untuk menyatakan kebersamaannya.

Beliau menjadi menteri pertama membantah pertukaran pengarah SPRM itu, kemudian diikuti oleh Paul Low tetapi setelah pertukaran dibatalkan oleh KSN dan JPA,  Shahidan Kassim pula mendakwa, beliaulah yang berperanan secara pentadbiran mengembalikan semula Bahri Mohamad Zin dan Rohaizad Yaakob ke agensi pencegahan rasuah itu.

Entahlah...jika pertukaran dua pengarah SPRM ini gagal misalnya, adakah Shahidan juga mahu mengakui kegagalannya?

Blog ini, dua hari lalu turut mencadangkan agar kedua-dua pengarah SPRM itu tidak melapor diri ke JPM berikutan sokongan yang diperolehinya daripada KJ dan Paul Low yang merasakan pertukaran itu tidak wajar serta berupa suatu gangguan kepada mereka.

Meskipun kadang-kadang KJ juga terlihat membodek Perdana Menteri, tetapi keberaniannya bersuara sehingga sanggup hilang jawatan kabinet jika suaranya membantah pemindahan pengarah SPRM itu suatu kesalahan, sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada rakyat.

Terbaru, sesuai dengan kehendak rakyat yang mula meragui penyiasatan terhadap 1MDB berikutan empat anggota Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC dilantik menganggotai kabinet, KJ juga melontarkan suara yang senada dengan Pengerusi BNBBC, Shahrir Samad agar sidang khas Parlimen segera diadakan bagi membolehkan perlantikan baru pengerusi dan ahli jawatankuasanya dibuat.

Ini kerana jika menunggu sesi Parlimen pada Oktober nanti baru perlantikan itu mahu dibuat, penyiasatan semula berkaitan 1MDB mungkin hanya boleh dimulakan pada awal tahun 2016. Sudah tentu keraguan rakyat kian bertambah jadinya.

Sebagai pemimpin, terutama menteri-menteri yang senior, seharusnya belajar menghormati suara keinginan rakyat dan teladan yang telah berlaku di seluruh dunia sepatutnya lebih menyedarkan mereka mengenainya


by noreply@blogger.com (ELBI RISALAH)

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena