Wednesday, 26 August 2015

Adakah Pas akan berkubur ditangan orang-orangnya sendiri?

Rabu, 26 Ogos 2015

GHB pengkhianat atau penyelamat?

RENCANA KHAS

 
Tindakan berupa protes ahli Pas keluar meninggal parti agama itu serta kian rancaknya perarakan (road show) memperkenalkan GHB yang kemudian akan menjelma menjadi sebuah parti baharu menyebabkan semua mata pemerhati dan pengamat politik serta orang-orang atas pagar terarah kepada  Pas.

Masing-masing bertanya apakah akan berlaku kepada parti agama yang sudah melangakau enam dekad dan berusia 61 tahun itu. Pas menjadi fokus selepas berlakunya "rampasan kuasa" besar-besar ke atas kepimpinannya dalam muktamar lepas, dimana kesemua pemimpin yang progresif dan liberal ditendang keluar. Masing-masing kini menghitung dan mencongak apa akan jadi kepada Pas kini?

Apakah Pas akan berkubur ditangan orang-orangnya sendiri yang kini sedang membina parti baharu yang dianggap sebagai pesaing Pas? Ataupun parti itu tetap akan utuh dan kekal di atas peta politik negara ini, dan ianya makin mudah mencapai hasrat dan cita-citanya mengapai mardhatilah? Dan Pas tetap menjadi sebuah parti yang unggul dan parti alternatif kepada Umno yang ternyata semakin hari semakin rosak reputasinya sebagai sebuah parti nombor satu negara dikagumi selama ini.
Pas mampu hidup seribu tahun
Kalau mengikut perkiraan dan sifir pimpinan baru Pas kini, terutamanya dari minda siasah Presiden dan Mursyidul Am, begitulah. Mereka berdua sangat konfiden Pas mampu hidup walaupun seribu tahun lagi. Dan bagi mereka kewujudan parti baharu serpihan Pas sedikit pun tidak memberi kesan dan melemahkan Pas?

Lantaran itu mereka terus menghalau mana-mana ahli yang tidak betah dan suka dengan Pas. Mereka beranggapan apa yang berlaku kini bukan satu liabiltiti kepada Pas tetapi suatu pembersihan dalaman.

Perangai dan sikap itulah juga yang menurun kepada pemimpin pelapis dalam Pas yang berjaya menempatkan diri dalam muktamar yang lalu. Mendengar bahasa percakapan, maki hamun dan ulasan-ulasan skeptikal dan sarkastik mereka yang begitu angkuh dan sombong seolah-olah bekas pemimpin Pas yang lama tidak sedikit pun memberi keuntungan kepada Pas. Mereka tidak berasakan ketiadaan bekas pemimpin yang kebanyakan profesional itu sebagai satu kerugian.

Dalam catatan ringkas ini saya tidak mahu mengira dan menghitung nasib dan implikasi ke atas masa depan Pas dengan terwujudnya parti baharu kelak. Tidak kisah apa namanya, Amanah Rakyat, Parti Islam Progresif, atau Parti Islam Baharu, tetapi bagi saya kewujudan itu tentu memberi kesan kepada Pas. Tidak banyak, sedikit.  Kewujudahan itu menjadikan Pas akan terbelah, kalaupun tidak terbelah dua tetapi sebahagian, suku sudah memadai untuk menderitai Pas.

Yang hendak dipersoal dan didebatkan di sini, mencari jawaban tuntas dan rasional, apakah parti itu kelak bakal menjadi pembunuh kepada Pas, kemudian menjadi pengganti Pas dalam komponen Pakatan Rakyat baru dalam usaha untuk merampas Putrajaya?

Ataupun parti baharu itu menjadi pemangkin kepada Pas menyebabkan parti itu makin subur dan kuat lagi dan sekaligus mempercepatkan proses pembentukan kerajaan baharu bersama Pakatan Rakyat? Dalam erti kata lain parti baru itu dan Pas akan bertindak saling kukuh mengukuhi di antara satu sama lain seperti aur dengan tebing saling bergandingan.

Kedua-dua kemungkinan itu ada, ia terpulang ke atas kebijaksanaan politik para pemainnya. Kalau pemain politik kedua pihak understanding, bersikap profesional, keduanya bisa membentuk persefahaman lebih jauh dan bermakna, ternyata kewujudan parti baharu itu bukan menyusahkan Pas sebaliknya memperkuatkan Pas. Hubungan sedemikian menjadikan Pas tidak mengalami kerugian, kekurangan manpower, walaupun ada parti baharu. Kewujudan parti baru itu satu kemujuran dan keperluan.

Jadi apakah parti baharu itu "PENGKHIANAT" atau pun sebenarnya "PENYELAMAT"?

Dari sisi orang-orang Pas, yang taksub dan wala' tanpa berhujah, walaupun mereka memandang remeh kepada parti baharu itu, sehinggakan mempersendakan dengan pelbagai konotasi dan ejekan buruk; dianggap nyamuk, pengorek kapal, menjadi alat kepada DAP, atau hanya hidup sekejap sahaja dan sebagainya, tetapi hakikatnya tidak dapat disembunyikan, puak yang hendak menubuh parti baharu itu dianggap sebagai pengkhianat.

Mereka tidak langsung menyebut perkataan "pengkhianat" itu tetapi berselindung di sebalik berbagai istilah yang membawa pengertian kepada maksud itu. Mereka tidak ada sekelumit pun perasaan baik walhal mereka yang berada di hilir itu adalah dulu sekutu dan kawan mereka juga.

Lebih parah lagi ada yang membuat cadangan agar kewujudan parti baharu itu hendaklah dibunuh sebelum ia membesar. Biarlah ia dihancurkan sebelum ia bertunas dan mencambahkan daun, ranting dan dahan. Disini menujukkan dalam hati kecil mereka yang membuat cadangan itu sudah terbibit rasa takut dan gundah dengan cabaran bakal didatangkan oleh parti baharu itu. Kalau mereka tidak takut dan gerum masakan tergamak untuk membunuh bayi yang masih dalam kandungan?

Gelaran dan maki hamun iu semua menunjukkan Pas sangat takut dengan kewujudan parti baharu itu. Mungkin awalnya ia tidak begitu menakutkan, tetapi akhir-akhir ini khasnya selepas berlaku tindakan protes keluar parti beramai-ramai sehingga ada cawangan yang lumpuh baharu rasa gemetar melanda diri. Fenomena yang berlaku di Selangor, Perak, Penang, Johor dan lain-lain, dimana beberapa kawasan Pas berhadapan dengan tindakan keluar parti memberi kesan menakutkan kepada pimpinan Pas menyebabkan mereka terpaksa mengubah strategi. Rasa ralik berbulan madu dan selesa beberapa bulan lalu kini sudah bertukar menjadi cemas.

Harap GHB bersama Pas

Sebab itulah sudah ada suara-suara lunak memujuk dan merayu dilakukan oleh beberepa pemimpin yang insaf dan tahu membaca gelombang politik dan meramal tentang masa depan Pas yang buruk. Misalnya Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man dalam nada merayu berharap GHB akan bersama Pas untu menumbangkan BN dan begitu juga seruan-seruannya agar berpolitik secara baik dan sedarhana.

Paling baru Naib Presiden Pas Mohd Amar Nik Abdullah sudah memberi isyarat Pas akan menarik balik gencatan senjata dengan Umno sekiranya akta Hudud tidak dibentang di parlimen, Isyarat itu menunjukkan sudah ada rasa gundah dan gelisah dalam jiwa Nik Amar mengenai masa depan dan nasib Pas yang mungkin celaka dengan sikap yang diambil kini.

Ekoran perkembangan positif dipihak GHB itu maka berbagai jalan dilakukan untuk menyekat kemaraanya termasuk menghalang ahli keluar parti. Ayat-ayat Quran dan Hadith serta petikan kata-kata pimpinan lampau dikeluarkan untuk memberi keinsafan agar ahli tidak memprotes Pas dan meninggalkan parti. Namun amaran demi amran berserta dengan ejekan demi ejekan yang dilakukan tidak memberi kesan, GHB terus bergerak membuka kepak dan menegakkan paruhnya.

GHB kini sudah tidak main-main lagi. Ahli-ahli Pas dan penyokongnya juga sudah membuang rasa taksub dan wala' yang tidak berhujung pangkal itu untuk bersama GHB. Mungkin mereka beranggapan masa untuk merayu dan berbaik-baik demi Pas sudah terlambat. Tempoh yang mereka berikan sudah pun berlalu.

Pendeknya semua mereka yang rasa sedih, duka dan kecewa kerana dipersendakan, bermaufakat dan berganding bahu dan memadu semangat dalam GHB. Mereka juga sudah bersedia menerima apa sahaja tindakan termasuk dipecat sebagai ahli Pas dan dikutuk sebagai penderhaka hatta sebagai ahli Neraka sekalipun. Mereka sudah nekad membina wadah baru tanpa ada niat seperti mana diprejudiskan kepada mereka, yakni pengkhianat.

Iulah tuduhan dan itulah persepsi kepada GHB yang digambarkan. Gambaran ini mudah dimakan dan ditelan oleh mereka yang tidak mahu berfikir atau pun lemah dalam menghadapi metametika dan sains politik. Mereka yang mengenal politik dengan abjad dan huruf dan mengamalkan dongengan politik dari ustaz-ustaz konsevertif langsung menerima umpanan itu tanpa menghitung dan mentafsir apa yang ada di sebaliknya.

Sebaliknya bagi mereka yang cekap membaca politik dan tahu pergerakan arus bawah, tidak mudah untuk menerima cercaan dan tuduhan bahawa GHB atau parti baharu nanti sebagai pengkhianat kepada Pas. Atas dasar kemanusiaan dan prinsip yang mereka (pimpinan GHB) dokongi selama berada dalam Pas ada sejak lebih 30 tahun setengahnya lebih 50 tahun, rasanya tidak ada sekuman kurus pun niat mereka untuk mengkhianati Pas.

Dengan menganalisa hujan dan alasan mereka, penubuhan GHB bukan untuk mengkhianati Pas jauh sekali menderhaka dan menyelewengi Islam yang menjadi dasar Pas. Penubuhannya umum sudah tahu punca dan apa masalahnya. Ia ditubuh setelah kumpulan dalam GHB itu dibuang, menjadi orang kalah yang terbuang kemudian diseksakan dengan kata-kata nesta dan gelaran yang comot.

Sebelum tertubuhnya GHB, dan bergerak untuk megagaskan sebuah parti menjadi wadah perjuangan mereka, sudah ada usaha-usaha dilakukan untuk mengendurkan pertelingkahan dalam Pas. Seruan dan ajakan sudah dibuat kepada pemimpin baharu Pas agar berlembut dan mengambil sikap untuk berbaik denghan semua pihak. Cadangan agar diadakan tindakan berbaik, adakan majlis mahabbah dan dengan memberi kerja dan fungsi tertentu kepada mereka, tidak dipedulikan.

Penulis sendiri sudah lenguh mulut dan tangan menulis menggesa agar satu usaha dilakukan untuk merapatkan saf dan mempereratkan persaudaraan keahlian dan kepenyokongan parti selepas muktamar. Usaha membuang yang keruh dan mengambil jernih dilontar dan disarankan. Sayangnya seruan itu tidak diendahkan dan tidak dianggap penting menyebabkan ia berlalu bagaikan angin lalu sahaja. Malahan mereka di sebelah sini diterajang dengan kata-kata sindiran yang memedihkan.

Apabila puak yang kalah, yang berasa mereka tidak diperlukan mengagaskan wadah baharu sebagai keseninambungan perjuangan mereka, maka mereka tidak boleh dipersalahkan. Semua pihak kena terima, mereka sebagai pejuang mereka tidak boleh berhenti ditengah jalan. Pilihan buat mereka sebagai pejuang hanya dua; mencapai kemenangan, sama ada mati dalam perjuangan atau dapat mencapai piala perjuangan memiliki kuasa. Itu adalah sifat dan sunnah orang berjuang.

Penafian hak sebagai pejuang

Penubuhan GHB adalah kerana mereka tidak dilayan, dinafikan hak malahan diejek-ejek sedangkan jiwa perjuangan mereka membara, maka mereka menubuhkan wadah untuk mereka bergerak. Penubuhan itu bukan bersifat untuk bersaing dengan Pas sebaliknya sebagai menyediakan wadah kepada mereka yang ditolak untuk berjuang dalam Pas. Mereka tidak boleh bersara daripada berjuang hanya kerana Pas tidak mahu menerima mereka atas sebab-sebab personal dan sentimen. Pintu untuk menuju ke Syurga bukan sahaja melalui Pas tetapi masih banyak pintu-pintu lain.

Jelas penubuhan parti baru itu sesutau yang postif kerana ia boleh atau akan bergerak bersama Pas. Matlamat parti baharu juga adalah mendokong prinsip dan dasar yang diamalkan oleh Pas. Ia juga berlandaskan kepada prinsip dan dasar religionisme. Disini tidak ada konflit dan kontradik sama sekali kerana selagi mereka berpegang kepada kitab-kitab dan tafsiran yang sama, mereka akan bersama kerana prinsip dan konsep agama itu itu tetap sama sebab ia rigid, (kadim) tidak berubah Apa yang mungkin berbeza ialah pendekatan, mekanimse dan teknik perjuangan sahaja. Itu boleh disesuaikan dengan menggunakan akal kebijaksanaan.

Perbezaan dalam pendekatan dan teknik itulah juga menyebabkan mereka ditolak beramai-ramai dalam Pas, kerana mempunyai kefahaman agama serta mengambil pendekatan yang tidak sama dengan apa yang mereka fahami, konservetif dan masih kekal berfahaman ortodoks. Golongan profesional ini pula menolak pegangan dan fahaman itu kerana ia tidak bersifat dinamik lagi dan sudah out of date. Jadi janganlah ada yang menuduh penubuhan parti baharu adalah sebagai alat untuk memecahkan Pas, jauh sekali sebagai mengkhianati parti agama itu. Dengan adanya tuduhan dan prejudis itu maka pimpinan, ahli Pas dan GHB ini akan bertekak hingga ke Neraka. Tidak ada untung dan labanya.

Lantaran itu jika difahamai dengan baik, fikiran yang jilah, maka penubuhan parti baharu adalah sebagai penyelamat kepada matlamat perjuangan Pas, iaitu Islam - keselamatan dan kesejahtraan sejagat. Jika ini difahamai dengan baik jelaskan kewujudahan parti baharu itu sebagai pemangkin kepada Pas bukan penghurai kepada kepaduannya yang sudah dikecapi selama ini sehinggakan Pas mampu menguasai beberapa buah negeri.

Politik itu bersifat dinamik dan selalu menuntut akal fikir bagi membangunnya. Untuk kedua parti ini menjalani kerjasama bagi menghadpai musuh yang sama, tidak ada masalah. Kerana mereka sudah lama berada dalam satu bumbung, masing-masing sudah faham kelemahan dan kekuatan masing-masing. Jadi ia tidak perlu kepada intraksi mendalam lagi untuk meserasikan gerakan bagi berhadapan dengan musuh.

Musuh parti baharu, tetap sama dengan musuh Pas iaitu kezaliman dan kekejaman yang dilakukan kerajaan yang memerintah hari ini. Kalau parti baru menjadikan skandal 1MDB dan penyonglapan wang ke akaun Perdana Menteri sebanyak RM2.6 billion sebagai satu pengkhiatan, maka begitulah juga dengan Pas. Pas juga seharusnya menentang dan ganyang Najib atas skandal yang sama. Itu sepatutnya.

Melainkan Pas dibawah kepimpinan baharu kini sudah tidak lagi menganggap kerajaan dan Umno sebagai musuh mereka, atau skandal 1MDB dan penyonglapan dana itu sebagai tidak satu kejahatan, maka ini menyebabkan musuh mereka berbeza bahkan antara keduanya akan bertukar menjadi pesaing dan seteru yang tegar. Sekiranya Pas mengambil sikap menyokong dan melindungi kejahatan dilakukan kerajaan itu, maka tidak ada helah untuk GHB wujud dan menentang Pas kerana itu adalah kewajiban dan tanggungjawab ummah.

Melihat kepada kenyataan dan sikap diambil oleh Pas berhubung kejahatan dan kezaliman yang melibatkan Najib Razak menjelaskan ada kecenderongan Pas menjadi pembela kepada Najib. Misalnya kenyataan diberikan oleh Presiden dan Mursyidul Am Pas agar Najib diberi peluang memerintah dan menjawab segala masalah dihala kepadanya, memperlihat ada simpati dan sikap apologetik Pas kepada Umno. Sikap dan tindakan demikianlah menjadi tanda tanya dan tentunya menyebabkan pemimpin GHB dan rakyat umum kian keliru dengan pendirian dan sikap Pas.

Dengan mencerakin dan menganalisa segala titik mula itu, maka jelas kewujudan parti baru bukan pengacau dan menjadi musuh kepada Pas, tetapi tepatnya ia sebagai penyelamat dan pengimbang kepada Pas yang mungkin terbabas kerana tersilap dalam membuat tafsiran dan menerima kawan baru dalam politik yang hakikatnya ia adalah musuh dunia akhirat Pas sejak dahulu. GHB atau parti baharu akan bertindak sebagai safty boat kepada bahtera bernama Pas yang bakal diancam gelombang besar sekiranya parti itu berbaik sangka melebihi sejarah tatkala mula kepada Umno.  [wm.kl.1:37 pm 25/08/15]

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena