Parti politik diingatkan jangan pasang bahan kempen di premis TNB
Parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands diminta tidak memasang bahan kempen di premis atau pepasangan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
TNB dalam kenyataan medianya berkata perbuatan memasang bahan kempen di premis milik syarikat utiliti itu adalah berbahaya dan berisiko mengakibatkan renjatan elektrik dan percikan arka yang boleh merosakkkan benda dan mengancam nyawa.
"Larangan ini termasuk menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.
"Pemasangan bahan kempen tersebut juga boleh menghalang kakitangan TNB untuk mendapat akses bagi kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan," menurut kenyataan itu.
TNB menambah, mereka yang melakukan perbuatan itu boleh didakwa dan didenda mengikut peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).
Syarikat utiliti itu juga menambah akan menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko mendatangkan bahaya dan orang ramai yang melihat kejadian itu boleh menghubungi Facebook TNB CareLine atau 15454 untuk tindakan sewajarnya.
-- Bernama
mk.
0 comments:
Post a Comment