Friday, 5 February 2016

Mana lebih penting, BR1M (Peruntuk RM5.9 bilion) atau biasiswa untuk anak-anak belajar? Kembalikan hak biasiswa mahasiswa Malaysia.

Sabtu, 6 Februari 2016

Kembalikan hak biasiswa mahasiswa Malaysia

oleh Jufazli S A
JPA biasiswa
SEMAKIN hari, hak mahasiswa dinafi. Belum selesai isu penafian kebulur. Kini, isu biasiswa pula. Sungguh-sungguh mencabar keimanan mahasiswa. Akan tetapi, perlukah kita senyap dan takut bersuara?
Patutkah, biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digantung untuk 2016? Malah, biasiswa bursari kementerian pendidikan bagi pelajar pra-ijazah juga digantung. Semakin kita dipaksa bersetuju ratifikasi TPPA, seolah-olah semakin membodohkan pula pemerintah hari ini.
Mari semak semula muka surat 106 dokumen ucapan Bajet 2016 Kementerian Kewangan. Ada beberapa perkara besar yang membuatkan kita terkejut berkaitan isu penggantungan biasiswa JPA dan biasiswa kementerian pendidikan bagi program pra-ijazah melibatkan mahasiswa.
Rujuk halaman 42, ada dinyatakan jumlah pelaburan pendidikan yang kononnya untuk memantapkan pendidikan tinggi melalui agihan pembiayaan biasiswa melibatkan:
  •  RM1.65 bilion ringgit melalui JPA
  •  RM288 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan
Sebenarnya, banyak perbelanjaan tidak penting dalam bajet 2016 tetapi akhirnya sub biasiswa pula pemerintah kita pilih untuk dikorbankan. Tahukah anda, pemimpin kita sedang mengorbankan hak pelajar dalam negara dan luar negara yang bakal menjadi aset masa depan.
Alasan harga minyak pasaran dunia adalah faktor luaran yang boleh difahami. Cuma yang kita tidak faham, mengapa mereka tidak minta maaf kepada pelajar kerana kurang cerdiknya mereka urus tadbir ekonomi dalaman negara?
Contohnya, kerajaan Persekutuan boleh menghentikan sementara waktu pemberian perkara kurang penting. Rujuk muka surat 62:
Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2016 yang memperuntuk RM5.9 bilion. Peruntukan itu jika dianalisis sarjana ekonomi politik Malaysia, mereka percaya ia bukan untuk kebajikan rakyat. Ia hanya suapan dan gula-gula untuk survival kuasa pemerintah. Apatah lagi, Pilihanraya Negeri Sarawak kian hampir, pemerintah lebih suka peruntukan itu dipertahan.
Mana lebih penting, BR1M atau biasiswa untuk anak-anak belajar? Kalau ada sedikit akal dan jiwa kemanusiaan serta sifat mendahulukan kepentingan orang lain, memang biasiswalah lebih diperlukan. Kalau memang jenis kurang akal dan mata duitan, mungkin memilih BR1M lebih utama.
Malah, ada dua percukaian yang kita tertanya-tanya ke mana ia dibelanjakan dan me ngapa tiba-tiba pengagihan hasil itu tidak pula menjadi perancangan pelan B untuk mengatasi masalah biasiswa mahasiswa.
  • Had maksimum pelepasan cukai ke atas yuran pengajian pendidikan tinggi bagi pembayar cukai individu, naik kepada RM7,000 daripada RM5,000 setahun. Soalnya, ke manakah saluran pertambahan cukai itu dimanfaat? Dan bukankah ia jaminan untuk kawalan pendapatan domestik negara jika faktor luaran mengganggu kestabilan perbelanjaan negara?
  • Kastam Diraja Malaysia pula mencatatkan kutipan hasil cukai barang dan perkhidmatan (GST) lebih RM30 bilion sejak pelaksanaannya April 2015. Ini sebenarnya sumber pendapatan domestik negara. Isunya, susah sangatkah RM1 bilion disalur sebagai biasiswa demi mengembalikan hak mahasiswa?
Jika kita menerima alasan harga minyak semakin menurun di pasaran dunia, negara pada 2008-2009 berdepan krisis ekonomi yang kronik. Namun, Datuk Seri Najib Razak ketika itu tidak pula menggantung biasiswa JPA dan biasiswa kementerian pendidikan untuk 2009-2010. Mengapa pada 2016, belumpun berdepan krisis ekonomi dunia yang tenat, Perdana Menteri itu memilih menggantung biasiswa?
Hutang apakah yang kami tidak tahu sedang ditanggung negara sehinggakan Najib memilih jalan itu? Jawaplah dengan jujur demi hak mahasiswa.
Jadi, kita perlu sentiasa mengingatkan semua pemimpin, nasib mahasiswa dalam negara dan luar negara adalah tanggungjawab Najib bersama kabinetnya dalam memberi jaminan kewangan. Kebanyakan mahasiswa bukan dari keluarga kaya. Jika tidak dipertimbang semula keputusan itu, Malaysia akan kehilangan modal insan kelas pertama pada masa depan.
Jangan gila dengan pelaburan yang kita akan dapat hasil ratifikasi TPPA pada 2028 jika pada tahun itu kita hanya menambah generasi yang kurang cerdik hasil kebodohan pemimpin hari ini.
* Jufazli S A ialah alumni Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau merupakan kelulusan Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan berkelulusan Sarjana Sains Politik. Juga bekas pelajar tajaan Biasiswa JPA antara 2009-2012.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena