Gambar hiasan: Elegi Seorang Badut - oghangbaado.blogspot.com
SKMM nafi beri amaran selepas poster parodi Fahmi
OLEH MELATI A. JALIL
Published: 8 February 2016 7:33 PM
Aktivis Fahmi Reza sekali lagi menimbulkan kemarahan pihak berkuasa, kali ini melalui parodi dalam bentuk poster yang menunjukkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi amaran kepada orang ramai ia akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan gambar yang menghina pemimpin negara.
SKMM nafi mengeluarkan amaran kepada orang ramai akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan gambar menghina pemimpin negara hasil rekaan aktivis Fahmi Reza, kata Ketua Bahagian Komunikasi Strategik SKMM Sheikh Raffie Abd Rahman. – Gambar dari Facebook, 8 Februari, 2016.
Ketua Bahagian Komunikasi Strategik SKMM Sheikh Raffie Abd Rahman berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan amaran sebegitu.
"Ia bukan kenyataan SKMM, ia satu kenyataan palsu, kami tidak mengeluarkan amaran seperti itu," beliau memberitahu The Malaysian Insider.
Poster yang dimuat naik Fahmi di media sosial hari ini mengandungi perkataan "Amaran" dalam tulisan “bold” dengan mesej bertajuk “Henti Sebar Gambar Mengaibkan Pemimpin Negara”.
"Kami sedang menyiasat perkara ini, kami akan selidik habis-habisan tetapi orang ramai tidak sepatutnya menyebarkan kenyataan itu. Ia kenyataan palsu," kata Raffie.
Fahmi berkata ia dibuat dengan tujuan sebagai satu parodi.
"Saya yang mereka poster amaran itu, sebagai satu satira politik dan parodi untuk menyerlahkan betapa mengarutnya amaran yang dikeluarkan kerajaan terhadap tindakan menyebarkan gambar badut; yang bertentangan dengan kebebasan Internet," katanya.
Poster itu berbunyi: "Orang ramai diberi amaran supaya berhenti menyebarkan gambar-gambar pemimpin negara yang diubahsuai menyerupai badut seperti dalam gambar di atas menerusi laman sosial termasuk aplikasi 'Whatsapp'.
"Adalah menjadi satu kesalahan bila berkongsi atau menyebarkan kandungan sedemikian kerana ia melanggar undang-undang negara khususnya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Jika didapati bersalah, hukumannya adalah denda tidak melebihi RM50,000 dan/atau tidak lebih satu tahun penjara."
Tetapi Raffie berkata, walaupun tanpa kenyataan seperti itu, orang ramai tidak perlu menyebarkan foto pemimpin yang disunting secara digital pihak tertentu.
Gambar Datuk Seri Najib Razak berwajah badut membanjiri media sosial akhir-akhir ini, selepas aktivis dari kalangan artis grafik dan digital menyatakan solidariti menyokong Fahmi.
Fahmi sebelum itu diberi amaran polis kerana memuat naik posting di Twitter dengan karikatur badut perdana menteri pada 31 Januari. – 8 Februari, 2016.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/skmm-tidak-mudah-melatah-dengan-parodi-terbaru-fahmi#sthash.rh4HEbzq.dpuf
0 comments:
Post a Comment