Showing posts with label Duta Korea Utara. Show all posts
Showing posts with label Duta Korea Utara. Show all posts

Saturday, 4 March 2017

Duta Korea Utara Diusir Keluar Dari Malaysia

Ahad, 5 Mac 2017

Duta Korea Utara Diusir Keluar Dari Malaysia

Kang Chol dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari masa mesyuarat tersebut, iaitu 6.00 petang, 4 Mac 2017. -Gambar fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kenyataan oleh Datuk Seri Anifah Aman mengenai pengisytiharan Kerajaan Malaysia bahawa Kang Chol, duta besar Republik Demokratik Rakyat Korea adalah persona non grata.

1. Susulan dari arahan saya, TYT Kang Chol, Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) telah dipanggil (summoned) ke Kementerian Luar Negeri.  Beliau dijadualkan untuk bertemu dengan YM Ambassador Raja Nushirwan bin Zainal Abidin, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri pada hari ini jam 6.00 petang.

2. Walaubagaimanapun, TYT Kang Chol mahupun pegawai kanan dari Kedutaan tidak dapat menghadirkan diri ke Kementerian Luar Negeri.

3. Oleh yang demikian, Kementerian Luar Negeri melalui Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan DPRK telah memaklumkan bahawa TYT Kang Chol telah diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai Persona Non Grata. Beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari masa mesyuarat tersebut, iaitu 6.00 petang, 4 Mac 2017.

4. Sekarang boleh diumumkan bahawa pada pukul 5.00 petang, Selasa, 28 Februari 2017, pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri, telah berjumpa dengan Delegasi Peringkat Tinggi DPRK yang diketuai oleh TYT Kim Song.  Pada mesyuarat tersebut, Kerajaan Malaysia telah menuntut supaya Kerajaan DPRK mengemukakan permohonan maaf secara bertulis bagi dakwaan-dakwaan yang telah dilontarkan oleh Duta Besar DPRK terhadap Malaysia.

5. Kerajaan DPRK juga telah dimaklumkan bahawa andainya jawapan tidak diterima selewat-lewatnya pukul 10.00 malam hari yang sama, maka Kerajaan Malaysia akan mengambil langkah-langkah untuk mempertahankan kepentingan negara.

6. Hampir empat hari telah berlalu selepas tamatnya tempoh tersebut.  Permohonan maaf masih belum diterima, Kerajaan DPRK juga tidak memberi isyarat yang mereka akan memohon maaf.  Oleh yang demikian, Duta Besar DPRK telah disytiharkan Persona Non Grata.

7. Persona Non Grata diterjemahkan secara kasarnya bermaksud “Orang yang Tidak Dihargai”.  Seseorang yang telah diisytiharkan sedemikian dilarang masuk atau terus berada disesebuah negara.  Ia merupakan bentuk kecaman yang paling serius yang boleh dikenakan ke atas seseorang diplomat asing.

8. Ia juga seringkali digunakan untuk memberi isyarat tidak senang hati terhadap tingkahlaku atau dasar negara penghantar.

9. Mengikut artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (1961), negara penerima boleh, pada bila-bila masa dan tanpa memberi sebarang alasan, mengisytiharkan duta besar atau ketua perwakilan atau pegawai diplomatik sebagai Persona Non Grata.  Dalam hal sedemikian, negara penghantar akan memanggil pulang inidividu berkenaan ataupun menamatkan fungsi beliau di kedutaan atau perwakilan.  Jika negara penghantar tidak mahu berbuat demikian, maka negara penerima boleh menamatkan pengiktirafan terhadap individu tersebut sebagai ahli kedutaan atau perwakilan.

10. Ingin ditekankan – Malaysia akan mengambil tindakan keras terhadap apajua penghinaan mahupun usaha untuk memburukkan nama negara.

11. Harus diingat bahawa Duta Besar tersebut telah membuat tuduhan bahawa proses penyiasatan terhadap warganegara DPRK yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai sesuatu yang hendak disembunyikan dan Malaysia bersekongkol dengan kuasa luar untuk memburukkan negara negara beliau.  Pembebasan Encik Ri Jong Chol, seorang warganegara DPRK, dari tahanan polis disebabkan tidak mempunyai bukti yang cukup untuk didakwa, jelas menunjukkan bahawa penyiasatan tersebut tidak berat sebelah, adil dan telus, sesuai dengan sesebuah negara yang ditadbir berdasarkan undang-undang.

12. Pengusiran Duta Besar DPRK datangnya sejurus selepas keputusan Kerajaan Malaysia, seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bahawa bermula hari Isnin, 6 Mac 2017, warganegara DPRK dikenakan visa untuk masuk ke Malaysia.  Tindakan ini menunjukkan bahawa Malaysia memandang berat apajua cubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.

13. Langkah-langkah ini merupakan sebahagian proses Kerajaan Malaysia untuk menilai semula hubungannya dengan DPRK.


Menteri Luar Negeri
PUTRAJAYA
4 Mac 2017


Read More

Monday, 20 February 2017

[Video] Duta Malaysia diarah pulang, Duta Korea Utara dipanggil beri penjelasan...Kang Chol mendakwa Malaysia "berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar"!

Isnin, 20 Februari 2017

Wisma Putra arah duta Msia pulang, arah duta Korea Selatan beri penerangan

Malaysia hari ini memanggil pulang Duta Besarnya di Pyongyang untuk proses perundingan dan mengarahkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol, untuk memberi penjelasan mengenai kenyataannya berhubung kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
Kementerian Luar mendedahkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya Kang Chol telah bertemu dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala, Raja Nushirwan Zainal Abidin kira-kira sejam 30 minit, berikutan tuduhan yang dinyatakan beliau pada satu sidang akhbar Jumaat lalu.
Menurut kenyataan Wisma Putra itu, Kang Chol dalam sidang akhbar berkenaan telah memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai "sesuatu untuk disembunyikan" dan mendakwa Malaysia "berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar" dalam pengendalian kes kematian seorang warga Korea Utara pada 13 Feb lalu.
"Kerajaan Malaysia menganggap kritikan yang dibuat oleh Duta Besar Korea tersebut sebagai tidak berasas.
"Kerajaan Malaysia mengambil serius atas segala tuduhan yang dilemparkan bertujuan untuk mencemarkan reputasi negara," katanya.
Pada 13 Feb lalu, Kim Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila seorang wanita menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.
Beliau yang dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Feb menggunakan nama Kim Chol dalam pasportnya, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas mengadu kurang sihat kepada petugas di lapangan terbang itu dan diberi rawatan awal di klinik di situ.
Dalam kenyataan sama, Wisma Putra menekankan bahawa memandangkan kematian itu berlaku di Malaysia dalam keadaan yang mencurigakan, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.
Ia berkata penyiasatan kes ini telah dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan di bawah undang-undang Malaysia.
Kedutaan Besar Korea Utara turut dimaklumkan bahawa kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan proses bedah siasat perlu dijalankan, kata Wisma Putra.
"Kerajaan Malaysia melaksanakan penyiasatan secara telus. Kedutaan juga akan dimaklumkan tentang perkembangan yang berkaitan dengan penyiasatan tersebut dan juga proses yang terlibat di bawah undang-undang Malaysia," katanya.
Wisma Putra berkata kedutaan itu juga telah dimaklumkan bahawa sebaik sahaja siasatan selesai, mayat akan diserahkan kepada pihak waris mengikut undang-undang dan prosedur yang sedia ada di Malaysia.
Sebelum itu, kenderaan rasmi Kang Chol kelihatan memasuki perkarangan Wisma Putra pada 9.55 pagi dan meninggalkan tempat itu pada 11.30.
Hampir 50 wakil media tempatan dan asing mula berkumpul di pintu masuk Wisma Putra seawal 7 pagi selepas berita mengenai Kang Chol dipanggil berjumpa dengan wakil Kementerian Luar hari ini.
Wakil media yang menunggu di luar cuba mendapatkan reaksi Kang Chol di pintu keluar dengan mengetuk cermin dan pintu kenderaan namun kenderaan rasmi kedutaan itu tidak berhenti.
Read More
Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena