Justifikasi PKR Pemecatan Khalid Dalam Ceramah Di Shah Alam Malam Ini
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada hadiran berkenaan krisis dalaman PKR Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Sekiranya sebelum ini pentas ceramah PKR dan Pakatan Rakyat (PR) menjadikan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai sasaran, malam ini pentas ceramah penerangan memperlihatkan parti itu mengecam bekas menteri besarnya sendiri.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam ceramahnya berkata, PKR terpaksa menceritakan kebaikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sedangkan hakikatnya parti itu "menelan pahitnya" disebabkan segala tindakan Khalid.
Zuraida berkata, tindakan memecat Khalid dibuat ekoran keangkuhan menteri besar itu dan kedegilan beliau menguruskan negeri tanpa mengambil kira pandangan parti yang diwakilinya.
"Walaupun kita telan pahit berucap inilah menteri besar yang baik, itu ini, tapi hati kita telan pahit.
"Bagaimana angkuhnya, degilnya menteri besar kita dan terpaksa buat tindakan demikian," katanya dalam ceramah di Seksyen 19, Shah Alam.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, Khalid dipilih sebagai menteri besar Selangor apabila anggota parti dan ahli berkempen untuk memastikan kemenangannya dalam pilihan raya umum.
"Kalau tak nak ikut parti, buat parti baru, jadi menteri besar sendiri. Parti mana dia wakil, Bebas? Satu sahaja wakil dia, bolehkah jadi menteri besar?" soal Zuraida lagi.
"Masuk pilihan raya, tengok, boleh menang tidak?" kata Zuraida.
Beliau berkata, kedegilan Khalid yang enggan berundur sebagai menteri besar untuk digantikan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga memperlihat sikap Khalid yang sebenar.
"Tapi kalau inilah caranya, kita perlu menyokong (pecat Khalid)," katanya.
Antara pemimpin PKR yang dilihat memberikan penjelasan berhubung pemecatan Khalid hari ini termasuklah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.
Saifuddin dalam ceramahnya berkata, sikap keras kepala Khalid ditunjukkan apabila beliau seringkali gagal hadir dalam mesyuarat biro politik sehinggakan parti memberi kelonggaran kepada wakil pejabat menteri besar Selangor menyertainya demi memastikan isu di Selangor dapat disampaikan kepada Khalid.
"Khalid sering tidak datang mesyuarat biro politik. Ada kelonggaran kita berikan, anggota exco Selangor kita panggil, pegawai pejabat Khalid juga boleh duduk dalam mesyuarat, supaya isu Selangor dapat disampaikan kepada Khalid.
"Ternyata tidak ada perubahan," kata Saifuddin. –tmi
BLM.
PKR Jelaskan Kenapa Khalid Ibrahim Perlu Kena Tukar...
PKR bentangkan fakta kes MB Selangor,Hutang RM66.67 juta
Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, nota penjelasan yang merangkumi fakta kes melibatkan masalah intergriti itu Khalid akan diserahkan kepada semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat pada esok (Selasa).
Nota penjelasan sepanjang lebih 50 muka surat itu didakwa akan mendedahkan secara terperinci mengenai salah guna kuasa oleh Khalid sebagai Menteri Besar.
"Antara yang terkandung dalam nota tersebut adalah fakta kes membabitkan hutang Khalid sebanyak AS$18 juta (RM66.67 juta) dengan Bank Islam Malaysia untuk membeli saham syarikat ketika beliau menerajui Kumpulan Guthrie Bhd.
"Turut disenaraikan dalam nota itu adalah penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor oleh Khalid kepada Eco World dengan harga yang lebih murah daripada nilai pasaran untuk projek pembinaan rumah mampu milik," katanya.
Saifuddin berkata, PKR pernah meminta penjelasan Khalid berhubung perkara itu tetapi masih belum mendapat jawapan memuaskan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, Isnin.
Justeru, Saifuddin berkata, PKR akan menulis secara terperinci mengenai kes-kes tersebut dengan harapan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai alasan untuk menggugurkan Khalid.
"Kita harap penjelasan tersebut akan dapat membantu menyelesaikan kemelut ini dengan segera," katanya.
Jelas beliau, keputusan untuk membuat penjelasan bertulis itu dibuat selepas pertemuan dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Ibrahim Tuan Man, minggu lalu.
"Dalam pertemuan itu, perkara yang kita sentuh sudah tentunya membabitkan isu yang hangat diperkatakan sekarang. Jadi kita dapati ada keperluan untuk PKR memberikan satu versi (pandangan) yang membawa kepada keputusan untuk meminta Khalid berundur," katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, beliau tidak berkesempatan bertemu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sebelum ini, Abdul Hadi mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar manakala Nik Aziz mempersoalkan tindakan PKR mahu memecat Khalid.
Pada masa sama, Saifuddin berkata, Wan Azizah tetap menjadi calon pilihan Pakatan Rakyat untuk menggantikan Khalid walaupun timbul pelbagai khabar angin mengenai kemelut tersebut.
"Dalam mesyuarat biro politik PKR pada Ahad, semua anggota bersetuju dengan keputusan tersebut. Malah DAP dan PAS juga setuju calon menteri besar adalah dari PKR.
"Tidak timbul nama lain. Apa saja spekulasi berkaitan calon menteri besar yang tersebar, saya anggap ia sebagai berita sampingan. Keputusan kekal dengan Wan Azizah," katanya.
Ketika ditanya mengenai pandangan penganalisis politik yang beranggapan kemelut ini akan menjejaskan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang, Saifuddin mengakui ia sedikit sebanyak memberi kesan dari segi sokongan rakyat.
"Kita hormati semua pandangan, sebab itu sebagai respons kita terhadap pelbagai maklum balas, kita harus cepat menyelesaikan isu ini. Kita mohon kerjasama Khalid untuk menghormati keputusan parti yang telah dibuat," katanya.
sumber...
Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM
0 comments:
Post a Comment