Saturday 23 May 2015

DAP, NGO berjaya siapkan 25 rumah mangsa banjir Kelantan...

Sabtu, 23 Mei 2015

DAP, NGO berjaya siapkan 25 rumah mangsa banjir Kelantan

riduanon: May 23, 2015

DAP, NGO berjaya siapkan 25 rumah mangsa banjir Kelantan
Ketika DAP diserang oleh sesetengah pihak di Kelantan kerana isu hudud, ramai yang tidak tahu projek Impian Kelantan mereka dianggap paling berjaya membangunkan semula sebuah kampung di Gua Musang selepas musnah atau rosak teruk akibat banjir mega pada 24 Disember tahun lalu.

Kampung Pasir Tumbuh, sebuah kampung di pedalaman yang terletak di Hulu Kelantan kini berjaya dibina semula melalui projek ini di mana DAP menyumbangkan kira-kira setengah juta ringgit daripada dananya.

Selain Impian Kelantan DAP, terdapat juga badan bukan kerajaan (NGO), syarikat perniagaan dan orang perseorangan selain daripada kerajaan Kelantan dan Putrajaya tampil membantu mangsa banjir mega ini.

Sebanyak 1,821 keluarga dikatakan hilang sepenuhnya rumah mereka selepas banjir yang melibatkan 4 daerah utama iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah.

Impian Kelantan DAP bergabung dengan seorang ahli perniagaan Kelantan dan sebuah anak syarikat kerajaan negeri sudah selesai membina 25 buah rumah baharu selepas rumah lama mereka musnah dan membaiki 35 buah untuk mangsa ini, kata pengurus projek ini, Mohd Fauzi Mohd Azmi, 40.

“Kami kini di fasa kritikal untuk menyiapkan kesemua rumah ini menjelang Ramadan nanti,” kata Fauzi yang sudah berkampung di sini sejak 28 Februari lalu.

Pasir Tumbuh mempunyai 83 buah rumah dan sebuah sekolah di mana hanya lapan buah rumah sahaja terselamat dalam banjir mega ini, kata penghulunya Ahmad Seman, 55.

Tunggak projek ini adalah bekas Ahli Parlimen Kota Baru Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah yang menguruskan projek ini melalui NGO Cakna UT yang bernaung di bawah Impian Kelantan.

Sehingga kini pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Tumbuh masih belajar di dalam bangunan asrama selepas kelas mereka tenggelam kerana banjir dan masih belum dipulihkan sehingga sekarang.

Impian Kelantan yang dipengerusikan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dilancarkan pimpinan parti Islam itu dan DAP pada 31 Januari lepas di Dewan Perhimpunan Cina Kelantan, Kota Baru.

Turut serta di majlis itu adalah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) lain serta Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan bekas Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan.

Mereka turut diraikan oleh kerajaan negeri dalam satu majlis makan malam di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, ketika majlis pelancaran itu, DAP serta rangkaian NGO dan sukarelawan yang terlibat dalam usaha membantu serta memulihkan semula keadaan tidak mempunyai sebarang agenda politik.

“Impian Kelantan tidak menggunakan logo roket yang menjadi lambang parti DAP, kerana inisiatif tersebut digerakkan bersama-sama rakyat Malaysia, menjangkaui parti politik,” katanya.

Impian Kelantan mempunyai pendekatan tersendiri dalam membangunkan semula perkampungan itu selepas trauma yang dihadapi oleh mangsanya.

“Konsep pembangunan yang kami buat mudah saja. Kami tanya mangsa banjir ini, apa rumah yang mereka mahu berdasarkan keperluan mereka. Kami siapkan bahan binaan dan tuan rumah membina sendiri rumah mereka dengan cara kami upah mereka RM50 sehari.

“Mereka pula dibantu oleh penduduk kampung serta sukarelawan yang datang setiap hujung minggu dari seluruh negara,” kata Fauzi kepada The Malaysian Insider yang mengunjungi perkampungan terpencil itu baru-baru ini.

Menurut Fauzi, Impian Kelantan memperuntukkan RM15,000 hingga RM25,000 untuk sebuah rumah di kampung itu.

Beliau berkata, RM1.3 juta diperuntukkan untuk pembangunan semula ini dan sebahagian besarnya iaitu kira-kira setengah juta ringgit disediakan DAP melalui tabung dan juga sumbangan yang diberikan kepada mereka.

Lim dan DAP kini menjadi sasaran serangan sesetengah pihak dalam PAS termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang ekoran ceramah di Kota Baru sebelum ini.

Lim didakwa menyerang hudud dalam ceramah itu yang sehingga kini belum dibuktikan penyerangnya selepas dicabar pemimpin veteran DAP itu di bahagian manakah ceramahnya itu menyerang hudud.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata tindakan Lim menyentuh isu hudud pada ceramah berkenaan sebagai tidak wajar.

“Kita memang tahu dia sebelum ini sudah menolak hudud, namun tidak sepatutnya dia bersuara secara terbuka di rumah kita. Dia sepatutnya menghormati Kelantan,” katanya.

PAS Kelantan turut meminta kawasan Kota Baru yang menganjurkan program ini memberikan penjelasan segera berhubung jemputan terhadap Lim dan tujuan ceramah itu diadakan.

 http://suarapakatandaily.com/?p=8784

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena