Sunday, 3 May 2015

Najib berhadapan tekanan dari Tun...Hadi pula berhadapan perpecahan parti ekoran tindakan membelakangkan PR," kata Ibrahim.

Isnin, 4 Mei 2015

Cadangan Kerajaan Perpaduan Hadi Hanyalah "Fantasi" - Merdeka Center



Cadangan kerajaan perpaduan Hadi adalah ‘fantasi’, kata penganalisis

Cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar diadakankerajaan perpaduan hanya satu bentuk "eskapisme" (melarikan diri) dan tidak akan menyelesaikan krisis dalaman PAS dan Umno, kata penganalisis politik Ibrahim Suffian. Pengarah Merdeka Center – sebuah pengkaji bebas – itu berkata masalah sebenar dihadapi kedua-dua parti tertumpu pada pimpinan yang tidak menunaikan kehendak sebahagian ahli, dan ia tidak akan dapat diselesaikan menerusi kerajaan perpaduan.

Ibrahim berkata kerajaan perpaduan hanya menangguhkan masalah buat sementara waktu sehingga sebelum pilihan raya umum (PRU) kelak.

"Datuk Seri Najib Razak berhadapan tekanan dari Tun Dr Mahathir Mohamad atas isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), sementara Hadi pula berhadapan perpecahan parti ekoran tindakan membelakangkan Pakatan Rakyat (PR)," kata Ibrahim.

Dalam wawancara khas dengan Today Singapura minggu lepas, Hadi menyalahkan parti pemerintah, Umno, terhadap ketidaktentuan politik di Malaysia sekarang dan mencadangkan masih belum terlambat untuk memperbetulkannya, iaitu dengan cara membentuk kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik utama dan tanpa pembangkang.

"Apa yang berlaku ialah ekoran kelemahan dalam Umno sendiri. Ia bukan kerana Mahathir, Najib atau (Tun) Abdullah (Ahmad) Badawi," beliau dipetik berkata laporan Today.

Hadi menyampaikan idea yang sama pada 2008, selepas beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) yang menyusuli PRU12, meminta ahli Parlimen memberikan fokus kepada rakyat dari membuang masa menghadapi PRK.

Namun, cadangan itu ditentang pemimpin PAS sendiri ketika itu, termasuk naib presiden Datuk Husam Musa yang berkata, "Ia umpama menghantar ambulan kepada Umno yang sedang nazak, sedangkan selama ini PAS berusaha mematikan Umno."

Pemimpin veteran PAS Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah baru-baru ini berkata, cadangan Hadi itu tiada beza dengan cadangan yang dikemukakan Lim Kit Siang menubuhkan satu pakatan yang tidak partisan untuk "Selamatkan Malaysia", sedangkan cadangan itu dibantah penyokong Hadi sendiri.

"Apa bezanya dengan saranan Lim?" soal Rahim, Yang di-Pertua PAS Kota Baru yang pertama menamakan calon selain Hadi untuk jawatan presiden dalam mesyuarat agung PAS peringkat kawasan sebelum ini.


Sementara itu, Ibrahim yakin agak mustahil bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan kerajaan campuran itu kerana ia dilihat lebih menguntungkan Pakatan Rakyat (PR).

"Pada masa sama, hasrat PAS mengajak Umno menyokong usaha melaksanakan hudud akan ditentang parti komponen BN yang lain.

Cadangan ini kurang realistik kerana timbang tara antara kedua pihak tidak seimbang,"
 katanya kepada The Malaysian Insider.

Baginya, pandangan Hadi yang "masalah Umno tiada kaitan dengan gelagat pemimpin" agak tersasar kerana pergolakan yang berlaku tertumpu kepada perbezaan pendapat antara Dr Mahathir dan Najib.

Beliau berkata, kenyataan Hadi seolah mencerminkan pandangannya yang masalah PAS berpunca dari ahli dan bukannya kepimpinan beliau sendiri.

Baginya, idea penggabungan itu juga tidak realistik kerana pembangkang merasakan mereka mempunyai 'kelebihan' oleh kerana pelbagai isu yang membelenggu BN pada waktu ini.

"Pengajaran dari negara separa autoritarian seperi Zimbabwe menunjukkan, pembentukan kerajaan campuran antara pembangkang dan parti pemerintah yang dominan, lazimnya merugikan pembangkang pada pilihan raya,"
 kata penganalisis politik bebas itu.

Tekanan memuncak terhadap Najib selepas Dr Mahathir menggesa peletakan jawatannya kerana skandal yang melibatkan syarikat milik kerajaan 1MDB, kerana meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dalam PAS, Hadi berdepan cabaran mempertahankan jawatannya, selepas kedua-dua Husam dan bekas naib presiden Ahmad Awang menerima pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan presiden parti itu semasa perhimpunan agung parti itu bulan depan.

Parti itu mengalami persengketaan dalaman kerana terdapat perbezaan pendapat di antara ketiga-tiga parti komponen PR, yang termasuk DAP dan PKR.

Antaranya, langkah PKR menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dan PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang tahun lalu.

Kemelut Selangor itu berpanjangan apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipilih sebagai calon untuk jawatan menteri besar itu, yang tidak dipersetujui PAS, walaupun PKR dan DAP bersetuju hanya satu nama hendaklah dikemukakan kepada Sultan Selangor.

Hubungan yang penuh bermasalah antara PAS dan rakan komponennya bertambah buruk dengan keputusan PAS Kelantan membentangkan pindaan kepada Enakmen Jenayah Syariah II negeri baru-baru ini, dalam usaha membuka jalan kepada undang-undang Islam dilaksanakan di negeri itu.

Dalam masa sama, beberapa ahli PAS memutuskan menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), bertujuan mengukuhkan pakatan pembangkang.

Tetapi pada konvensyen Selangornya baru-baru ini, PasMa berkata ia akan memutuskan pada perhimpunan agungnya bulan depan, kemungkinan untuk menjadi sebuah parti politik. -TMI

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena