Friday, 5 June 2015

Muktamar - Pemilihan kali ini adalah paling huduh dan tidak bermoral..."umpama pemilihan ayam seraga"

Jumaat, 5 Jun 2015

Gambar hiasan

Pemilihan kali ini adalah paling huduh dan tidak bermoral

Oleh Mohd Sayuti Omar

Seperti yang dijanjikan malam tadi, pagi ini saya cuba memberi ulasan kepada keputusan pemilihan
dalam muktamar Pas ke-61. Dengan diketahuinya keputusan pemilihan sekitar jam 10:00 malam tadi, ertinya muktamar Pas ke-61 sudah pun berakhir? Walaupun tirai penutupnya akan tamat esok, tetapi keputusan semalam sudah menyelesaikan muktamar berkenaan.
Saya yakin dan percaya suasana dan aura muktamar tahun ini tidak begitu "jelingah" lagi, walaupun ia dimeriahkan dengan pemilihan. Mungkin sudah ada peserta yang kecewa sedih dan tidak dapat mengawalkan perasaan dukalara dengan apa yang berlaku, sudah angkat punggung pulang. Mungkin yang terlebih emosi sedang membuat congakan terhadap masa depan mereka dengan Pas sambil mata berlinangan dengan air jernih. 
Demikian juga dengan para pemerhati yang datang dari jauh dan dekat. Muktamar Pas yang selalunya meriah, menjadi medan bertemu mata, berjabat salam dan memeluk mesra, menjadievent yang didatangi ramai dan menggembira para peniaga, kerana dapat mencari rezeki, tetapi berubah rasa dan keadaan kali ini. Semuanya lantaran berlaku apa yang sudah berlaku. Saya percaya kehebatan suasana muktamar sudah rosak dengan keputusan yang dicapai itu.

Keputusan semalam, seperti dijangkakan ia dimonopoli oleh satu kumpulan sahaja, kumpulan agamawan (al Din). Keputusan semalam sah, tetapi ia mengecewakan. Usaha bersungguh-sungguh golongan itu untuk menguasai Pas sepenuhnya berjaya. Benarlah kata orang kalau gigih berusaha dalam apa juga bidang, ia akan berjaya. Kerana usaha juga Tuhan akan memberi hasilnya sama ada yang baik atau sebaliknya. 

Tetapi kejayaan dicapai golongan al Din itu masih subjetif dari segi politiknya. Kejayaan sepuak itu apakah memberi natijah dan kesan positif kepada Pas itu sendiri. Sebab apa yang penting ialah kemenangan Pas, bukan kemenangan puak atau pasukan. Yang berada di hapan kini ialah kemenangan puak, manakala kemenangan untuk Pas masih menjadi tanda tanya. 

Dengan latar belakang, aliran pemikiran dan iltizam sedemikian, apakah mereka berjaya membawa Pas seterusnya menjanakan Pas sebagai sebuah parti politik setanding dengan usianya. Pas adalan badan siasah, sebuah gerakan massa yang kemuncak destinasinya ialah kemenangan dalam pilihan raya. Munafiklah Pas kalau ia menyertai pilihan raya demokrasi, tetapi ia tidak mengangan-angankan kemenangan. Pas bukan seekor musang yang tidak dapat mendapatkan anggur lalu mengatakan anggur itu masam. 

Kenapa timbul kemusykilan dan ketidakyakinan ataupun pertanyaan demikian terhadap Pas? Kemusykilan ini terbit memandangkan sesebuah gerakan politik itu, demi mencapai kesuksesannya ia memerlu kombinasi pelbagai ilmu dan berkehendakkan kepada pelbagai kepakaran di dalamnya. 
Apa lagi dalam politik rencam ala Malaysia ini, yang menjulang politik sekular dari Barat, yang mempunyai elemen 4C, maka pakar-pakar daripada pelbagai ilmu profesional dibutuhkan untuk berhadapan dengan musuh atau pun berfikir mencari helah (tektik) untuk menarik sokongan rakyat. 
Laksana pasukan bola sepak yang hebat itu ialah apabila kesemua kesebelasan pemainnya mewakili setiap kepakaran dan kehebatan tersendiri. Masing-masing ada kebolehan peribadi, individu skil dan melalui latih spiritual dan fizial yang secukupnya. Punyai persefahaman dan semangat berpasukan yang tinggi.

Ia memiliki penjaga gol, pertahanan, pengatur strategi kemudian penyerang. Kalau dalam pasukan bola itu hanya ada penjaga gol atau pertahanan sahaja, tetapi tidak ada penghantar bola dan penyerang, tentulah pasukan itu tidak akan menang, kerana kemenangan dalam bola sepak ialah menjaringkan gol, bukan memastikan gol tidak dibolosi. Perkiraan mutlak menang kalah dalam permainan bola ialah jaringan gol.

Kejayaan mempertahankan gol dan tidak mampu menyerang, pasukan itu hanya mendapat keputusan seri sahaja. Walhasilnya pasukan itu akan menang sorakan daripada penyokong sahaja, tetapi dari segi kepuasan (satisfied) tidak akan ada. Apakah pasukan seperti itu bererti?  Manakala kemenangan dan keredhaan sesuatu perjuangan itu apabila ia memperolehi kuasa untuk mendaulatkan apa yang disuruh Tuhannya, itulah baru keredhaan tulen.

Apakah dengan barisan kepimpinan yang dibuat dalam pemilihan Pas itu menempati ciri-ciri ataupun aspek sebagai pasukan bola itu? 

Keputusan pemilihan semalam jelas memberi gambaran, berbeza dengan suasana dalam pasukan bola yang hebat itu. Seratus peratus orang yang dipilih untuk menguruskan Pas terdiri daripada mereka sejenis. Mempunyai latar belakang pendidikan, aliran pemikiran dan corak pemikiran yang sama. Dari segi pemikiran dan pegangannya mereka konsevertif fanatik. Jika mereka diibratkan kepada pasukan bola semua mereka merupakan pertahanan dan penjaga gol. 

Mereka (gologan al Din) yang beranggapan merekalah pejuang agama dan mempunyai kemiripan sebagai ahli syurga. Mereka menjaja slogan dan tagline itu, disamping memasukkan diri ke dalam lif tekan sendiri ke syurga, manakala dalam konotasi yang sombong dan agah mereka menidakkan pihak lain. Menuduh puak satu lagi sebagai tidak Islamik, dengan menggunakan berbagai istilah dan melakukan aksi provokasi yang jelek, belum pernah berlaku dalam parti agama itu sepanjang pemerhatian saya.

Manakala kempen untuk mendapat jawatan dalam Pas pada pemilihan kali ini adalah paling huduh dan tidak bermoral. Unsur-unsur mungkar bergeliwatan di mana-mana sahaja, sehinggakan kertas-kertas fitnah sampai melimpah ke dalam jubah orang-orang bernama ustaz dan ulama sendiri. Biarpun jelas kemungkaran itu tetapi ia diterus atau dihalalkan tanpa ditegur oleh penguasa Pas yang berkepentingan. Ini yang berlaku. Apakahkan ini kebenaran dan keadilan? 

Begitu juga kejadian ataupun perbuatan memisahkan antara sesama sendiri nampak sangat jelas. Semangat ukhwah Islamiyah yang dilaung-laungkan musnah ranah sama sekali ia ditelan dan dimamoh oleh gelora ghairah kerana sangat percaya kepada ilusi diri.  

Sikap dan perbuatan inilah mendatangkan fitnah kepada Islam, bila mana orang mengecopkan diri mereka Islam, tetapi bertindak jauh daripada prinsip dan nilai-nilai Islam. Tidak salah kalau dikatakan apa yang berlaku dan dilakukan oleh sesetengah orang parti Islam ini mengulang perbuatan munafikun yang menghalalkan kejahatan atas nama agama.

Melihat saking azab dan hebatnya, perebutan jawatan dalam Pas kali ini bolehlah disifatkan sebagai sebuah peperangan saudara. Pemilihan bukan untuk mencari yang terbaik daripada yang baik dalam kalangan mereka, tetapi menyusun puak dan mereka yang sefahaman tanpa mengira mereka cerdik atau pun bertaraf anak-anak Taski. Mana-mana yang tidak sealiran, tidak semazhab dibunuh. 

Justeru pemilihan ini tepat sekali kalau dikatakan sebagai peperangan membersihkan puak,(ethnic cleansing) bukan perlawanan mencari pemimpin untuk sebuah organisasi politik. Pemilihan kali ini adalah "pencincangan" sesama sendiri. 

Selain itu pemilihan kali ini juga tidak profesional, jauh sekali dengan telus dan adil berdasarkan prinsip dan konsep Islam. Bukan bermakna tidak telus dan adil dari segi peraturan dan melanggar mana-mana undang-undang ditetapkan, tidak. Setiausaha Agung, Mustafa Ali sewaktu menyampai kata alu-aluan menjelaskan, sepanjang kempen tidak ada apa-apa laporan salah laku dibuat. Bermakna proses pemilihan berjalan dengan mengikut peraturan dan lunas-lunas sewajarnya.

Apakah penjelasan itu muktamad? Tidak. Bagi saya penjelasan itu bukan bermakna perjalanan permilihan kali ini tertib dan sopan serta mengikut lunas-lunas dan semangat demokrasi yang sihat, penjelasan itu hanya satu kosmetik untuk mempamerkan kepada dunia yang Pas adalah indah dan cantik sepadan dengan namanya Parti Islam se Malaysia (PAS).  

Tetapi tidak telus dan tidak adil yang dimaksudkan berlaku dalam pemilihan kali ini, apabila ia dibuat dengan tidak waras dan bebas. Apabila para perwakilan disogok dengan kertas "chai", ataupun dihantar senarai nama orang-orang yang patut dipilih, maka ia tidak bebas dan tidak terbuka lagi. Apa lagi nama-nama orang itu dibuat dalam gugusan tertentu. Kepala perwakilan sudah dituba dan ditindas demikian rupa. Perwakilan sudah tidak ada fikiran sendiri dan membuat penilaian dari kaca matanya sendiri. Maka terhasilkan keputusan secara "kilang" dimana keluarlah hasil yang seacuan berbondong-bondong.

Pemilihan sedemikian juga satu paksaan dan zalim. Apabila perwakilan dihantar atau diberi chai, maka mereka terikat dengan chai berkenaan. Mereka akan jadi cemas dan bimbang kalau mereka tidak mengikut kehendak chai itu nanti dianggap sebagai tidak walak. Apa lagi chai itu pula mengkategorikan satu terdiri daripada ahli syurga, dan satu lagi ahli neraka yang telah disumpah dan dihembur demikian rupa. Perwakilan yang kepalanya ditepukan tentu tidak mahu terheret ke dalam neraka walaupun neraka itu sendiri mereka tidak mengerti apa hakikatnya, lantas jadi selamat memilih chai ahli syurga? 

Jadi apabila orang-orang yang membuat pemilihan yang tidak dapat memilih dengan betul, menurut kehendak hati dan penilaian otaknya sendiri, bermakna pemilihan itu dibuat secara paksa atau terpaksa atau malu alah. Bentuk paksaan pula secara psikologis dimana jika senarai atau orang agama tidak dipilih bermakna kamu mengkhianati agama, mengkhianati perjuangan Pas. Perwakilan yang lemah, tohor ilmu dan jahil agama akan mudah terpesona dan bergerunyut hati apabila dikaitkan dengan syurga dan neraka. 

Paling dahsyat dalam pemilihan kali ini apabila Dewan Ulama sendiri membuat senarai nama, ini menjelaskan orang yang berada dalam dewan yang dikira suci lagi maksum itu juga turut campur tangan. Apa lagi perwakilan yang dihantar itu sudah dipilih dan disaring, di peringkat kawasan lagi untuk datang bermuktamr. Mereka "dipunggah" sambil makan angin dan menjadi penepuk dan penyorak kepada apa yang berlaku. 

Peraturan menyerahkan perwakilan kepada penentuan jawatankuasa yang diautokrasi oleh YDP mungkin sudah tidak relevan lagi dan akan terus meletakkan Pas dalam telaga buta.

Saya sering bermadah sesuatu yang lahir dari sistem yang tidak baik itu ia tidak akan menghasilkan natijah yang baik dan berkualiti.

Bertolak dari itu, kepada saya pemilihan barisan kepimpinan Pas di semua peringkat, untuk sessi kali ini adalah tidak waras. Ia dibuat tanpa resional umum. Jadi mereka yang diangkat untuk memimpin Pas selama dua tahun 2015 - 2017 adalah mereka yang bukan semua orang atau ahli-ahli sepatutnya. Mereka tidak dibuat dengan bijaksana, sebaliknya dipilih secara kolektif yang telah diragakan demikian rupa. Apakah Pas akan dapat lonjakan dengan diuruskan oleh pemimpin yang dipilih secara tidak bebas dan waras dan umpama pemilihan ayam seraga ini? Bersambung

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena