TG Hj Hadi Tidak Layak Jadi PM?
Malaysiaku yang sakit
Negara terus dipimpin mereka yang lemah dan sistem urus tadbir yang sangat rapuh dan korup. Satu kombinasi yang membawa bencana kepada negara dan rakyat keseluruhannya.
Pemerintah tidak lagi memikirkan dasar yang baik untuk masa depan Malaysia. Segalanya berdasarkan kepada perkiraan untung poket masing-masing.
Sehinggakan pendidikan tertiari juga menjadi produk meraih keuntungan berlipat ganda sambil anak muda lepasan universiti terus menanggung beban hutang pinjaman pendidikan.
Sektor ekonomi semakin hilang arah tuju. Nilai matawang ringgit Malaysia terus mencipta rekod terburuk. Aliran keluar wang haram terus mengukuh. Keadaan kos sara hidup memuncak di kala pendapatan rakyat tidak jauh berbeza seperti zaman 80-an dan 90-an. Pasaran saham merudum. Petronas juga kehilangan separuh keuntungannya berbanding suku kedua 2014.
Sistem demokrasi berperlembagaan yang menjadi tunggak pemerintahan negara semakin tenat. Cabang eksekutif menjadi terlalu berkuasa. Legislatif dan kehakiman sudah hilang cengkaman. Terpaksa tunduk sahaja kepada setiap kemahuan eksekutif. Tiada lagi semak-dan-imbang. Lagak eksekutif seperti diktator pada ketika ini.
Umno-Barisan Nasional (BN) sudah gagal sama sekali. Baik dari segi politik, pentadbiran negara, pengurusan ekonomi sehinggalah kepada gagal dalam mencipta dan menggilap potensi berdikari dalam diri setiap anak bangsa Malaysia.
Umno-BN hanya mencipta rakyat yang kekal bergantung kepada kerajaan kerana dengan keadaan ini sajalah mereka akan kekal berkuasa.
Hari ini Malaysia sedang berada di persimpangan. Satu persimpangan yang bakal menentukan sama ada Malaysia akan kembali berdaya saing atau akan mengikut jejak langkah Greece. Kita semua perlu ingat dan faham, ini adalah zaman krisis paling buruk bagi negara kita.
29 Ogos ini adalah tarikh keramat untuk semua anak bangsa Malaysia khususnya anak muda. Kita akan berkumpul selama 36 jam di Dataran Merdeka. Dengan berbekal semangat untuk menyelamatkan negara yang dicintai ini.
Kita perlu dilihat sebagai kolektif untuk menghantar mesej yang kuat kepada kerajaan yang korup masih terdapat ramai orang menonton apa yang kerajaan sedang lakukan.
Anak muda Malaysia harus bangkit untuk merubah masa depan negara ini. Ayuh bersama dalam Himpunan Bersih 4. – 16 Ogos, 2015.
– Young Syefura Othman
*Penulis merupakan koordinator Impian Kelantan.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/malaysiaku-yang-sakit-young-syefura-othman#sthash.DGQw1ZYb.dpuf
0 comments:
Post a Comment