Wednesday 29 July 2015

Demo BERSIH 4 di 3 kota, 30 jam pada 29 Ogos...

Rabu, 29 Julai 2015 

Demo BERSIH 4 di 3 kota, 30 jam

2:18PM - 29 Jul 2015

BERSIH 2.0 hari ini mengumumkan himpunan keempat yang akan diadakan pada 29 Ogos hingga 30 Ogos secara serentak di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

Himpunan ini akan bermula pada pukul 2 petang hari 29 Ogos dan berlanjut sehingga melepasi tengah malam 30 Ogos, sepanjang 34 jam.

Ini merupakan himpunan bermalam yang julung kali diadakan oleh BERSIH.

BERSIH mengajak orang ramai turun ke himpunan untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain menghentikan segala amalan rasuah dalam kerajaan.

Antara empat tuntutan BERSIH 2.0 dalam himpunan ini ialah membersihkan pilihan raya, kerajaan, menyelamatkan ekonomi dan menyatakan hak membantah.

Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah berkata himpunan itu diharapkan dapat menarik perhatian orang ramai selain memastikan peserta himpunan benar-benar faham tujuan ia diadakan.

"Masa itu akan ada aktiviti budaya dan bengkel kesedaran.

"Kalau bermalam, kami dapat menarik perhatian orang ramai. Kali ini kita harap semua peserta benar-benar faham tujuan himpunan BERSIH.

"Kita mahu pembaharuan, kita ingin negara ini menjadi lebih baik tidak kira siapa mengetuai kerajaan," katanya.

10 tuntutan pembaharuan sistem

Mengenai bilangan peserta yang diharapkan, Maria Chin berharap setiap rakyat dapat turun bersama-sama dalam himpunan kali ini.

Katanya, BERSIH turut akan memberi notis kepada polis seperti proses biasa.

Maria Chin berkata sudah sampai masa rakyat Malaysia turun ke himpunan untuk mengasak Najib meletak jawatan dan menghentikan segala rasuah yang berlaku sejak zaman pemerintahan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.

Selain empat tuntutan utama, BERSIH turut mempunyai 10 tuntutan untuk pembaharuan pelbagai sistem kerajaan.

Ini termasuklah pembaharuan pilihan raya, suruhanjaya pemilihan perlu bertanggungjawab kepada Parlimen, perdana menteri dilarang bertindak sebagai menteri kewangan, mengadakan pembaharuan Parlimen, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertanggungjawab kepada Parlimen.

Selain itu, BERSIH juga menuntut peguam negara tidak boleh memainkan peranan pendakwaan,  kebebasan maklumat, pengisytiharan harta menteri dan penjawat awam, pemansuhan akta zalim dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena