Tuesday 28 July 2015

Pembangkang timbang 'Usul Tidak Percaya' terhadap Najib...

Selasa, 28 Julai 2015

Pembangkang timbang usul tidak percaya terhadap Najib

Najib hari ini mengumumkan rombakan kabinet besar-besar yang menyaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan

KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang dalam kalangan Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Gerakan Harapan Baharu (GHB) akan mencadangkan kepada parti masing-masing untuk memperhalusi cadangan mengemukakan usul undi  tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka turut menyeru ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) "yang sayangkan negara" untuk menyokong pembentukan sebuah kerajaan peralihan.

Kata mereka, kerajaan peralihan itu boleh ditubuhkan dalam masa yang terdekat sekiranya ahli-ahli parlimen BN menyokong usul tidak percaya itu.

"Usul ini boleh dibuat di luar sidang Parlimen atau semasa sidang Parlimen akan datang," kata mereka dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh tiga pemimpin DAP iaitu Tony  Pua, Liew Chin Tong dan Teresa Kok bersama empat pemimpin PKR iaitu Rafizi Ramli, Datuk Saifuddin Nasution, Sim Tze Tzin dan Wong Chen.

Mereka disertai oleh 10 pemimpin PAS yang menyertai Gerakan Harapan Baru -- sebuah gerakan politik baharu yang dibentuk selepas pemilihan parti itu baru-baru ini yang menyaksikan penyingkiran golongan progresif dan profesional dalam parti Islam itu daripada jawatan tertinggi parti.

Sepuluh pemimpin itu yang sehingga hari ini masih ahli PAS itu termasuk antaranya  bekas Timbalan Presiden parti, Mohamad Sabu, Dr. Dzulkefly Ahmad, Khalid Samad, Dr. Hatta Ramli, Kamarudin Jaffar, Drr. Siti Mariah Mahmud dan Hanipa Maidin.

"Kami yakin rakyat mahu melihat satu kepimpinan yang tegas daripada parti-parti pembangkang agar kemelut ketidaktentuan akibat pergolakan dalaman UMNO dan tuduhan rasuah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak ini dapat dihentikan serta-merta untuk mengembalikan urusan pentadbiran negara yang mengutamakan kebajikan rakyat," kata kenyataan itu lagi.

Sejumlah 17 pemimpin pembangkang itu menggariskan empat perkara yang harus jadi terma rujukan kerajaan peralihan yang mereka cadangkan termasuk melantik seorang Perdana Menteri sementara sehingga pilihan raya baru diadakan serta penyelesaian isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib hari ini mengumumkan rombakan kabinet besar-besar yang menyaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan. Muhyiddin digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut dikekalkan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dalam satu kenyataan berasingan sebelum itu mengumumkan penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara. Beliau digantikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Gani sebelum ini menganggotai Pasukan Petugas Khas -- bersama-sama Ketua Polis Negara, Gabenor Bank Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM) -- menyiasat dakwaan pemindahan wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri.

- astroawani
BLM.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena