Friday 24 July 2015

GHB proksi DAP? Menyedihkan Mustafa Ali masih bermain politik menipu dengan memuntahkan fitnah...

Jumaat, 24 Julai 2015

Hadi berhak sokong Najib, tapi PAS perlu henti fitnah DAP

SUFI9589
KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhak untuk menyokong dan memberi talian hayat kepada Perdana Menteri yang dilanda skandal 1MDB. Tetapi tiada tolak ansur apabila PAS terus memfitnah dan menyerang DAP.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, terpulang kepada Presiden PAS untuk mengutuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak, walaupun sebelum ini Hadi membisu apabila Mahathir menyerang Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak 2008.

Namun, katanya, PAS perlu sedar bahawa DAP tidak boleh berdiam diri apabila pemimpinnya seperti Datuk Mustafa Ali meneruskan serangan dan fitnah terhadap parti sosial demokrasi itu, seperti tuduhan yang dibuatnya di Kuala Terengganu semalam.

“Mustafa mengulangi tuduhan palsu kononnya pemimpin DAP angkuh, dan menuduh DAP memasang perangkap terhadap pemimpin progresif PAS untuk menjadikan Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagai proksi DAP,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, jika DAP angkuh bagaimana ia boleh melayan tuntutan Hadi yang mahu duduk di kerusi kedua di sebelah Ketua Pembangkang Parlimen, walaupun perwakilan PAS adalah minoriti dalam barisan pembangkang, iaitu PAS hanya ada 21 Ahli Parlimen berbanding DAP 38 dan PKR 30.

Malah, katanya, DAP tidak angkuh kerana ia mematuhi persetujuan Pakatan Rakyat dalam isu Menteri Besar Selangor pada Ogos tahun lalu, sedangkan Mustafa sendiri sedar bahawa Hadi yang sebenarnya memalukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu krisis tersebut.

Tidak cukup dengan itu, menurutnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail selaku Presiden PKR juga dimalukan oleh Hadi dalam isu tersebut kerana ditolak sebagai calon menteri besar semata-mata beliau seorang wanita.

“Memang menyedihkan apabila Mustafa masih bermain politik menipu dan curang dengan memuntahkan fitnah kononnya para pemimpin progresf PAS adalah proksi DAP,” katanya.

Kit Siang mempersoalkan sikap Mustafa yang menggunakan taktik propagandis dan cybertrooper UMNO untuk menyerang dan memburukkan kewibawaan saingan politiknya.

Tambah beliau, sikap Mustafa itu bukan daripada ajaran Islam atau mana-mana agama di negara ini kerana perbuatan itu tidak berakhlak serta melanggar etika.

“Ini mungkin menjadi salah satu sebab matinya Pakatan Rakyat kerana pemimpin atasan PAS enggan percaya dengan orang lain serta tiada semangat setiakawan, dan tidak komited kepada Rangka Dasar Bersama dan konsensus Pakatan Rakyat,” ujar beliau.

Menurut beliau, PAS dan DAP membawa haluan masing-masing dengan berakhirnya Pakatan Rakyat kerana PAS telah berkali-kali melanggar dasar bersama.

Malah, sikap Hadi yang bertindak sendirian seolah-olah hanya beliau mempunyai kuasa veto untuk membatalkan keputusan bersama Pakatan Rakyat juga menjadi punca berkuburnya gabungan pembangkang itu.

“Jika pimpinan atasan PAS masih jujur dan ikhlas, gunakanlah hujah yang munasabah dalam menangani perbezaan antara kita. Jangan menipu dan memfitnah,” tambah beliau. – Roketkini.com

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena