Sunday, 29 December 2013

Gerakan TURUN: SAMAN RM100 JUTA atau TARIK BALIK KENYATAAN! Amar Ishar Singh nafi...

Isnin, 30 Disember 201
Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), SAMAN RM100 JUTA ATAU TARIK BALIK KENYATAAN ?
MP Pandan Rafizi Ramli berkata beliau akan menganjurkan satu pertandingan mengarang emel palsu dengan hadiah sehingga RM1,000 untuk melihat sama ada polis akan turut bertindak ke atas perbuatan seperti itu.
Beliau mengumumkan perkara tersebut sebaik selesai disiasat selama kira-kira 40 minit hari ini, ekoran penyebaran satu emel berhubung rancangan membuat letupan semasa sambutan malam tahun baru 31 Disember.

Pengarah strategi PKR itu berkata beliau akan menganjurkan pertandingan itu sebagai reaksi kepada siasatan berkenaan, yang dianggapnya sebagai satu lawak jenaka.
Rafizi berkata beliau akan memilih karangan emel palsu paling menarik dan kreatif untuk ditujukan kepada perdana menteri, ketua polis negara dan timbalan ketua polis negara.

"Kita akan umumkan esok, oleh kerana kita anggap ia lawak jenaka.

"Anda (polis) bazir wang rakyat, dan bazir masa semua orang. Awak (wartawan) kena tunggu di depan ini tengah hari untuk berita.

"OK, kita anggap ia satu jenaka mengenai hal ini, dan kita nak tengok berapa banyak emel palsu yang polis nak siasat," kata beliau selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi hari ini.

Rafizi menegaskan, emel yang menuduh beliau terlibat dalam rancangan meletakkan bom di ibu negara malam 31 Disember depan adalah palsu.

Sementara itu Pengerusi Biro Guaman PKR Latheefa Koya yang menemani Rafizi mendakwa polis tidak menerima sebarang laporan berhubung emel palsu itu untuk dijadikan asas bagi menyiasat MP tersebut.

Beliau mendakwa, polis hanya menerima laporan pada 17 Disember, lama sebelum dakwaan dalam emel palsu itu muncul.
Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak menyebut mengenai letupan, atau rancangan membuat kacau pada malam 31 Disember, kata Latheefa.
"Apa yang kami terkejut adalah tiada satupun laporan polis terhadap Rafizi. Kami diberitahu yang kononnya polis sedang menyiasat satu laporan yang dibuat oleh ASP Rasha Aswadi yang dibuat pada 17 Disember.
"Dan dalam kandungan laporan tersebut tak ada laporan mengenai bom, bom tangan dan sebagainya," katanya.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh semalam menamakan empat NGO yang didakwa terlibat dalam sebuah himpunan untuk menggulingkan kerajaan di Dataran Merdeka pada malam tahun baru depan.

Kumpulan tersebut adalah Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia.
Sumber -Radzi Razak Malaysiakini

Pihaknya tidak teragak-agak untuk menyaman Timbalan Ketua Polis Wilayah tersebut sekiranya tiada bukti kukuh... 
SHAH ALAM - Pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak agar Timbalan Ketua Polis Wilayah, Datuk Amar Singh Ishar Singh menarik semula kenyataan beliau yang mengaitkan pertubuhan tersebut sebagai antara penganjur himpunan guling kerajaan pada 31 Disember ini.

Jelas Presiden SAMM Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, kenyataan tersebut adalah berbaur fitnah, dan pihaknya tidak teragak-agak untuk menyaman Timbalan Ketua Polis Wilayah tersebut sekiranya tiada bukti kukuh yang mengaitkan pertubuhan tersebut dengan himpunan itu.

“Saya dengan ini mendesak fitnah ini ditarik balik oleh Datuk Amar Singh Ishar Singh dan permohonan maaf dituntut.

“…dia harus dedah apa sumber dia, dan dedah bukti gred A sekiranya ada. Saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Amar Singh Ishar Singh dan semua media jahat yang menjadi lidah penyambung fitnah tersebut.

“…isnin ini (30 Disember), Chegu Bard dan SAMM akan menghantar notis undang-undang terhadap Datuk Amar Singh Ishar Singh dan media-media terbabit. Saya akan memulakan proses saman sebanyak RM100 juta ke atasnya,” katanya yang dipetik menerusi kenyataan medianya.

Semalam, memetik laporan berita polis telah mengenal pasti empat kumpulan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dijangka akan membuat kecoh pada sambutan ambang Tahun Baharu di Dataran Merdeka,31 Disember ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pertubuhan tersebut ialah Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Jingga 13, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

"Kami tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas dan menangkap individu yang menimbulkan kekecohan pada malam tersebut," katanya. 

Polis Kuala Lumpur nafi kaitkan empat NGO dengan letupan bom malam Tahun Baru
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Ishar Singh (gambar) menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengaitkan empat badan bukan kerajaan (NGO)  dengan perancangan letupan bom  pada sambutan malam Tahun Baru 31 Disember ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Katanya beliau hanya menyebut rancangan pengeboman itu dilakukan oleh individu lain manakala empat NGO itu pula dikenal pasti sebagai kumpulan utama yang terbabit dalam perhimpunan dikatakan bertujuan menggulingkan kerajaan malam esok.
"Ketika sidang akhbar, saya menyebut tentang empat NGO itu dikenal pasti akan hadir dan berhimpun di situ. Perhimpunan itu pula salah di sisi undang-undang dan mereka tidak dibenarkan berhimpun kerana tidak memohon sebarang permit.
"Kenyataan saya tentang ancaman bom dan senjata berbahaya itu tidak menjurus kepada NGO terbabit sebaliknya berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh individu di laman Facebook sebelum ini," katanya dipetik berkata kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.
Sabtu lalu, pihak berkuasa mendedahkan empat NGO iaitu Solidariti Anak Muda Malaysia (Samm), Jingga 13 dan Solidariti Mahasiswa Malaysia merupakan gerakan yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.
Amar mengulas mengenai ugutan saman RM100 juta oleh Samm berhubung tuduhan tersebut sambil menegaskan pihaknya mempunyai bukti kukuh penglibatan empat NGO itu dalam merancang perhimpunan berkenaan.
Katanya, ugutan saman yang dilakukan NGO itu sama sekali tidak akan menyebabkan polis memberhentikan siasatan
"Itu (saman) hak mereka...tetapi mereka harus ingat polis juga mempunyai bukti berdasarkan siasatan yang telah dibuat," katanya.

Dalam sidang akhbarnya terdahulu, Amar Singh juga mendakwa penganjur perhimpunan haram tersebut dipercayai akan mendirikan khemah di sekitar Dataran Merdeka dengan membawa pelbagai senjata termasuk bom tangan bagi melakukan kekecohan
Amar  berkata, pihak polis tidak akan teragak-agak menahan pihak yang cuba mencetuskan huru-hara di bawah Akta Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.
Beliau berkata hasil risikan mendapati beberapa kumpulan dan badan bukan kerajaan akan terlibat dalam perhimpunan itu bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka ke atas kerajaan dan seterusnya mahu menimbulkan kekacauan.
Susulan dakwaan itu Pengerusi Samm, Badrul Hisham Shahrin dalam satu kenyataan semalam berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan berkenaan dan akan memulakan proses saman sebanyak RM100 juta terhadap Polis Kuala Lumpur.
Katanya, kenyataan Amar semalam amat mengejutkan kerana mengaitkan dirinya dan Samm dengan tuduhan menganjur himpunan menggulingkan kerajaan.
Selain Samm, Jingga 13 juga bakal bertindak menyaman Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur itu sekiranya beliau masih tidak menarik balik tuduhan tersebut.
Jingga 13 juga akan mengemukakan saman ke atas Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM),  media pro kerajaan seperti TV3, dan Utusan Malaysia kerana berterusan menggelarkan gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) sebagai gerakan menggulingkan kerajaan.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena