Kenyataan Media
18 Disember 2013
Protes Rakyat Ambang 2014 di Dataran Merdeka
Mutakhir ini, rakyat telah dikejutkan oleh pelbagai kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan sekaligus meningkatkan kos sara hidup secara mendadak. Ia menerbitkan kegelisahan orang ramai terpancar melalui pelbagai laporan media termasuklah di media sosial. Malah, respon kebanyakkan menteri terhadap kenaikkan ini turut memacu kemarahan rakyat.
Justeru itu, hasil perbincangan melalui media sosial, hadir idea untuk bersama menyatakan protes terhadap peningkatan kos sara hidup secara melampau. Sambil menyifatkan tahun 2014 adalah tahun yang begitu mencabar, malam 31 Disember / ambang tahun 2014 yang disambut di Dataran Merdeka setiap tahun dipilih sebagai waktu dan lokasi yang paling sesuai untuk sebuah protes rakyat besar-besaran.
Inisiatif rakyat ini boleh dilihat melalui sebuah laman FB yang mengumpul kehadiran orang ramai ke Dataran Merdeka pada malam tersebut. Usaha ini berhasil apabila lebih seribu pengguna FB mengesahkan kehadiran dalam masa hanya beberapa jam. Laman tersebut adalah seperti di bawah;
Hashtag: #RakyatPilihDataranMerdeka31Dis #RPDM31D
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyahut cabaran mempromosi protes rakyat ini secara maksima, menyeru kepada semua pihak termasuk NGO, aktivis dan orang ramai tanpa mengira warna kulit dan fahaman kepartian. SAMM percaya semua tidak terkecuali, samada penyokong kerajaan atau sebaliknya, merasai bebanan kenaikan harga barang serta perkhidmatan yang melampau dan bertindan-tindan.
Antara bebanan yang dimaksudkan ialah kenaikkan harga petrol pada September lalu diikuti kenaikan harga gula pada Oktober, kenaikkan tarif elektrik pada Januari depan, semakan harga gas, semakan harga tiket pengangkutan awam seperti LRT dan tambang bas sekolah, dan juga peningkatan kadar tol yang melibatkan 15 lebuhraya. Maka himpunan bantahan ini adalah bertepatan.
Melalui media, SAMM difahamkan sebuah gabungan NGO TURUN turut berhasrat untuk bersama rakyat memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi protes. SAMM menyambut baik keputusan tersebut dan menggalakkan lebih banyak NGO untuk turun protes bersama di Dataran Merdeka.
Dalam perkembangan sama, tidak dinafikan ada pihak / individu tertentu yang bertindak agresif cuba untuk menganjur perhimpunan di lokasi sama dengan harapan menggulingkan kerajaan. SAMM menafikan sama sekali sebarang keterlibatan.
Namun sekiranya kerajaan yang lemah ini terguling dengan sendirinya hasil dari 'polisi' yang diperkenalkan, maka tidak boleh disalahkan sesiapa melainkan kerajaan itu sendiri.
Bagi SAMM, jelas himpunan di Dataran Merdeka adalah sebuah protes anjuran rakyat marhein. Ia sebuah protes yang aman selari dengan seruan supaya orang ramai hadir tidak membawa apa-apa senjata.
Akhir sekali, SAMM akan kemaskini segala perkembangan memandangkan terdapat banyak pihak yang sudah menghubungi SAMM menyatakan kesediaan untuk bersama rakyat pada malam ambang tahun 2014. Satu gabungan lebih besar mungkin akan direalisasikan.
Sekian,
EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia
- See more at: http://edyesdotcom.blogspot.com/2013/12/protes-rakyat-ambang-2014-di-dataran.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+edyesdotcom+%28edyesdotcom%29#sthash.XQoopIM3.dpuf
0 comments:
Post a Comment