Penganjur perhimpunan membantah kenaikan kos sara hidup, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) memutuskan untuk mengadakan perhimpunan ketika sambutan ambang tahun baru 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

NONEPengerusi TURUN, Azan Safar berkata keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat bersama NGO terlibat - Solidariti Anak Muda Malaysia dan Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Aktivis berkenaan bagaimanapun menjelaskan, acara tersebut tiada kena mengena dengan satu lagi perhimpunan yang dipromosi sebagai Himpunan Guling Kerajaan, juga di Dataran Merdeka.

Tegasnya, TURUN tidak akan menyertai apa-apa usaha untuk menggulingkan kerajaan seperti yang dipromosikan oleh Himpunan Guling Kerajaan itu.

“Kalau ada pun gerakan sebegitu, kami tidak akan bersama. Tujuan kita bangun nak bangkitkan amarah rakyat, bukan nak gulingkan kerajaan.

NONE“(Ia) sebagai suatu kuasa pendesak agar kerajaan dengar amaran rakyat dan fikir tentang kos sara hidup rakyat yang makin meningkat dan struktur semula kebajikan rakyat,” katanya melalui sistem pesanan WhatsApp.

Azan berkata demikian ketika ditanya mengenai bahan publisiti mengenai Himpunan Guling Kerajaan yang diterima oleh Malaysiakinisemalam.

Imej berkenaan antara lainnya menunjukkan slogan "Gulingkan Kerajaan Umno-BN", "Dataran Merdeka/ Seluruh Pelusuk Malaysia", dan "31 Disember 2013 (Sejarah Bakal Tercipta)".

Tulisan itu terpapar pada latar belakang gambar yang menunjukkan seorang lelaki berbaju kuning dan berlilit kepala kuning dan juga kumpulan peserta perhimpunan di satu kawasan dipercayai pusat bandar Kuala Lumpur.

Bahan publisiti tersebut dikesan tersebar di kalangan satu kumpulan pengguna itu melalui poster yang didakwanya disebarkan melalui satu kumpulan pengguna WhatsApp semalam.
Kumpulan pengguna WhatsApp itu antara lainnya dianggotai para wartawan dan juga pegawai komunikasi korporat polis Bukit Aman.

Azan dalam laporan Malaysiakini semalam berkata, perhimpunan bertemakan ‘2014 Tahun Sengsara Rakyat’ anjuran TURUN yang akan bermula pada jam 8 malam itu dijangka menarik kehadiran 10,000 orang.

Ia bagi menzahirkan kemarahan dan amaran rakyat kepada kerajan yang menurutnya "memeras dan mencuri harta rakyat" melalui kenaikan kos, termasuk tarif elektif, harga petrol, dan barangan keperluan, katanya.
Mk.