Thursday, 17 April 2014

TGNA: Karpal Singh ahli politik yang hebat... MCA Dakwa Otak Zulkifli Noordin Penuh 'SAMPAH’!!!

Khamis, 17 April 2014

Hina Mendiang Karpal Singh - MCA Dakwa Otak Zulkifli Noordin Penuh 'SAMPAH’!!!


MCA mengecam bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin sebagai tidak mempunyai otak kerana kenyataan tidak munasabah selepas kematian ahli politik veteran DAP, Karpal Singh awal pagi ini.

Dalam kenyataan melalui akaun Twitter @zukiflinoordin beliau dilihat seolah-olah  “lega” dengan kematian ahli Parlimen Bukit Jelutong itu kerana pelaksanaan hudud Kelantan akan lebih mudah dengan ketiadaan Karpal.


"Nampaknya Zulkifli Noordin sudah hilang rasional dengan cuba mendapatkan perhatian politik apabila mengeluarkan kenyataan tidak berperikemanusiaan," kata Ketua Biro Publisiti, Datuk Chai Kim Sen dalam satu kenyataan hari ini.


Chai menyifatkan bekas naib presiden Perkasa itu sebagai terlupa sifat asas setiap manusia.

"Zulkifli kelihatan terlupa dengan sifat asas yang diperlukan oleh setiap manusia," katanya.

Zulkifli berkata kematian Karpal akan memudahkan lagi kerajaan Kelantan dalam melaksanakan Hukum Hudud yang selama ini ditentang hebat oleh DAP.

“Moga perjuangan untuk melaksanakan hudud di Kelantan berjaya.
"Alhamdulillah dengan kesatuan akidah Umno-PAS dan ketiadaan Karpal, saya percaya laluan makin dipermudahkan!” kata Zulkifli.

Chai menegaskan isu politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menyakiti orang lain, mendesak Zulkifli yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu supaya bersara daripada politik.

"Amalan dalam politik tidak sepatutnya disalahguna dan menyinggung perasaan orang lain, tambah-tambah jika ia melibatkan kebajikan orang ramai.

"Jika Zulkifli tidak memahami kebenaran ini, atau tidak tahu tentang konsep hormat, beliau boleh bersara daripada politik," kata Chai lagi.

Karpal maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi ini.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya, Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.

Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. ~ TMI

Tok Guru Nik Aziz Mengulas Kematian Karpal Singh

 Gambar fail - Tok Guru Nik Aziz dan Karpal Singh

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS dan kerajaan Kelantan melahirkan rasa sedih dan terharu di atas kematian anggota parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh akibat kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mendiang seorang ahli politik yang hebat memperjuangkan keadilan untuk rakyat.Katanya, Karpal seorang pemimpin yang dihormati orang ramai kerana kepakarannya dalam bidang perundangan.

“Mendiang memahami perundangan negara dan perlembagaan sebab itulah beliau bermati-matian mengatakan Malaysia sebuah negara sekular.

“Sebaliknya Umno yang mengaku Islam pula menghantar surat kepada saya melarang melaksanakan hudud di Kelantan selepas diluluskan pada 1993.“Surat amaran itu meminta jangan laksana hudud di Kelantan dan kalau buat juga akan diambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.

Karpal terbabit dalam kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara Selatan laluan utara dekat Kampar awal pagi tadi.Kemalangan itu turut meragut nyawa pembantu peribadinya, Michael Cornelius Selvam Vellu, manakala anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta dilaporkan cedera.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut melahirkan rasa sedih di atas kemalangan tragis menimpa pemimpin kanan DAP itu.“Saya berharap anggota keluarganya bersabar. Mati sesuatu yang wajib bagi setiap manusia. Yang menghidupkan juga Allah,” ujarnya.

Sementara itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob turut merakam ucapan takziah di atas kepada keluarga mendiang.Katanya, kematian tokoh tersebut suatu kehilangan besar kepada negara kerana kepakaran dalam bidang perundangan.Hrkh

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena