Thursday, 15 May 2014

Krisis Umno Ganu: Babak kedua baharu bermula...'Krisis tak selesai, saya kenal siapa Mat Said' - Abdul Wahid Endut

Khamis, 15 Mei 2014

'Krisis tak selesai, saya kenal siapa Mat Said'

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pergolakan sebenar yang berlaku di dalam Umno Terengganu hakikatnya masih belum selesai kerana krisis itu melibatkan banyak masalah di peringkat dalaman, demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam Abdul Wahid Endut.

"Kalau dikatakan selesai ianya berpura-pura sahaja sebenarnya tidak selesai lagi. Mungkin yang hendak diselesaikan kenduri kahwin anak Ahmad Said sahaja,"katanya.

Masalah dalaman yang gagal diselesaikan, katanya akan turut menjejaskan kerajaan sehinggakan tidak boleh menumpukan sepenuhnya kepada soal kelancaran dalam pentadbiran.

"Umno di peringkat pusat tidak tahu pergolakan sebenar yang berlaku di dalam Umno Terengganu, sebab itu mereka kata berjaya selesaikan krisis negeri ini dalam masa 48 jam.

"Mungkin bagi Umno, kembalinya Ahmad Said kepada Umno maka selesailah krisis di Terengganu. Krisis ini sebenarnya bukan setakat itu sahaja," katanya kepada Harakahdaily.

Oleh kerana itulah, katanya sesebuah kerajaan yang lemah sukar untuk berfungsi dengan baik dan ianya harus dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang mereka pilih.

Mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang mengatakan Umno berjaya menyelesaikan krisis politik Terengganu kurang daripada 48 jam, Abdul Wahid dengan spontan memberi komen "air yang tenang jangan disangkakan tiada buaya'.

Mengimbau insiden perbahasan antara beliau dengan Adun Kijal Datuk Seri Ahmad Said yang mana video rakaman tersebut tersebar meluas di media sosial ketika ini, Abdul Wahid akui Ahmad Said seorang yang sangat sensitif.

Bagaimanapun Abdul Wahid yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu, menyenangi sikap Ahmad Said kerana dia tidak menyimpan perasaan dendam dengan sesiapa termasuklah dirinya sendiri.

"Dia (Ahmad) beremosi pada waktu itu sahaja (semasa perbahasan), sebaik sahaja keluar dewan dia terus peluk saya dan kami minum teh sekali. Dia bagus sebab dia tidak ada dendam.

"Emosi dia kadang-kadang tidak boleh kawal dan marah dia hanya pada waktu itu sahaja kemudian dia sejuk balik. Kita di dalam dewan biasalah hujah penuh semangat, emosi pada waktu tu tidak dapat dikawal. Saya tidak ambil hati dengan beliau dan kenal sangat perangai dia. Memang macam itu," katanya.

Abdul Wahid mengenali Ahmad Said sejak tahun 1990 selepas bekas Menteri Besar Terengganu itu menang dalam pilihan raya kecil pada tahun itu.

Pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu 2009, Ahmad membenarkan PAS menggunakan stadium negeri untuk majlis perisytiharan calon.

Pada pilihan raya itu, Abdul Wahid sebagai calon PAS menang bagi kerusi parlimen itu.

Terdahulu, Datuk Ahmad Maslan mengatakan Umno berjaya menyelesaikan krisis politik di Terengganu dalam masa kurang daripada 48 jam.

Beliau berkata walaupun krisis ini memberikan kesan negatif kepada BN, kesan tersebut tidak terlalu ketara kerana isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh singkat. - HARAKAHDAILY 15/5/2014


Krisis Umno Terengganu: Babak kedua baharu bermula – Azan

(Oleh: Rusnizam Mahat)

KUALA LUMPUR 15 MEI: Krisis peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu belum berakhir, sebaliknya babak kedua baharu sahaja bermula dan mungkin menjadi lebih buruk, kata Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail.

Katanya, terdapat desas desus tiga Adun yang mengikuti Ahmad Said dan keluar daripada Umno dijanjikan jawatan sebagai Exco sekiranya kembali semula ke pangkuan parti itu.
“Ini menimbulkan rasa sangat tidak berpuas hati di kalangan Adun yang tidak dilantik sebagai exco dan menyebabkan muncul beberapa kumpulan kecil (di kalangan Adun).

“Jadi masalah ini tak akan selesai, malah akan memburukkan suasana. Babak kedua adalah apabila pelantikan exco baru menggantikan exco yang lama.
“Episod ketegangan dan pergaduhan mungkin lebih berpanjangan. Babak kedua ini akan diikuti babak ketiga di dalam DUN apabila menteri besar yang baru akan diuji dengan undi tak percaya,” ujar Azan.

Katanya, sama ada undi tidak percaya itu diusulkan Pakatan atau BN sendiri, beliau yakin kalangan ADUN yang tidak terpilih sebagai exco akan memberontak.
Selain itu, katanya, Umno kini bimbang jika pihak tertentu membawa kes itu ke mahkamah berikutan keputusan Ahmad Said bersama tiga lagi Adun mengisyitiharkan diri mereka sebagai Adun bebas baru-baru ini.

“Dari segi perundangan, BN tidak punya hak memerintah Terengganu kerana beberapa Adun menjadi bebas dan mereka hilang kuasa majoriti. Mereka bimbang jika ada pihak tertentu usul ke peringkat mahkamah dan menjadikan isu ini isu perundangan. Kerajaan negeri yang ada tak boleh bertahan lama selagi tidak mendapat fresh mandate daripada rakyat,” ujarnya.

Azan yang juga Adun Bandar berkata, episod di Terengganu kini dilihat menjadi lebih parah apabila terdapat pegawai kerajaan negeri ditukar kerana dilabel pengikut setia Ahmad Said.

“Mereka ini dilabelkan sesetengahnya masih bersama bekas menteri besar. Pertukaran pimpinan adalah perkara biasa, tetapi pertukaran dan pemecatan pegawai kerajaan tidak ubah seperti mengulangi kesilapan pertama dengan menukar Ahmad Said sebagai MB serta merta,” katanya menganggap keputusan itu politik balas dendam oleh menteri besar yang baharu, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman.

Beliau merujuk tiga pegawai kanan di Pejabat Menteri Besar yang ditukar berkuatkuasa 14 Mei lalu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Berhad, Datuk Wan Ahamad Wan Muda yang ditukar sebagai Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu.
“Sekarang banyak pihak beranggapan, isu ini telah reda. Sebenarnya ini baru tamat babak pertama kerana babak kedua baru saja bermula,” kata Azan.


Katanya suasana politik di Terengganu ini menyebabkan arahan daripada pentadbiran kerajaan negeri masih kabur dan tidak jelas, sehingga mengganggu kelancaran pentadbiran.
“Terdapat politiking dalam jabatan kerajaan atau perkhidmatan pentadbiran negeri. Ada fail dilapor hilang, surat yang dibatalkan atau tidak sah.


“Tambahan exco yang ada tidak pasti kedudukan dan nasib masing-masing. Maka berlaku suasana seperti keretapi yang terputus kepala, huru hara dan kelicinan pentadbiran tidak berlaku,” ujar Azan.
“Saya melihat bahawa ujian sangat getir jelas diletak kepada menteri besar yang baru yang tidak mempunyai pengalaman dan hanya dua penggal sebagai Adun. Dia kini diberi tanggungjawab sebagai MB dan memasuki pejabat MB dalam suasana yang genting dalam krisis sebegini,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena