Kenyataan Media
SOLIDARITI BERSAMA ISHAM RAIS, BANGKIT LAWAN AKTA HASUTAN
Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam sekeras-kerasnya tindakan berterusan kerajaan yang menggunakan Akta Hasutan terhadap ahli politik dan aktivis sosial. Akta Hasutan adalah salah satu juzuk undang-undang 'draconian' yang digubal oleh pemerintah negara ini sejak sebelum merdeka lagi.
Terkini, aktivis sosial saudara Hishamuddin Rais (Isham Rais) akan berhadapan dengan penentuan akhir pendakwaan terhadap beliau bawah akta zalim ini pada 16 Mei 2016 di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan rayuan juga ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Beliau bukan sahaja didapati bersalah, malah dikenakan hukuman penjara selama 8 bulan.
Pemuda AMANAH yang berjuang atas prinsip keadilan, kebebasan, hak demokrasi dan perlembagaan tegas dengan pendirian bahawa Akta Hasutan perlu ditentang dan dihapuskan. Ia jelas satu akta yang bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, prinsip keadilan sejagat dan konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi. Keadilan dan kebebasan adalah prinsip yang dianjurkan Islam dan jelas akta ini bertentangan dengan prinsip-prinsip ini.
Kes saudara Isham Rais adalah lambang pencabulan hak asasi dan demokrasi di negara ini. Pemenjaraan ke atas beliau pasti akan menjadi episod hitam kepada perjuangan demokrasi di negara ini. Saudara Isham Rais adalah ikon rakyat yang tidak pernah putus asa menyedarkan rakyat peri pentingnya amalan demokrasi yang adil dan bebas dituntut demi kebebasan dan kesejahteraan hidup rakyat.
Kini, rakyat tidak boleh membiarkan ikon kita sendirian. Pemuda AMANAH menyeru rakyat Malaysia untuk mendoakan kejayaan dan pembebasan beliau pada 16 Mei 2016 ini. Rakyat juga diseru untuk hadir beramai-ramai ke Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada perjuangan saudara Isham Rais.
Bangkit rakyat lawan akta yang zalim ini. Jangan biarkan kezaliman terus menguasai kita.
FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional
11 Mei 2016
0 comments:
Post a Comment