Sunday 12 June 2016

Hadi mengaku tolak pelawaan jatuhkan Najib & Mengapa pula Hisham yang berasa 'pelik'.

Isnin, 13 Jun 2016

Hadi mengaku temui Dr M, tolak pelawaan jatuhkan Najib



Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui bahawa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menemui beliau tiga bulan yang lepas untuk membincang rencana menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Abdul Hadi berkata beliau bagaimanapun menolak pelawaan itu kerana menganggap ia tidak memberi sebarang faedah kepadanya mahupun parti itu.

"PAS tidak menentang individu...tidak menentang orang tapi menentang pendekatan menggunakan konsep dan dasar.

"Sekiranya (kalau) orang diubah tetapi dasar dan pendekatannya sama, tiada perubahan juga," katanya kepada pemberita
ketika melakukan sesi 'walkabout' di sekitar bazar Ramadan pekan Sekinchan, di sini hari ini.

Mengenai dakwaan Tun Mahathir bahawa beliau (Abdul Hadi) makan 'dedak' Najib, Presiden PAS itu secara sinis memulangkan soalan siapa yang mula mengajar memberi dedak sebelum ini?.

"Kerana PAS tidak makan dedak maka dengan itu PAS boleh teruskan perjuangan tak ada politik wang, politik BR1M, siapa yang ajar?.

"Selagi tak mengubah pendekatan, tak ubah perangai, selagi itulah perkara ini akan berlaku," ujar beliau.

Mengulas saranan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad agar UMNO dan PAS berganding demi mengukuhkan kedudukan Melayu dan Islam, Abdul Hadi berkata:

"Kita ada garis panduan dalam al-Quran...kembali kepada al-Quran, hadis sepenuhnya barulah kita boleh bersatu.

"Kita tak gopoh, seperti mana rang undang undang persendirian, itu satu langkah kerjasama sangat baik dan positif," katanya merujuk laluan yang diberikan oleh kerajaan baru-baru ini untuk beliau mengemukakan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat.

Pada sesi 'walkabout' itu, jentera parti menawarkan beberapa aktiviti kepada orang ramai termasuk pemeriksaan kesihatan dan menukar minyak hitam motor secara percuma.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) berikutan kematian Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu.

- Bernama
BLM.

Hisham 'Pelik' Tun M Sokong AMANAH Dan Tidak Sokong PAS

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata beliau tidak faham apa rasional Tun Dr Mahathir Mohamad turun padang memberikan sokongan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) pada pilihan raya kecil kali ini.

Kata Hishammuddin bekas perdana menteri itu dilihat tidak konsisten memberikan sokongan kepada pakatan pembangkang.

"(Saya) pelik sebab peringkat awal Tun (Dr Mahathir) kata dia sokong pembangkang untuk kalahkan BN, tetapi sekarang nampak Tun hanya sokong AMANAH saja (sedangkan) PAS pun pembangkang juga.

"Saya tak faham raisonalnya Tun M berbuat begitu," kata Hishammuddin dalam sidang medianya di Kuala Kangsar petang tadi.

Dr Mahahtir hari ini dilaporkan turun ke Sungai Besar untuk berkempen bagi memenangkan calon AMANAH yang mewakili gagasan pembangkang dalam Pakatan Harapan.

Esok Dr Mahathir dijadual akan ke Kuala Kangsar pula.

Kedua-dua pilihan raya kecil pada 18 Jun ini menyaksikan BN berdepan dua parti pembangkang, iaitu AMANAH dan PAS.

Tak halang turun

Mengulas lanjut menteri pertahanan itu berkata apa yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir dalam siri kempennya - tentang kepimpinan Datuk Seri Najib Razak - juga tidak ada kaitan dengan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Hishammuddin berkata ia kerana Najib tidak bertanding di kedua-dua parlimen tersebut.

"Apa yang dibangkitkan dalam ceramah Dr Mahathir tak ada kaitan di Sungai Besar.

"Saya nak ingatkan (Dr Mahathir) bahawa Najib tak bertanding di piihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Hal yang menyentuh Najib, apa kaitannya dengan Kuala Kangsar dan Sungai Besar?" soal Hishammuddin.

Bagaimanapun, Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Semberong itu berkata beliau tidak menghalang pemimpin veteran Umno itu untuk turun berkempen membantu pembangkang.

"Kita tak boleh sekat beliau turun (berkempen) tapi tergamak beliau buat sebegini rupa," tambah Hishammuddin.

Pilihan raya kecil Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian bekas penyandangnya Datuk Wan Khair-il Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak.

- mkini
BLM.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena