Sunday 30 August 2015

Penganjur BERSIH 4 - Jika ada BERSIH 5 selepas ini ia akan menjadi "Pesta Rakyat"...100,000 PADA MALAM TERAKHIR.

Isnin, 31 ogos 2015

TERKINI BERSIH 4 (HARI KE-2) - LANGSUNG DARI DATARAN MERDEKA. 100,000 PADA MALAM TERAKHIR.

SUMBER DARI MALAYSIAKINI


12am Jalan TAR - Peserta yang berhimpun di jalan TAR menyanyikan lagu Negaraku pada jam 12 tengah malam.

Setelah selesai penantian jam 12 tengah malam, peserta himpunan mula bersurai dari jalan TAR sambil menyanyi lagu “Bersih”.

Sementara itu, Polis Kuala Lumpur pula memberi jaminan keadaan bandar raya Kuala Lumpur selamat untuk sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-58 yang akan berlangsung esok.

Malah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana pihaknya akan memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.[Baca lanjut]

11.55 Jalan Parlimen - Kira-kira 10 anggota polis dan trafik berkawal di lampu isyarat simpang Jalan Parlimen untuk memantau perhimpunan BERSIH 4.

Tidak kelihatan sebarang kendaraan FRU atau trak polis di lokasi tersebut.

11.45pm: Pentas utama - Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah dalam ucapannya berkata, jika ada BERSIH 5 selepas ini ia akan menjadi "pesta rakyat".

Beliau juga meminta orang ramai meyakinkan ahli parlimen masing-masing supaya menyokong undi tidak percaya terhadap perdana menteri jika ia diusulkan nanti.

11.45pm: Jalan Parlimen - Bukan hanya orang biasa yang menyertai BERSIH 4. 

Pelakon filem dan drama, Jesse Lim, turut mengambil peluang datang untuk meninjau keadaan di sekitar perhimpunan.

"Selepas empat kali diadakan, ini kali pertama saya datang ke perhimpunan BERSIH.

"Mungkin sebab sebelum ini hanya diadakan waktu siang. Kali ini berlangsung selama 34 jam.

"Saya sempat datang waktu malam sebab siang hari ada penggambaran," katanya kepada Malaysiakini.

Kehadiran pelakon berusia 44 tahun itu turut diambil peluang oleh peserta lain untuk bergambar dengannya.

Ditanya mengenai BERSIH 4, Jesse berkata, sesuatu perkara dilakukan mesti mempunyai sebab.

"Kalau seorang merayu mungkin salah faham. Kalau 100 orang mungkin mereka menganggap kita berdengki.

"Tapi kalau 1,000 orang merayu kepada seseorang itu mungkin kita tak boleh nak nilai. Kalau berjuta orang sudah marah kepada seseorang itu, mesti orang itu adalah masalah," katanya yang baru selesai penggambaran filemMulut dan Koncu arahan Datuk A Razak Mohaideen.


11.40pm - Jalan Tun Perak - Orang ramai kelihatan mula bergerak meninggalkan kawasan utama melalui Jalan Pudu dan Jalan Sultan. Pada masa sama hanya beberapa orang anggota polis kelihatan bertugas agak jauh dari situ.

Keadaan lampu jalan berhampiran Dataran Maybank yang terpadam tiba-tiba menyebabkan orang ramai bersorak namun keadaan kembali tenang sejurus selepas itu apabila lampu berkenaan kembali menyala.

11.30 pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Quratulain Atiqah, 24, datang menyertai BERSIH 4 bersama 20 kawannya seja semalam.

Katanya, semalam tidak ramai Melayu menyertai BERSIH mungkin disebabkan kurang yakin terhadap keselamatan masing-masing selepas diugut dengan pelbagai cara, termasuk mengharamkan baju.

"Tapi mereka tengok semalam OK saja, polis pula tak gunakan kekasaran. Ini antara sebab peserta Melayu tambah malam ini,“ katanya kepada Malaysiakini.

Atiqah berkata sebagai anak muda, dia percaya himpunan aman merupakan satu manifestasi rakyat.

“Mungkin tiada perubahan berlaku serta-merta (kesan perhimpunan aman) tetapi ini adalah kekuatan kita,” katanya.

11.27pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman- Peserta Melayu ramai berkumpul di sekitar kawasan ini.

Salah seorang daripada mereka ialah Mohd Saidi, 55, yang datang bersama isteri dan empat anak mereka, serta dua kawan lain untuk mendengar ucapan di pentas utama berhampiran Dataran Merdeka. 

Beliau mengaku hadir di Dataran Merdeka semalam.

"Saya rasa semalam peserta Melayu hanya 10 peratus tetapi malam ini ada 30 peratus. Ini adalah merangsangkan.

"Bagaimanapun, saya rasa turn out peserta Melayu secara keseluruhan kurang berbanding BERSIH 3 kerana ketika itu turn out mencapai 80 peratus," katanya kepada Malaysiakini. 

Ditanya sebab peserta Melayu malam ini lebih ramai, Saidi berkata mungkin orang ramai berasa selamat selepas tiada kejadian tidak diingini berlaku semalam. 

“Semalam mereka takut keluar kerana ingat polis akan ambil tindakan atau ada apa-apa kekacauan,” katanya.

"Orang Melayu sebenarnya marah dengan pentadbiran kerajaan BN terutamanya perlaksanaan GST," katanya.

11.20pm: Jalan Parlimen - Hayat, 22, kali pertama turun menyertai BERSIH hari ini.

Asalnya, kata Hayat, dia mahu datang semalam tetapi terpaksa membatalkan niat itu kerana bekerja.

"Mungkin orang lain juga begitu. Sebab itu tak ramai Melayu semalam," katanya dan dipersetujui beberapa rakannya yang ada bersama. 

Nordin, 51, pula berkata dia menjadi peserta BERSIH 4 sejak semalam tetapi tidak tidur di Dataran Merdeka. 

Ditanya mengenai BERSIH 4, Nordin berkata dia tidak menjangkakan Datuk Seri Najib Razak akan melepaskan jawatannya kerana protes kali ii.

"Dia akan berundur jika dia nak berundur. Tapi menyertai BERSIH ni memang berbaloi," katanya.



10.17pm: Jalan Parlimen - Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba bersama anaknya, Nurul Nuha Anwar. 

Wan Azizah berkata, beliau akan menyampaikan ucapan kepada peserta BERSIH 4 selepas ini. Beliau kemudian dikerumuni orang ramai yang mahu bergambar dengannya. 

Laungan "Reformasi" juga kedengaran ketika Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berjalan ke arah pentas berhampiran Dataran Merdeka.

10.15pm: Dataran Merdeka - Di depan pentas utama BERSIH 4, orang ramai menyanyi lagu Standing in the Eyes of the World bersama penyanyi Eddy dan Wimii. 

Sambil menyanyi mereka menggerakkan tangan dan menghidupkan lampu telefon bimbit masing-masing, selain ada mengibarkan Jalur Gemilang.

10.10pm Menara Maybank - Pemimpin DAP Lim Kit Siang menggesa rakyat memastikan tiada perdana menteri seperti Datuk Seri Najib Razak muncul lagi dalam politik Malaysia. 

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula mahu orang ramai tidak mempercayai Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bekas perdana menteri itu "bukan rakan" sebaliknya hanya mahu mengambil kesempatan. 

10pm: Pusat Konvensyen KL - Datuk Seri Najib Razak berikrar beliau dan barisan pentadbirannya tidak akan membiarkan Malaysia jatuh, malah akan terus membangunkan tanah air supaya kekal makmur di persada dunia. 

Perdana menteri berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan lain akan meneruskan usaha itu walau apa pun cabaran yang melanda.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena