Setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menandatangani MoU itu bagi pihak UMNO dengan Workers' Party of North Korea (WPK) dan Sri Lanka Muslim Congress (SLMC) di luar perhimpunan agung UMNO 2014 di sini.
WPK diwakili timbalan ketuanya, Pak Kun Gwang dan SLMC oleh setiausaha agungnya, M.T.Hasen Ali.
Tengku Adnan berkata, kedua-dua MoU itu menggambarkan hubungan dan kerjasama yang telah sedia terjalin di antara UMNO dengan kedua-dua parti politik kedua-dua negara itu, termasuk program pertukaran di antara parti-parti politik.
Beliau berkata, hubungan dengan WPK terjalin semasa bekas presiden parti Tun Dr. Mahathir Mohamad melawat Korea Utara pada 1979, semasa beliau masih menjadi timbalan presiden parti.
" UMNO menjalin hubungan (dengan WPK) pada 1998, dan baru-baru ini parti itu meminta supaya MoU ditandatangani bagi memupuk kerjasama rapat dengan UMNO," katanya kepada Bernama selepas majlis itu.
Sementara itu, Pak berkata, parti itu ingin mempelajari pengalaman UMNO dan berharap dapat menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan.
Selain meningkatkan hubungan dengan UMNO, usaha itu juga boleh menyumbang ke arah keamanan, kestabilan, kerjasama dan pembangunan di antara kedua buah negara, katanya.
"Kami juga ingin belajar mengenai kekuatan dan kejayaan UMNO menganjurkan program jangka pendek dan panjang," katanya.
Sementara itu, Hasen berkata, hubungan baik dan persefahaman yang sedia terjalin antara SLMC dan UMNO akan membantu kedua buah negara untuk membangunkan hubungan yang lebih kukuh.
"Saya yakin hubungan ini akan terus dipertingkatkan pada masa depan (dan) menyumbang secara bermakna kepada kestabilan dan keamanan di rantau ini," katanya.
WPK, yang ditubuhkan pada 1949, adalah parti politik yang memerintah daripada Democratic People's Republic of Korea atau lebih dikenali sebagai Korea Utara manakala SLMC ditubuhkan pada 1981. - BERNAMA