Apakah masa depan yang menanti parti-parti Pakatan?
Oleh Robin Stanley Augustin
Jadi, Pakatan Rakyat sudah berkubur. PKR akhirnya mengakui apa yang memang sudah menjadi
kebimbangan ramai.
Jadi, Pakatan Rakyat sudah berkubur. PKR akhirnya mengakui apa yang memang sudah menjadi
kebimbangan ramai.
Masa depan Pakatan boleh dikatakan sudah berkecai selepas DAP mengumumkan pengakhiran gabungan itu. Pengumuman – yang dikatakan sesetengah pihak sebagai terlalu awal – dibuat selepas Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP menerima usul muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan mereka.
Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz sejak itu berkata, Pakatan tidak mati, kerana ia hanya memerlukan sekurang-kurangnya dua parti, dan keadaan kini bergantung kepada PKR dan PAS.
Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang pula berkata, suda tiba masanya rakyat Malaysia melangkah ke hadapan dan ada keperluan untuk gabungan politik baru yang berasaskan prinsip.
Katanya lagi, kini amat penting untuk mengatur semula pihak dan kuasa politik di negara ini, selain terus menghidupkan harapan rakyat Malaysia yang ingin melihat perubahan berdasarkan ideal Pakatan iaitu perpaduan negara, keadilan, kebebasan dan maruah rakyat.
Sementara itu, bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Mujahid Rawa berkata, Pakatan akan lahir kembali dan menjadi sesuatu yang lebih baik.
Katanya lagi, Pakatan tidak boleh wujud tanpa salah satu parti yang mengasasnya, dan mana-mana parti baru yang mahu mengisi ‘vakum’ yang wujud kini perlu berpegang kepada nilai yang sama.
Dengan pengakuan DAP dan PKR sendiri, Pakatan sudah mati.
Apa seterusnya untuk DAP, PKR dan PAS?
PAS nampaknya tidak akan berpatah balik daripada agenda Islamisnya, sementara DAP dan PKR kemungkinan besar akan terus bekerjasama.
Adakah kita akan lihat bangkitnya Phoenix daripada abu Pakatan Rakyat?
Ahli Sains Politik Universiti Malaysia Sarawak Andrew Aeria berpandangan, politik Malaysia secara keseluruhannya memerlukan nafas baru.
“Realitiya politik di Malaysia memang bermasalah. Kedua-dua pihak memerlukan pembaharuan.”
Andrew berkata bahawa masalah yang dihadapi Pakatan turut dihadapi Barisan Nasional.
“BN juga memang bermasalah seperti yang dapat dilihat dalam perbalahan dalaman parti komponennya termasuk Umno, MIC dan parti komponen di Sarawak.
“Justeru, mana-mana parti politik di negara ini perlu berubah demi negara ini sendiri.”
Katanya lagi, sudah tiba masanya untuk meninggalkan politik kaum, agama dan wilayah setempat yang tidak membantu kepada kemajuan negara.
“Parti sepatutnya dibentuk berdasarkan visi yang dikongsi untuk Malaysia, dan berdasarkan ideologi sosio-ekonomi. Ini mesti dipersetujui dengan jelas,” katanya dan menambah, gabungan politik pada masa ini sepatutnya bergabung sahaja menjadi satu parti.
Katanya lagi, sama juga dengan BN yang sepatutnya meninggalkan gaya politiknya hari ini dan menjadi satu parti.
“Politik Malaysia juga perlukan muka-muka baru. Kedua-dua pihak perlukan pimpinan baru.”
Satu lagi aspek penting “nafas baru” ini adalah untuk parti Sabah dan Sarawak turut menyumbang kepada pembentukan parti di peringkat nasional.
“Parti politik di Malaysia Timur tidak boleh mengulangi kesalahan masa lalu, dengan agenda “Sabah untuk orang Sabah” dan “Sarawak untuk orang Sarawak”. Apa yang telah dilakukan parti Sabah dan Sarawak untuk negeri mereka?” soalnya sambil menambah, parti tempatan yang menjadi komponen BN tidak mempunyai pencapaian hebat sejak Sabah dan Sarawak bersama menubuhkan Malaysia.
Katanya lagi, dua negeri tersebut perlu melihat gambaran yang lebih besar. Parti di semenanjung pula perlu lebih sensitif dan bersifat memahami terhadap masalah dan isu tempatan yang dihadapi penduduk Malaysia Timur, katanya lagi.
“Tubuhkan satu parti dan bukannya gabungan, dan jalankan pemilihan satu parti ini. Dengan cara ini, lebih mudah untuk menguruskannya, menubuhkan kabinet bayangan dan berjuang untuk isu-isu yang dekat dengan rakyat.”
Katanya lagi, inilah yang perlu difahami politikus di kedua-dua pihak, demi masa depan negara.
Beliau ternyata membangkitkan idea dan hujah yang menarik.
Memang ideal untuk merasakan yang kita mampu melangkaui politik agama, kaum dan setempat. Tetapi adakah ia mampu dicapai?
Saya sendiri sudah banyak juga mendengar ucapan oleh pemimpin-pemimpin, tentang apa yang telah mereka lakukan untuk kaum, agama dan halaman mereka.
Ia seperti menganggap dirinya sahaja yang betul, dan berulang-ulang. Memang membosankan.
Persoalannya, afakah kita mampu melangkah melangkauinya? Adakah orang ramai akan menyokong parti yang melangkaui kaum, agama dan wilayah setempat?
Memang ada parti yang mendakwa sedemikian, tetapi bolehkah mereka dengan yakin berkata mereka berkata benar?
Kebenaran yang menyedihkan adalah politik kaum dan agama akan terus berkekalan, selagi rakyat Malaysia masih berpegang kepada idea politik seperti itu. Kaum masih lagi menjadi persoalan dalam kehidupan seharian kita.
Mungkin ia akan menjadi kenyataan pada beberapa generasi akan datang.
Ramai yang berharap Pakatan Rakyat mampu mencapai reformasi yang sebenar. Tetapi malang, barangkali kita meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
Saya sendiri teruja untuk melihat jika “kelahiran semula” Pakatan Rakyat nanti adalah sebuah parti baru dengan prinsip bersama dan asas yang kuat, atau hanya satu lagi gabungan longgar yang bertujuan menewaskan BN.
0 comments:
Post a Comment