Wednesday, 3 June 2015

PAS kembali jadi ‘parti Pantai Timur’..."Musuh tradisi PAS, Umno akan menjadi paling 'gumbira' hujung minggu ini"

Khamis, 4 Jun 2015

PAS kembali jadi ‘parti Pantai Timur’ lepas muktamar 2015



Selepas pertembungan paling sengit dalam sejarah antara kumpulan profesional dan konservatif dalam muktamar ke-61 tahun ini, PAS yang sudah berjaya menukar watak menjadi sebuah parti nasional selepas lebih 60 tahun ditubuhkan bakal kembali menjadi "parti Pantai Timur".

Segala usaha yang dilakukan secara intensif selama 30 tahun untuk melonjakkan PAS menjadi parti nasional semenjak zaman Yusof Rawa, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terkubur minggu ini apabila perwakilan parti Islam itu dari seluruh negara memilih kepimpinan baharu.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tunggak utama kumpulan konservatif yang pertama kali dicabar untuk jawatan presiden sudah hampir pasti akan mempertahankan kerusinya daripada dirampas Ahmad Awang, seorang ulama bertaraf antarabangsa dan orang di belakang kejayaan PAS mendapat kerusi menteri besar di Perak pada 2008, walaupun hanya mempunyai enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jauh lebih rendah berbanding DAP dan PKR.


Sementara Mohamad Sabu yang dilihat sebagai tunggak kepada kumpulan profesional dan hubungan PAS bersama Pakatan Rakyat (PR), pernah ditahan dua kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan berkali-kali masuk lokap kerana perjuangan parti Islam itu bakal dikalahkan bekas penceramah "Forum Perdana" anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Manakala Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang cuba bersungguh-sungguh menyelamatkan PR daripada berpecah dan diterima luas pengundi bukan Islam bakal dikalahkan Nik Abduh Nik Abdul Aziz, seorang pemimpin pro-kerjasama dengan Umno.

Hampir kesemua wakil kumpulan profesional pula akan terkeluar daripada perebutan naib presiden dan ahli jawatankuasa PAS Pusat selepas doktrin "kepimpinan ulama" yang ditanamkan kumpulan konservatif berjaya mengusai majoriti perwakilan.

Lebih menyedihkan lagi, majoriti perwakilan PAS akan memilih ketiga-tiga presiden, timbalan dan ketua pemuda baharu PAS selepas muktamar 2015 berasal dari negeri Pantai Timur yang majoriti penduduknya Melayu dan beragama Islam dan tidak mencerminkan komposisi penduduk Malaysia.

Maka tidak hairanlah jika kenyataan yang keluar daripada ketiga-tiga pemimpin ini langsung tidak mencerminkan sikap seorang pemimpin nasional, tetapi lebih kepada pemimpin di negeri-negeri Pantai Timur.

Mereka sendiri tidak pernah dibesarkan dan hidup dalam "suasana Malaysia" yang berbilang kaum dan agama. Sudah pasti mereka juga akan "terkejut" dengan kehidupan masyarakat Malaysia seperti di Bangsar Telawi dan Bukit Kiara.

Namun itulah keindahan demokrasi, majoriti ahli berkuasa menentukan sama ada mahu sesebuah pertubuhan itu terus menjadi kuat atau rebah masuk ke dalam "tong sampah sejarah".

Hilang kuasa di kerusi campuran

Musuh tradisi PAS, Umno akan menjadi paling gembira hujung minggu ini selepas perwakilan memilih barisan kepimpinan baharu. Usaha keras melagakan PAS dengan DAP dan PKR selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 akhirnya membuahkan hasil.

Kempen Umno untuk memenangkan Hadi dan kumpulannya melalui media arus perdana dan akhbar milik mereka Utusan Malaysia akhirnya direalisasikan minggu ini dan PAS akan kembali kepada asal-usulnya menjadi parti Pantai Timur.

Ini sekali gus akan mengekalkan kedudukan Umno sebagai parti Melayu terkuat selepas PAS kembali seperti dahulu, sebuah parti yang hanya kuat di Kelantan.

Pengundi bukan Islam yang kuat menyokong di negeri-negeri seperti Kedah, Perak, Selangor dan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu kerana slogan "PAS untuk semua" tidak akan mengundi mereka lagi selepas muktamar 2015 ini.

Namun inilah pengorbanan yang akan dibayar ahli PAS kerana mereka tidak mahu kuasa politik dan menawan Putrajaya, akan tetapi "keredhaan Allah" seperti dikatakan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

PAS tidak kisah jika kehilangan jawatan exco kerajaan negeri, kerusi Parlimen, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor dan negeri-negeri mempunyai komposisi campuran lain.

Bagi orang-orang seperti Exco Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, sokongan bukan Islam yang memenangkannya di DUN Chempaka tidaklah begitu penting berbanding usaha menggembalikan PAS menjadi parti Pantai Timur.

Ini kerana Hadi sendiri sudah membuktikan sanggup kehilangan Terengganu pada 2004 selepas sepenggal memerintah kerana tidak mahu bertolak ansur dengan sekutunya bukan Islam mereka DAP dalam Barisan Alternatif (BA).

Pada 2013, Hadi sekali lagi mengorbankan Kedah selepas mempertahankan Tan Sri Azizan Razak untuk kekal memimpin PAS negeri walaupun berkali-kali diberitahu pimpinan parti, jelapang padi negara itu akan tumbang sekiranya bekas menteri besar itu terus memimpin kerana tidak disenangi pengundi bukan Islam.

Rakyat Malaysia seharusnya menghormati keputusan perwakilan PAS dalam memilih barisan kepimpinan baharu dan kembali menjadi parti Pantai Timur kerana itulah hak demokratik mereka. – tmi

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena