Saturday 3 October 2015

Balak Lebuh Raya Rakyat Kelantan DISITA? ”Ini bukan main-main!" - Husam

Ahad, 4 Oktober 2015

Balak Lebuh Raya Rakyat Kelantan disita..kenapa..???


MACHANG - Apa dah jadi? Itu persoalan yang timbul berikutan penemuan longgokan balak yang telah disita oleh pejabat perhutanan bernilai tidak kurang RM1 juta, berhampiran tapak projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat di Kampung Pek di sini.

Persoalannya, adakah pembalakan itu dilaksanakan secara haram di tapak projek atau ada kesalahan hutan lain yang dilakukan sehingga menyebabkan tindakan sita diambil oleh pihak berkuasa.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan tersebut mendapati masih terdapat jentera, difahamkan turut disita. Bagaimanapun tiada kelihatan pekerja di tapak pembinaan tersebut.

Sementara itu, bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa yang melawat lokasi terbabit melahirkan kekecewaan dengan situasi itu dan menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri.

Lebih malang katanya, beliau turut dikaitkan dengan balak tersebut kerana pernah menerajui syarikat Baldah Toyyibah, syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pembinaan lebuh raya berkenaan.

“Saya diserang kerana pernah menjadi pengerusi syarikat ini, apa yang pasti, ketika saya menjadi pengerusi, saya putuskan kita tidak terlibat dengan balak, kita buat jalan sahaja tetapi sekarang nampak ia sudah berbeza,” katanya.

Pembalakan luar kawasan

Husam berkata, kesalahan hutan itu tidak sepatutnya berlaku berikutan kawasan pembinaan Lebuh Raya Rakyat itu di dalam kawasan hutan simpan Ulu Sat yang perlu dipelihara keindahannya.

Katanya, kawasan pembinaan di Blok A dan B melibatkan tanah seluas 75 hektar, namun dipercayai berlaku pembalakan luar kawasan dan perubahan sempadan daripada pelan asal yang diluluskan sebelum ini.

“Kawasan yang tidak terlibat dengan kawasan pembinaan juga botak dan diambil balaknya. Syarikat yang terbabit perlu bertanggungjawab dan menjelaskan perkara tersebut kepada rakyat.

”Ini bukan main-main, pada pelan asal semua sungai akan dipelihara dengan baik, namun sebaliknya berlaku sekarang. Jalan dibina di sepanjang sungai, sekali gus merosakkannya,” katanya.

Husam yang juga Naib Presiden Pas turut kesal apabila cadangan untuk menjadikan kawasan Rehat dan Rawat di kawasan tersebut dengan mengekalkan alam flora musnah apabila kawasan itu telah digondol.

“Kawasan rehat dan rawat yang sepatutnya dihiasi keindahan alam juga gondol. Tiada lagi pokok dan sungai yang indah, malah kawasan yang tidak terbabit dengan pembinaan ditoreh. Saya perlukan penjelasan untuk semua ini.

”Hasrat Allahyarham Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ) agar menjadikan perhentian hutan simpan ini dijaga dan dikekalkan tidak dipenuhi, sedangkan Allahyarham telah menyatakannya dengan jelas sebelum ini,” katanya.

Husam mendesak agar Baldah Toyyibah atau pihak yang terbabit mengambil tindakan dengan membuat laporan polis agar pihak yang melakukan kesalahan mendapat hukuman sewajarnya.

Katanya, pihaknya mendapat maklumat kesalahan itu akan dihapuskan (write-off), namun berharap ia tidak benar dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Kerajaan negeri perlu menjawab persoalan ini. Alam semula jadi ini perlu dipelihara dengan baik bagi menjaga keindahan dan ekosistemnya. Sebagai sebuah negeri Islam, perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi pihak-pihak berkenaan gagal.
Kedah Lanie.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena