Friday, 23 October 2015

Benarkah PAS masih talian hayat Azmin Ali?

Jumaat, 23 Oktober 2015

Inilah talian hayat Azmin Ali 



PAS masih talian hayat Azmin Ali 
Oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN 

PATUTLAH Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali se­olah-olah tidak berminat untuk bercakap soal keduduk­an Pas dalam pentadbiran kerajaan PKR Selangor selepas DAP memutuskan hubungan dengan parti itu. 

Setiap kali diajukan soalan oleh pemberita mengenainya, Timbalan Presiden PKR itu pasti akan cuba mengelak atau beralih kepada isu lain.Kalau menjawab pun, retorik sangat bunyinya, seperti terlalu mahu menjaga hati Pas supaya tidak terguris. 

Nampak nyata kalau boleh beliau mahu ketiga-tiga Exco Pas sedia ada terus kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri. 

Bagaimanapun, sikap se­demikian tidak menghairankan kerana umum mengetahui yang Pas boleh dikatakan sebagai talian hayat kepada Mohamed Azmin untuk meneruskan kelangsungan politiknya. 

Pemerhati politik, Profesor Dr. Azizul Halim Yahya berkata, jika dilihat kejayaan Mohamed Azmin di kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dalam pilihan raya umum banyak disumbangkan oleh pengundi Pas. 

“Apabila Pas dan DAP terputus hubungan, pastinya sokongan kepada Mohamed Azmin berpecah dua kerana penyokong Pas sendiri dalam keadaan dilema dan serba-salah, sama ada mengekalkan status-quo atau beralih kepada pihak lain. 

“Kemelut yang melanda Pas dan DAP pastinya akan menjejaskan peluang Mohamed Azmin untuk terus berkuasa di Selangor,” kata­nya kepada Utusan Malaysia. 

Justeru, tidak hairanlah jika Mohamed Azmin cuba sedaya-upaya untuk tidak memutuskan hubungan de­ngan Pas terutama di Selangor. Beliau mesti memastikan hati pengundi Pas terus dapat ditambat. 

Bagaimanapun, Mohamed Azmin kini berdepan dengan satu lagi cabaran apabila PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) membentuk pakatan pembangkang yang baharu tanpa Pas. Penubuhan gabungan tersebut kononnya mahu menyatukan sokongan rakyat terhadap parti pembangkang. 

Tidak memeranjatkan apabila Mohamed Azmin dikatakan tidak senang dengan keputusan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu yang dibuatnya dalam rundingan meja bulat di sebuah hotel di Subang Jaya pada 22 September lalu. 

Apatah lagi, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed sudah berkira-kira mahu parti itu keluar dari pentadbiran kerajaan PKR Selangor selepas pembentukan pakatan pembangkang baharu berkenaan. Menurut Azizul Halim, Mohamed Azmin sudah pasti tidak boleh mengharapkan kekuat­an Amanah yang dilihat masih goyah bagi menggantikan Pas. 

Katanya, tidak mungkin ahli-ahli Pas yang dikategorikan dalam golongan ekstrem akan beralih angin untuk menyertai Amanah kerana mereka tidak mungkin akan berpihak kepada DAP yang menjatuhkan talak terhadap Pas. 

Beliau menambah, begitu juga dengan pemimpin-pemimpin Amanah yang dilihat berfikiran liberal mungkin tidak disenangi oleh ahli-ahli Pas. 

“Sokongan Pas masih kuat di kawasan-kawasan yang diwakili Mohamed Azmin dalam Parlimennya seperti di Greenwood, Hulu Kelang dan Gombak Setia. 

“Keadaan ini yang membimbangkan beliau sekiranya berlaku perpecahan (Pas keluar dari pakatan),” jelasnya. Justeru, Mohamed Azmin terpaksa bertindak nekad dengan mendalangi pembentukan kartel bagi merancang komplot untuk menggu­lingkan Wan Azizah seperti didakwa oleh Penyelaras So­lidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dalam blognya. 

Kartel itu didakwa me­lancarkan petisyen yang ditandatangani oleh majoriti Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang kini dikuasai pro-Mohamed Azmin untuk memaksa satu mesyuarat khas bagi menarik semula penglibatan parti itu dalam pakatan pembangkang baharu. 

Dakwa Badrul Hisham, perbuatan tersebut adalah satu tindakan coup de tat atau rampasan kuasa menerusi usaha undi tidak percaya yang dipelopori kartel Mohamed Azmin ke atas Wan Azizah ketika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang meringkuk di penjara. 

Meskipun Mohamed Azmin menafikan mendalangi komplot tersebut ketika ditanya pemberita, namun beliau tidak menghalang petisyen itu dilaksanakan. 

Baginya, perbuatan tersebut adalah proses biasa kepada sebuah parti reformasi yang sentiasa membincangkan perkara-perkara yang dapat memberi kepentingan kepada ahli dan rakyat. 

Sesiapapun jika berada dalam kedudukan Mohamed Azmin mungkin akan berbuat perkara sama, cuma adakah tindakan itu akan mendapat sokongan atau sebaliknya? 

Berjaya atau tidak perancangan tersebut, itu yang mungkin akan menentukan hidup mati Mohamed Azmin dalam politik selepas ini.~utusan.com.my.

Posted by mountdweller 

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena