Wednesday, 21 October 2015

Heboh pasal usul Undi Tak Percaya & Menolak Bajet 2016 atau Apakah ada strategi lain di sebaliknya?

Khamis, 22 Oktober 2015
Image result for Gambar Bajet 2016

Heboh pasal usul Undi Tak Percaya, Apakah ada strategi lain di sebaliknya..???

Shahbudin Husin, 


Di mata kasar terlihat seolah-olah ada yang tidak kena mengenai usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Najib Razak yang mahu dibawa di Parlimen.

Walaupun pertelagahan antara PKR dan DAP mengenai siapa yang seharusnya membawa usul berkenaan berjaya diselesaikan dengan Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail bersetuju untuk membawanya sendiri bagi mewakili parti-parti pembangkang, masalah yang timbul ialah oleh kerana ianya usul baru dan belum pun dikemukakan secara bertulis lagi, pendengarannya hanya mungkin boleh dilakukan pada sessi Parlimen Mac depan.

Bermakna, tiada usul undi tidak percaya terhadap Najib pada Parlimen yang sedang berlangsung sekarang. Tetapi Dr Wan Azizah juga dilaporkan sudah bertemu dengan Speaker dan yakin ada harapan usul berkenaan untuk dibentangkan.

Dalam masa yang sama, Azmin Ali menyatakan Pas sudah bersetuju untuk memberikan sokongan penuh kepada usul berkenaan. Beliau juga seolah-olah yakin ada ruang untuk pembentangannya.

Namun, jika pun semua wakil-wakil rakyat pembangkang menyokong usul tidak percaya itu, ia masih lagi tidak mencukupi untuk memperolehi majoriti dan mencipta kemenangan.


Pembangkang hanya mempunyai 87 kerusi dan seorang Bebas iaitu Khalid Ibrahim. Jumlah keseluruhan Ahli Parlimen ialah 222 dan majoriti paling tipis yang diperlukan untuk menyingkirkan Najib melalui undi tidak percaya ialah 112 undi.

Siapa wakil BN yang akan menyokong?

Tengku Razaleigh Hamzah sudah menyatakan beliau tidak terlibat dengannya. Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal yang baru dipecat daripada kerajaan pula belum berkata apa-apa sama ada mahu menyokong atau tidak.

Begitu juga dengan bekas Presiden MIC, G Palanivel yang terpecat daripada parti itu dan kemudian digugurkan daripada kabinet, turut tiada khabar berita.

Di ketika yang sama, tidak terdengar pula wujud gerakan untuk menarik atau membeli Ahli-Ahli Parlimen BN untuk menyokong sebagaimana Projek 16 September yang pernah diusahakan oleh Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu.

Meskipun sukar untuk menang, tapi pembangkang tetap juga mahu membawa usul tersebut. Untuk apa sebenarnya ia mati-mati mahu dibawa? Untuk apa diteruskan usul itu jika sudah tahu tidak boleh menang?

Adakah pembangkang hanya sengaja mahu merekodkan dalam sejarah Parlimen bahawa Najib pernah diundi tidak percaya saja, lalu kalah atau menang tidak menjadi perkiraan sangat?

Atau barangkali pembangkang ada strategi lain mengenainya?

Selain undi tidak percaya, ramai juga yang tahu bahawa Najib turut boleh disingkirkan dan tergugur daripada jawatannya dengan menolak Bajet 2016 yang akan dibentangkannya pada Jumaat ini.

Apakah, dalam heboh-heboh mengenai usul undi tidak percaya, pembangkang sebenarnya sedang mengatur strategi secara diam-diam untuk tujuan menolak bajet kali ini?

Apakah Ku Li, Muhyiddin, Shafie, Palanivel dan Ahli Parlimen BN akan menyokong usaha menolak bajet tersebut?

Jika kedua-dua usaha ini juga tidak membuahkan hasil, apa lagi yang boleh dilakukan untuk menyingkirkan Najib?

Dalam sidang akhbar kemunculan pertamanya bersama Tun Mahathir baru-baru ini, Ku Li ada menyebut bahawa terdapat usaha lain yang boleh dilakukan, selain undi tidak percaya di Parlimen, untuk menyingkirkan Najib.

Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Gua Musang itu, "kita akan bercakap di forum yang lain mengenainya."

Apa agaknya "perkara lain" yang dalam pertimbangan Ku Li itu?

Adakah usul undi tidak percaya dan penolakan bajet yang sengaja diheboh-hebohkan ini hanya strategi untuk memberi tekanan kepada Najib, menjadikannya hilang tumpuan dan caca marba dalam menguruskan negara?

Apa pula peranan Tun Mahathir dalam semua hal ini? Apakah beliau turut sama mengatur strategi yang di luar kotak pemikiran kita semua, di sebalik geger sama bercakap mengenai undi tidak percaya dan mahu mengalahkan Najib di kawasan pilihanraya di Pekan?

Bagi pembangkang, jika gagal menyingkirkan Najib melalui undi tidak percaya dan penolakan bajet juga tidak berjaya, peluang mereka masih ada iaitu melalui PRU 14 nanti di mana bukan saja sokongan rakyat sedang menunjukkan trend yang menurun ketika ini, bahkan ramai yang percaya harapan mereka lebih terbuka selagi adanya Najib yang banyak masalah masih kekal berkuasa.

Tetapi Tun Mahathir tentu saja tidak sanggup menunggu sehingga PRU 14. Selepas PRU 14, jika BN kalah, satu-satunya yang menjadi kebanggaan ialah jangkaan Tun Mahathir ternyata betul dan salah besarnya tentu saja diletakkan pada Najib sebagai punca utamanya.

Bagaimanapun, apa gunanya lagi ketika itu. Najib tentu saja akan dihukum oleh sejarah sebagai punca berakhirnya kuasa UMNO dan BN. Lebih buruk jika selepas itu Najib terpaksa menghadapi proses turun naik mahkamah atas pelbagai dakwaan yang akan dikemukakan oleh kerajaan baru nanti.

Tentu saja bukan saja nama Najib yang tercemar, bahkan nama baik Tun Razak dan keluarganya turut terpalit sama. Tetapi Tun Mahathir juga tidak ke mana-mana bila kerajaan baru yang berkuasa.

Sebaliknya, bagaimana jika BN terus menang dalam PRU 14 dan Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri? Tidak "sakitkah mata dan hati" Tun Mahathir ketika itu melihat Najib terus bergaya dengan kuasanya?

Sanggupkah beliau membiarkan ia berlaku atau apakah Tun Mahathir yang tidak pernah kalah dalam menyingkirkan musuh-musuh politiknya selama ini, akhirnya ditakdirkan Tuhan kecundang di tangan Najib? (SH 21/10/2015)
Kedah Lanie.

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena