Tuesday 28 April 2015

Mohd Amar hidupkan peluang Mat Sabu...

Selasa, 28 April 2015

Mohd Amar hidupkan peluang Mat Sabu

Dua hari sebelum pencalonan pemilihan PAS ditutup, persaingan kerusi nombor dua parti itu lebih menarik apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula layak bertanding.

Lebih menarik, penyertaan Mohd Amar - yang mendapat sekurang-kurangnya tiga pencalonan - buat kali kedua, menghidupkan semula peluang penyandang Mohamad Sabu, yang ketika ini seperti nyawa-nyawa ikan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi 134 daripada 191 kawasan setakat ini, Mohamad hanya mendapat 12 pencalonan, Mohd Amar (3) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (99).

Justeru senario pertembungan tiga penjuru jika berulang boleh mengulangi sejarah pemilihan PAS pada 2009 dan 2011, yang membuka peluang kepada calon dengan sokongan minoriti.

Pada 2009, Mohamad kalah kepada penyandang Nasharuddin Mat Isa ekoran perpecahan undi dengan seorang lagi calon pro-Pakatan Rakyat Datuk Husam Musa.

Dua tahun berikut, keadaan sebaliknya berlaku apabila berlaku perpecahan undi calon proulama, menyebabkan Mohamadmerampas kerusi itu.

Ujian sebenar Mohamad dilihat berlaku pada 2013 apabila berlaku pertembungan satu lawan satu dengan Mohd Amar yang menyaksikan beliau menang tipis 98 undi.

Mohamad mendapat 588 undi manakala Amar pula 490 undi.

Bagaimanapun, sebagai seorang tokoh nasional, situasi ketika itu lebih menguntungkannya ketika berdepan Mohd Amar.

Mat Sabu tak pertahan jawatan?

Dalam pemilihan Jun ini, jika Tuan Ibrahim dan Mohd Amar gagal mencapai kata sepakat ke arah pertembungan satu lawan satu, Mohamad masih mempunyai peluang mempertahankan jawatan buat penggal ketiga.

Bagaimanapun, jika satu lawan satu menjadi kenyataan, Mohamad mungkin terpaksa mempertimbangkan keputusan perit tidak mempertahankan jawatan.

Berdasarkan situasi semasa, di atas kertas, peluang Mohamad dilihat paling genting. Sebagai seorang penyandang dua penggal, 12 pencalonan diterimanya bukan petanda baik.

Dalam masa sama, Mohd Amar (kanan) pula bukan lagi 'jaguh kampung' yang dikalahkannya dua tahun lalu.

Amar kini jauh lebih popular di mata anggota PAS apabila ke depan dalam isu pelaksanaan hudud di Kelantan.

Manakala Tuan Ibrahim pula, hari demi hari mula disenangi kedua-dua pihak tidak kira golongan proulama atau pro-Pakatan.

Selamat dengan undi proulama, pendirian dan pendekatan Tuan Ibrahim, antaranya ketegasan menyokong PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh walaupunberbeza pendiriandengan presiden, membuatkannya lebih diterima.

Pada 22 April lalu, tiga hari sebelum penamaan calon, Hadi masih gagalmenyatakan ketegasannya terhadap ulama akar umbi parti itu yang mengeruhkan hubungan Pakatan dengan fatwa “haram mengundi calon tolak hudud”.

Hadi malah keberatan menyeru orang ramai menyokong calon Pakatan walaupun dua kali ditanya dalam sebuah forum di Shah Alam.

Namun, pada hari sama, Tuan Ibrahim (atas), yang mengetuai kempen pilihan raya PAS Rompin, membuka mata banyak pihak apabila tampil mengarahkan sokongan diberi dan perbezaan diketepi.

Hadi dapat simpati

Dengan itu, Tuan Ibrahim berada di landasan betul untuk "mengambil hati" pemimpin dari kumpulan profesional - yang dianggap mesra Pakatan.

Bagi jawatan presiden pula Hadi terus mencatatkanpertambahan sokongan akar umbi kawasan supaya beliau komited mempertahankan jawatannya itu buat kali keenam berturut-turut, sekalipun diasak hebat daripada dalam dan luar parti.

Hadi (kiri) sudah jauh di depan dengan 99 undi, tokoh ulama PASAhmad Awang yang disebut-sebut calon pencabar terbaik hanya memperoleh tiga undi dan Husam pula lapan undi.

Dengan kontroversi berbulan-bulan siapa sangka Hadi kini mula memperoleh kembali sokongan akar umbi yang mula simpati kepadanya akibat asakan hebat terutama daripada DAP.

Di atas kertas Hadi boleh mempertahankan jawatan, apatah lagi apabila pencabarnya masih berteka teki berhubung kesediaan mereka.

Berdasar sejarah PAS, diam sebegitu - ketika menawarkan diri dianggap kurang manis - tidak selalu menguntungkan.

Pada 2009, 'puasa' Husam daripada mengumumkan kesediaannya bertanding tertanya membawa padah.

Terus berteka teki hanya membuatkan jentera kempennya di peringkat bawah lambat aktif.

Ramai juga lupa, pada tahun sama Mohamad menyatakan kesediaan awal untuk bertanding bagi “membantu presiden”dan kejayaan memihak padanya.

 

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena