Monday 28 December 2015

Apabila PAS menjadi penasihat kerajaan? "Kami yakin PAS dulu bukan begini".

Isnin, 28 Disember 2015


Apabila PAS menjadi penasihat kerajaan

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diingatkan supaya tidak melupakan beberapa konsep asas dalam konstruksi dan amalan politik yang dianjurkan Islam.
Di sana wujud konsep An Nasihah, At Tawaasi (Tegur-Menegur), At-Tadaafuq (Semak-lmbang) dan akhir sekali At Tadaawul (Bertukar-Ganti).
Sejujurnya saya tidak rasa terpanggil untuk menasihati bekas presiden saya itu supaya jangan hilang keseimbangan atau tawaazun.
Mungkin ada yang menelah elok saya diamkan sahaja biar PAS berantakan. Tapi atas tuntutan "Ad Deenu Nasihah", maka saya hulurkan nasihat ini.
Kalau dulu beliau terlalu “keras” (Syadid) sehingga terhasil apa yang diberi jolokan amanat Hadi, kini sudah kelihatan bersikap “bermudah” (Tasaahul) dengan menekankan peranan PAS sebagai penasihat mengatasi tuntutan dan prinsip lain yang lebih penting.
Sejak bila PAS berubah sebegini rupa. Ini jelasnya bukan pendekatan pimpinan Ulama PAS yang terdahulu.
Seperti Allahyarham Yusuf Rawa, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat. Ada orang berilmu yang bertanggapan, ini bukan “Fikrah Taghyir” atau “Fikrah Perubahan” tetapi sebenarnya “Fikrah Tabrir” atau “Memberi Alasan”.
Kalau hanya ditekan tentang peranan menasihati, itu bukan peranan utama parti politik Islam. Itu peranan para Mufti, Cendekiawan Islam, agensi-agensi Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam terhadap penguasa politik atau pemerintah.
Tugas utama parti politik Islam (dan bukan Islam) adalah untuk “menyemak-imbang” pemerintah. Khasnya kerajaan yang didakwa umum sarat dengan segala kepincangan.
Siapa yang sepatutnya bertanggungjawab menyemak-imbang tadbir-urus yang rasuah, boros, bolot dan rakus dan pelbagai skandal termasuk PKFZ, NFC dan terkini 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan “derma” RM2.6bilion itu?
Tidak mudah untuk “melupakan” dan bukan tugas kita untuk “memaafkan” segala dosa dan kemungkaran yang dilakukan penguasa politik yang menzalimi rakyat untuk sekian lamanya. Mereka juga tidak pernah mengakui dan menginsafi segala “dosa dan kemungkaran” ini.
Ini termasuklah merampas royalti minyak Kelantan dan menyalahgunakan akta drakonian yang zalim ke atas penentangan demokratik yang sah rakyat terhadap kerajaan.
Tentang prinsip “At Tadaafuq”, Firman Allah dalam 2 ayat di Surah Al-Baqarah: 251 dan Al-Hajj: 40 secara jelas dan tuntas menegaskan akan peranan dinamika “semak-imbang” sebagai jalan atau wasilah membanteras kepincangan dan kebobrokan penguasa politik.
Maka peranan dan persaingan politik di pentas itu adalah untuk menamatkan segala perilaku kezaliman, ketidakadilan, diskriminasi dan kemungkaran tadbir-urus sistem pemerintahan sang penguasa.
Justeru, ulama dan intelektual Islam menjadikan ini sandaran dalil kepada kepentingan untuk menginstitusikan peranan "Tadaafuq" atau semak-imbang atau “check and balance” dalam tata orde politik bagi mencapai kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Fahaman dan pegangan PAS tentang konsep “Muwaajahah Silmiyah” atau “Persaingan Aman secara Demokratik”sudah kian luntur.
Perubahan trend ini kami jangkakan dan semakin jelas mutakhir ini. Inilah antara sebab utama mengapa kami mengambil keputusan untuk melangsungkan dan perkukuhkan perjuangan Islam ini di luar wadah PAS.
Kami yakin PAS dulu bukan begini. Trend ini lebih ketara sejak peninggalan Nik Aziz dan selepas “G-18” dan seangkatan kami ini, “dibersihkan” sehingga tidak ada lagi suara semak-imbang dalam PAS.
Justeru, Parti Amanah Negara (Amanah) mesti segera memainkan dan mengambil pentas utama bersama rakan Pakatan Harapan untuk meneruskan tugasan penting ini sehingga berlaku perubahan besar dalam negara ke arah penambahbaikan atau Al Islah sehingga terlaksana “Malaysia Yang Adil Untuk Semua”.
Akhirnya, prinsip Tadaafuq ini akan membawa kepada situasi dan dinamika perubahan atau peralihan kuasa yang dipanggil dengan konsep “At Tadaawul”, sekiranya diizinkan Allah dan dimandatkan rakyat, sesuai dengan penegasan firman Allah: "Dan kami silih-gantikan kemenangan itu di antara manusia" (Surah Ali-Imran: 140).
Sheikh Yusuf Qaradawi dan begitu juga ulama kontemporari lain mengharuskan wujudnya 2 atau lebih parti Islam dalam sebuah negara Islam, apatah lagi dalam sebuah negara demokrasi, justeru kerana maksud dan tujuan ini.
Yakni untuk menyemak-imbang antara kerajaan dan pembangkang bagi mengelakkan pemerintah bersikap kuku-besi, autokrasi, rasuah dan zalim.
Akhirnya, dinamika persaingan ini mengharuskan mereka digantikan (At Tadaawul) dalam satu sunnah alam melalui  garis amalan demokrasi yang sihat dan siasah yang adil. – 28 Disember, 2015.
* Dr Dzulkefly Ahmad ialah pengarah strategi Parti Amanah Negara.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dzulkefly-ahmad/article/apabila-pas-menjadi-penasihat-kerajaan#sthash.E8tQcFzJ.dpuf

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena