Wednesday 23 December 2015

'Sembang Pandai...Rakyat juga diKaLdai kan'...Dilema Umno dan PAS! Samada ke hadapan atau berundur ke belakang.

Khamis, 24 Disember 2015
Apabila Kata Kata Hikmat Pak Menteri BN-BebaL NasonaL Menerjah Minda Rakyat.....
ALasan yang sangat MeLuat dlm MemPerBodohKan Rakyat...
--Tradisi MembeLa Rakyat Kununnyerr Rakyat Juga yg Kena.....
-Sembang Pandai...Rakyat juga diKaLdai....kan...



Dilema Umno dan PAS

UMNO PAS
Oleh Dr Marzuki Mohamad
Ura-ura mengenai kerjasama antara UMNO dan PAS telah sekian lama kedengaran namun tidak pernah menjadi kenyataan. Selepas gabungan UMNO dan PAS di dalam BN berakhir pada tahun 1978, cadangan supaya kedua-dua parti ini bekerjasama semula terus kedengaran atas nama perpaduan Melayu.

Hal ini dibincang dengan lebih serius khususnya selepas pilihanraya umum 2008. Kegagalan BN mempertahankan majoriti 2/3 dalam pilihanraya umum tersebut dan kemaraan parti pembangkang terutama DAP menguasai sokongan bukan Melayu menyebabkan timbulnya desakan supaya UMNO dan PAS bekerjasama demi memperkuatkan kuasa politik Melayu.

UMNO secara umumnya dilihat lebih terbuka mengajak PAS berkerjasama. PAS sebaliknya tidak menunjukkan sikap positif secara terbuka. Walaupun sebahagian pimpinan PAS agak lunak untuk bekerjasama dengan UMNO, namun terdapat banyak tentangan dari dalam PAS sendiri. Sebahagian pimpinan PAS mahu parti itu terus kekal di dalam Pakatan Rakyat (sekarang Pakatan Harapan) dan menentang keras idea kerjasama dengan UMNO.

Bagi UMNO, kerjasama dengan PAS adalah talian hayat yang paling mujarab untuk menghadapi PRU 14 dalam keadaan sokongan kepada parti itu semakin merosot. Bagi PAS pula, perbalahan parti itu dengan DAP dan keretakan hubungan dengan PKR menjadikan kerjasama dengan UMNO sebagai alternatif yang menarik untuk kekal relevan dalam pentas politik negara. PAS dan UMNO sebenarnya mempunyai masalah yang tersendiri dan amat memerlukan antara satu sama lain.

Buat masa ini, bentuk kerjasama politik yang dimaksudkan masih belum jelas. Samada dalam bentuk gabungan politik (political coalition), iaitu PAS menjadi sebuah parti yang bergabung dengan UMNO serta mempunyai dasar dan prinsip perjuangan yang sama, atau sekadar mewujudkan pakatan pilihanraya (electoral pact), iaitu persefahaman di mana PAS tidak akan bertanding di mana-mana kerusi yang ditandingi oleh UMNO dan begitu juga sebaliknya tanpa ada apa-apa komitmen dari segi dasar dan prinsip perjuangan.

Walau apa pun, secara dasarnya kerjasama UMNO dan PAS adalah sesuatu yang baik. Selain dapat mengatasi masalah perpecahan dalam masyarakat Melayu, ia juga boleh mewujudkan kestabilan politik di negara ini.Namun begitu, ada beberapa persoalan yang perlu diambil kira oleh PAS dan UMNO sebelum membuat keputusan muktamad untuk bekerjasama pada waktu ini.
Pertama, PAS sendiri berpecah. Kewujudan PASMA dan kemudiannya Parti Amanah Negara (PAN) yang merupakan serpihan PAS secara tidak langsung adalah kesan daripada konflik dalaman PAS berhubung isu ini. Bahkan PAS yang ada sekarang ini pun masih tidak seia sekata dalam isu mewujudkan kerjasama politik dengan UMNO. Kalangan elit PAS mungkin lebih selesa bekerjasama dengan UMNO berbanding DAP, tetapi di negeri di mana PAS mempunyai pengalaman yang lebih baik berada dalam kerajaan Pakatan Harapan, mereka mungkin lebih selesa untuk kekal bersama PKR dan DAP. Adakah mungkin PAS akan berpecah lagi selepas ini jika hasrat kerjasama dengan UMNO diteruskan?
Kedua, selepas PRU 1999, PAS telah berjaya menarik golongan Melayu profesional dan progresif untuk menyertai parti itu. Kerjasama PAS dengan PKR dan DAP telah mengubah imej parti itu daripada sebuah parti Islam yang tradisional dan konservatif, kepada sebuah parti yang berwajah progresif. Sehinggakan pada satu ketika PAS begitu popular dengan slogan ‘PAS for All’ dan konsep Negara Berkebajikan. Kesannya, PAS telah berjaya melebarkan sayapnya ke negeri-negeri pantai barat seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Johor yang sebelum ini didominasi oleh UMNO. Namun, imej progresif PAS kembali pudar selepas ramai pemimpin yang mewakili wajah progresif parti itu menyertai Parti Amanah dan kembalinya debat pelaksanaan undang-undang hudud di negeri Kelantan. Kerjasama dengan UMNO atas dasar ‘UMNO menyokong dasar-dasar Islam PAS’ termasuk pelaksanaan hudud di Kelantan berkemungkinan akan menyebabkan sisi konservatif PAS menjadi semakin tegar berbanding sisinya yang lebih progresif. Apakah tidak mungkin PAS selepas ini akan kembali menjadi parti Islam yang hanya berkongsi pengaruh dengan UMNO di negeri-negeri Melayu tradisi seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu dan pengaruhnya di negeri-negeri pantai barat akan diambil alih oleh Parti Amanah?
Ketiga, UMNO sedang berhadapan dengan masalah defisit kepercayaan yang agak serius pada masa ini. Ahli-ahli UMNO sendiri mula mempersoalkan kredibiliti kepimpinan UMNO akibat skandal 1MDB dan derma politik RM2.6 billion. Adakah imej PAS tidak akan terpalit sama jika parti itu mewujudkan kerjasama politik dengan UMNO dalam keadaan UMNO sedang bergelut dengan masalah dalamannya sendiri pada waktu ini?
Keempat, adakah UMNO bersedia untuk bekerjasama dengan PAS dalam keadaan PAS menjadi parti yang lebih berwajah konservatif dan tradisional. Bersediakah UMNO untuk menyokong dasar-dasar Islam PAS termasuk pelaksanaan hudud sebagai prasyarat untuk bekerjasama dengan PAS? Adakah UMNO yang selama ini dilihat sebagai sebuah parti Melayu yang moderat dan sederhana serta mendapat sokongan rakyat pelbagai kaum dan agama menerusi Barisan Nasional bersedia untuk menjadi sebuah parti Melayu yang lebih konservatif dan tradisional semata-mata untuk bekerjasama dengan PAS?
Landskap politik Malaysia sedang berubah dengan pantas. Nilai-nilai integriti, ketelusan, amanah dan kecekapan semakin dipandang tinggi oleh rakyat. Walaupun isu kaum dan agama akan terus menjadi penanda aras penting dalam politik Malaysia, namun ia bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan sokongan rakyat terhadap mana-mana parti politik. Hasil perubahan sosial dan politik yang berlaku sejak sekian lama, masyarakat majmuk Malaysia hari ini lebih menghargai parti dan pemimpin politik yang telus, jujur, amanah dan berintegriti daripada semata-mata menjadi jaguh kaum.
Keadaan yang ideal untuk PAS bekerjasama dengan UMNO ialah apabila UMNO bebas sepenuhnya daripada masalah defisit kepercayaan terhadapnya dan PAS sendiri berjaya membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti Islam yang moderat, progresif dan boleh diterima oleh masyarakat pelbagai kaum. Barulah gabungan UMNO dan PAS akan mendapat sokongan majoriti rakyat.
Dalam keadaan PAS semakin bergerak meninggalkan sisi progresif parti itu untuk kembali menjadi parti yang konservatif dan tradisional, dan UMNO pula terperangkap dalam masalah defisit kepercayaan yang serius, gandingan kedua-dua parti ini belum tentu mendapat dokongan majoriti rakyat yang semakin celik politik.
UMNO dan PAS tidak mempunyai banyak pilihan. Kedua-duanya berada di dalam dilema dan amat memerlukan antara satu sama lain. Namun, kedua-dua parti masih boleh memilih samada untuk bergerak ke hadapan atau berundur ke belakang.
Dr Marzuki Mohamad ialah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena